saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/01/2010

Wajah-wajah 'hero' di Chennai

MASIH di India. Esok, 26 Januari, India akan menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-60 atau Hari Republik. Raptai terakhir perarakan sambutan itu termasuk melibatkan pasukan keselamatan sempadan yang menggunakan unta diadakan kelmarin (Sabtu) di New Delhi. Kepada warganegara India, Selamat Hari Republik! Walaupun tidak sempat menyaksikan perarakan sebenar, penulis berkesempatan merasai suasana sambutan ketika raptai diadakan beberapa hari sebelum itu.

Sejak 21 Januari hingga semalam, penulis berada di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu. Terasa kelainan ketika berada di negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri (KM), M.Karunanidhi. Setiap wilayah atau negeri pasti ada bezanya. Tidak banyak yang dapat disaksikan di bandar ini berbanding di Delhi.

Bagaimanapun suasana di jalan raya tetap sibuk, sama seperti di Delhi. Di jalan raya, meluncur laju kereta, bas, motosikal, tut-tut (teksi roda tiga) dan sebagainya. Seperti kata seorang pemandu teksi di Delhi, keadaan kenderaan di atas jalan raya di India umpama satu permainan komputer. Membunyikan hon (ada juga menggunakan wisel) sudah menjadi satu kemestian.

Sebelum ke Chennai, cuaca sejuk di New Delhi menyebabkan kabus tebal sehingga kebanyakan jadual penerbangan di Lapangan Terbang Indira Gandhi tergendala. Ada yang terpaksa berada di dalam pesawat sehingga tiga atau empat jam, malahan dilaporkan ada yang menjangkau sehingga 12 jam sebelum pesawat berlepas.

Apabila banyak pesawat lewat, balai berlepas di lapangan terbang sesak sementara ketika tiba di destinasi, keadaan juga sama setelah beberapa pesawat dari pelbagai destinasi mendarat pada masa yang hampir sama. Begitulah suasana sibuk apabila pesawat gagal terbang akibat kabus tebal.

Pertama kali menjejakkan kaki di Chennai terfikir seketika, apa yang ada di Tamil Nadu? Sekadar melihat risalah pelancongan, ada beberapa tempat menarik.

Dengan menggunakan pengangkutan Hop-on Hop-off Tour antara Chennai dan Mamallapuran, tempat yang ditawarkan termasuklah Taman Buaya, Tiger Cave, Dolphin City, Muttukadu Boat House dan beberapa kuil lama yang ada antaranya diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Sejarah UNESCO.

Tetapi setelah berada di tengah-tengah kesibukan masyarakat Chennai, barulah teringat bahawa ada beberapa pelakon filem Tamil ternama yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Tamil Nadu.

Pertama ialah aktor Shivaji Gaekwad atau nama glamornya Rajnikanth yang turut popular dengan filem Sivaji:The Boss. Siapa di kalangan masyarakat India lebih-lebih lagi etnik Tamil yang tidak mengenali beliau? Pelbagai watak yang dibawanya termasuk sebagai pembela masyarakat miskin yang tertindas mencuri tumpuan peminat. Beliau dianggap hero yang sukar ditandingi.

Kedua ialah Kamal Haasan, yang bukan sahaja pelakon tetapi pengarah dan penerbit filem. Beliau dilahirkan di Paramakudi, Tamil Nadu. Peminatnya juga memang ramai. Jumaat lalu, ketika hadir memberi satu syarahan mengenai kebudayaan di Anna University, Chennai, sebanyak 2,000 orang sanggup beratur seawal pukul 6.30 pagi untuk mendapatkan tempat. Tetapi hanya 200 orang dibenarkan masuk mengikuti syarahannya yang bermula pukul 9 pagi. Begitulah hebatnya sambutan kepada Kamal.

Delegasi Malaysia yang mengikuti lawatan Perdana Menteri (PM), Najib Tun Razak ke Chennai juga berpeluang menemui Kamal. Beliau hadir pada satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Naib Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia, Shuhaimi Baba. (Catatan: Delegasi Malaysia termasuk 5 MB/KM : Abdul Ghani Othman (Johor), Mohd. Ali Rustam (Melaka), Dr. Zambry Abd. Kadir (Perak), Mohamad Hasan (Negeri Sembilan), Adnan Yaakob (Pahang). Turut sama menteri Kabinet: Nor Mohamed Yakcop, Mohamed Khaled Nordin, Mustapa Mohamed, Shaziman Abu Mansor).

Tidak hairanlah apabila di Chennai, wajah Kamal dan Rajnikanth menjadi hiasan di pelbagai iklan perniagaan dan sebagainya. Mereka sebaris dengan poster atau gambar KM, Karunanidhi. Mereka adalah antara hero yang disanjung di kalangan masyarakat di Tamil Nadu.

Lebih teruja apabila menghampiri hotel penginapan, Sheraton Park Hotel & Towers. Chennai yang dulunya dikenali sebagai Madras, turut dihiasi poster wajah PM kita dan isteri, Rosmah Mansor.

Bagaikan mengalu-alukan kedatangan hero baru! Seperti kata Najib pada satu majlis makan malam bersama masyarakat Malaysia di Chennai, seolah-olah mahu berkempen pada pilihan raya umum. Tetapi hakikatnya, ini adalah kali pertama seorang PM Malaysia melawat Chennai. Dan lawatan ini dianggap satu sejarah baru yang mampu meningkatkan hubungan akrab yang sudah terjalin begitu lama.

Dianggarkan kira-kira 85 peratus rakyat India di Malaysia berasal dari etnik Tamil. Sudah tentu kehadiran PM dialu-alukan termasuk oleh KM dan anaknya, M.K Stalin yang juga Timbalan KM. Dengan kawalan keselamatan yang ketat, dua beranak itu mengunjungi Najib di hotel penginapan PM.

Bernama sebelum ini melaporkan, ramai penduduk dan pemimpin politik menyifatkan Najib sebagai 'hero baru' dari Malaysia. PM pada mulanya hanya akan singgah di Chennai untuk beberapa jam tetapi telah bertukar menjadi dua hari dua malam. Bagaimanapun lawatan itu terpaksa disingkatkan bagi membolehkan PM menghadiri istiadat pemakaman Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail pada pagi Sabtu lalu.

Bagaimanapun acara yang menjadi tumpuan iaitu pertemuan dengan KM Tamil Nadu tetap berlangsung. Lebih bermakna, PM juga sempat menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat Islam di Chennai dan memberi ucapan ringkas kepada mereka.

Majoriti penduduk Chennai adalah beragama Hindu tetapi tidak kurang juga yang beragama Islam. Di sini selain kuil, boleh didapati masjid dan gereja. Tersedia juga restoran makanan halal. Dalam erti kata lain, tidak sukar nak cari makan. Banyak juga barang dalam tin keluaran Malaysia dijual di sini.

Di Delhi, Restoran Karim (bukan Kassem seperti disebut minggu lepas) menjadi sebutan tetapi di Chennai, Restoran Pelita menjadi tumpuan. Lebih-lebih lagi bagi rakyat Malaysia yang tidak dapat memisahkan diri mereka daripada kari kepala ikan, roti canai, nasi lemak dan teh tarik. Menunya lebih kurang sama dengan Restoran Pelita Kuala Lumpur.

Bercerita soal makan, Jumaat lalu, penulis sempat menghadiri jemputan makan malam di sebuah rumah seorang ahli perniagaan, Mohammed Nayeemur Rahman.

Beliau mengundang rombongan dari Melaka yang diketuai oleh Mohd. Ali. Memang meriah sambutan yang diberi. Mohd. Ali disambut bagaikan 'hero' Melaka yang balik kampung. Habis dijemput sanak saudara ke majlis tersebut....maklumlah seorang KM sudi memenuhi undangan. Mengikut ceritanya, keluarga di pihak lelaki adalah berketurunan Arab merantau hingga ke Chennai.

Untuk menyatakan rasa bangga apabila KM mengunjungi rumah mereka, tuan rumah memanggil jurukamera khas untuk membuat rakaman video.

Kami dihidangkan nasi beriani kambing, di samping lauk-pauk ayam, ikan, udang masala dan buah-buahan. Di akhiri dengan hidangan sirih. Begitulah mesranya mereka menyambut tetamu, bagaikan anggota keluarga yang baru kembali dari perantauan. Lebih tepat ''balik kampung".

Tetapi di luar, selain pergerakan kenderaan luar biasa di atas jalan raya, satu suasana yang boleh dilihat apabila mereka sering bertengkar. Seolah-olah mahu bergaduh. Lihat sahaja aksi hebat mulut, tangan dan muka mereka.

Masing-masing mahu menjadi hero, tidak mahu mengalah. Contohnya seperti meletak kenderaan di tepi jalan raya hanya untuk menanti seseorang.

Polis juga kadang-kadang menjadi mangsa sergahan. Masing-masing umpama mahu 'menegakkan benang yang basah'. Bagi kita orang luar, melihat aksi mereka itu memang mencemaskan, bimbang kalau kita pula yang menjadi mangsa.

Seperti di Delhi dan Hyderabad, membuang air kecil di tepi jalan juga adalah satu pemandangan biasa. Terpulanglah kepada kita untuk membuat andaian. Tetapi ada satu cerita lucu. Kisah benar di Delhi.

Seorang rakan yang tidak tahan lagi membuang air kecil terpaksa mengikut tabiat orang tempatan. Daripada terkencing di dalam seluar, adalah lebih baik 'buang' di tepi tembok tepi jalan. Malangnya sedang asyik membuang air kecil, dia pula dikencing di atas kepalanya. Mujurlah bukan orang yang kencing tetapi beruk! Apakah moral ceritanya? Pembaca bolehlah membuat andaian sendiri.

Namun dalam kita memperkatakan tabiat orang lain, apakah kita juga sempurna? Walaupun kita mempunyai banyak tandas sama ada tandas awam, di restoran, pejabat atau rumah, tetapi salah satu rungutan pelancong di negara kita ialah tandas yang kotor dan memualkan.

Maka samalah keadaannya - sesuatu yang kurang enak dilihat. Ada kemudahan tetapi tidak pandai menghargainya! Mungkin, jika kita diberi pilihan mana satu hendak dipilih - antara tandas kotor, busuk dan memualkan (sehingga tidak terkencing) atau pilih sahaja untuk 'melepaskannya' di tepi jalan.

Sekali lagi kepada warganegara India Selamat Hari Republik!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.