saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/01/2010

Gula racun, bukan madu!


Dr. Maamor Osman dan Ismail Sabri Yaakob diwawancara oleh wartawan Utusan Malaysia, Lokman Ismail dan Marhaini Kamaruddin semasa rakaman Sembang Utusan Online baru-baru ini.


TIDAK seperti kenaikan harga barangan lain yang kebiasaannya mendapat reaksi negatif orang ramai, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen berkuat kuasa 1 Januari lalu diterima dengan agak tenang.

Di pihak kerajaan, kenaikan harga itu memberi manfaat dari dua sudut utama iaitu pertamanya dari sudut penjimatan subsidi sehingga RM1.26 bilion. Keduanya dari sudut kesihatan yang mana ia boleh mengurangkan pengambilan gula secara berlebihan di kalangan orang ramai.

Dalam menyambut baik langkah kerajaan itu terutamanya dari sudut kesihatan, pengguna juga menaruh harapan kenaikan harga gula itu tidak menyebabkan kesan berantai terutamanya kenaikan harga makanan lain. Mereka juga berharap kerajaan serius dalam soal pemantauan dan penguatkuasaan itu supaya ia tidak menjadi beban kepada rakyat.

Gambaran mengenai isu gula dan kepenggunaannya ini dibincangkan dengan jelas oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman dalam Sembang Pengguna. Berikut adalah sedutan transkrip sembang tersebut yang dikendalikan MARHAINI KAMARUDIN dan LUKMAN ISMAIL baru-baru ini.

UTUSAN: Kenapa kerajaan perlu naikkan harga gula?

ISMAIL SABRI: Ada dua faktor. Pertama kerana dari segi jumlah tanggungan subsidi kerajaan terhadap gula adalah terlalu tinggi. Kalau tahun lepas, kerajaan beri subsidi sebanyak 60 sen sekilo, iaitu berjumlah 720 juta dengan harga 1.45 sekilo.

Kalau nak kekalkan harga itu, kerajaan terpaksa beri subsidi sebanyak RM1 sekilo. Ini berdasarkan harga pasaran gula dunia yang meningkat sejak tahun lalu. Jadi, kalau nak kekalkan harga itu, kerajaan terpaksa tanggung subsidi sebanyak RM1.26 bilion.

Jadi, bila dinaikkan 20 sen maknanya subsidi telah dikurangkan menjadi 80 sen untuk sekilo. Walaupun dinaikkan sebanyak 20 sen, kerajaan tetap beri subsidi. Jumlah yang terpaksa dibelanjakan untuk subsidi baru itu adalah RM1.008 bilion. Itu terlalu besar.

Dari segi pengguna, apabila kita kata kita melindungi kepentingan pengguna, bukan saja dari segi harga barangan tetapi juga mutu kehidupan mereka.

Bayangkan pengguna berbelanja besar untuk beli gula dan makanan dan dalam masa yang sama, ia tidak baik untuk kesihatan. Jadi, usaha kita ini adalah menyedarkan pengguna untuk berbelanja perkara yang boleh menguntungkan diri tetapi dengan gula kita berbelanja besar, kerajaan belanja besar.

Jadi, kerajaan melihat dua aspek, dari segi subsidi dan kepentingan pengguna.

Apakah kenaikan harga ini masih lagi wajar?

DR. MAAMOR: Pada pendapat saya, memang kenaikan itu lebih rendah daripada apa yang dijangka dari pasaran. Pasaran menjangka kenaikan antara 60 sen hingga RM1. Tetapi kerajaan sebenarnya mengalihkan subsidi itu daripada merosakkan orang ramai - sebab dari segi teorinya apabila benda murah dan senang diperoleh, mereka akan gunakan sebanyak mungkin.

Pada pendapat saya, pengguna patut sedar dan fikir positif. Cuma apabila berlaku kenaikan 20 sen itu, ada peniaga yang ambil kesempatan dengan memberi justifikasi untuk menaikkan harga.

Kalau kita faham dari segi perubatan, kalau kita ambil gula yang telah diproses itu, kita menjadikan organ dalam badan kita malas. Kita akan beri isyarat kepada sistem badan kita supaya tidak bekerja kuat dan akhirnya terjadi penyakit seperti diabetes dan komplikasi lain.

Bagi saya, kerajaan berniat baik dan kita tidak boleh pandang bahawa harga gula jadi mahal semata-mata. Kita juga kena faham bahawa gula berlebihan ini akhirnya akan menyebabkan tekanan kepada organ yang membuangnya. Maka akan terjadi penyakit diabetis, kegagalan ginjal dan sebagainya.

Patutnya, kita berterima kasih kepada kerajaan kerana telah berikan isyarat yang betul supaya memikirkan semula apakah tindakan kita ini menguntungkan atau tidak. Kalau kita tengok sejarah, gula ini asalnya dijadikan sebagai perisa tetapi peniaga pula melihat ada keuntungan di atas kesengsaraan orang lain. Pengguna perlu sedar bahawa gula itu manis tetapi juga beracun.

Daripada penjelasan Datuk tadi, persatuan pengguna menyokong langkah kerajaan menaikkan harga gula. Adakah cara lain untuk mengurangkan beban subsidi, selain menaikkan harga gula?

ISMAIL SABRI: Memang perlu, sebab kalau kerajaan tak beri subsidi dan kalau harga dijual pada harga pasaran, harga pasaran gula hari ini adalah RM2.40. Jadi, kenaikan tidak dapat dielakkan. Ia boleh dielakkan kalau kerajaan tambah subsidi, kalau nak kekalkan harga lama.

Kerajaan rasa tak wajar beri subsidi begitu besar untuk gula sebab wang tersebut boleh digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah. Ia seolah-olah kita memberi subsidi untuk sesuatu yang membawa keburukan kepada orang ramai.

Berapa lama harga yang baru ini boleh dikekalkan?

ISMAIL SABRI: Kita masih lagi belum pasti. Kita jangka harga 20 sen ini tidak beri bebanan kepada orang ramai. Saya harap rakyat Malaysia boleh memahami iaitu kalau harga barang naik, cari alternatif lain. Kita sudah buat perkiraan apabila menaikkan harga, ia tidak membebankan orang. Kalau yang banyak makan gula sekalipun, kita jangka paling tinggi mereka gunakan lima kilogram untuk setiap isi rumah.

Maknanya, tambahan bajet isi rumah adalah RM1 sahaja sebulan. Tetapi rata-ratanya, orang kita cuma guna dua kilo sebulan. Ini bermakna tambahan tanggungan adalah kurang daripada 50 sen.

Tetapi kalau kita memahami gula itu mendatangkan kerosakan kepada kita, dan kita kurangkan penggunaan gula maka kuranglah belanja kita. Bila tengok daripada dua aspek ini, apabila harga naik, ia sebenarnya tidak akan membebankan pengguna. Itu semua kita sudah tengok.

Bila harga gula naik, apakah itu satu keputusan atau langkah positif. Kalau dibanding dengan rokok, realitinya bila harga rokok naik, masih ramai yang merokok.

DR. MAAMOR: Saya yakin sebab kita kena tengok antara gula dan rokok. Rokok ada bahan kimia yang menyebabkan kita ketagihan, tetapi gula tidak ada. Kenaikan gula ada bajet tersendiri. Kalau kita bajet RM10 untuk beli gula dalam sebulan, walaupun ada kenaikan, kita akan buat inovasi untuk mencari jalan bagi mengekalkan perbelanjaan isi rumah.

Bagi saya, di mana ada keperluan di situ akan ada kreativiti. Saya sangat yakin apa yang perlu kita buat sekarang adalah meyakinkan pengguna bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Kena didik pengguna tentang bahaya gula berlebihan. Di samping itu, kempen pendidikan kepada pengguna ini perlu disertai kementerian lain juga. Pengguna perlu fikir jangan kita dipermainkan oleh peniaga. Kita kena bersatu padu.

Kenapa di pasaran kini, produk yang kurang gula lebih mahal daripada produk yang ada gula? Ia dilihat seakan-akan membantutkan usaha kementerian untuk kempen mengurangkan pengambilan gula. Apa tindakan kementerian?

ISMAIL SABRI: Sebenarnya dari segi meletakkan harga, saya lihat banyak harga yang dikenakan ke atas pengguna seakan-akan tidak berasas. Misalnya, air suam, ada harga sampai 40 sen segelas. Jadi, cara peniaga meletakkan harga kadang-kadang mengikut selera sendiri tanpa ada asas tertentu.

Saya setuju, sepatutnya makanan kurang gula, harga juga perlu berkurang. Sebagai contoh, jika kita ke kedai mamak dan minta teh tarik kurang manis, harganya sama sahaja.

Dari segi perundangan, kita tiada kuasa untuk mengenakan tindakan terhadap kes seperti itu kerana kesalahan hanya berlaku jika barang tersebut diwartakan sebagai barang kawalan.

Bagaimanapun baru-baru ini, kita sudah panggil beberapa pihak yang terlibat dalam industri makanan untuk berbincang agar tidak menaikkan harga.

Saya juga bersetuju jika harga makanan atau minuman yang kurang gula, kalau boleh diturunkan supaya orang boleh buat pilihan. Kalau ada yang tengok harga minuman yang kurang gula lebih murah, mungkin orang akan lebih gemar mengambil minuman kurang gula.

Tetapi bayangkanlah kalau air bergula RM1, air kosong pula 50 sen, saya bimbang juga orang akan kata 'alang-alang cuma tambah 50 sen, baik kita ambil air bergula. Akhirnya, ia juga akan memberi kesan negatif kepada kempen kita.

Saya difahamkan Kementerian Kesihatan juga akan mula memanggil pengeluar makanan dan minuman untuk mengurangkan penggunaan gula. Tetapi seperti saya katakan tadi, kalau kurang pun masih tiada perubahan harga, saya bimbang orang akan ambil juga makanan dan minuman yang manis.

Patutnya, buat ia sebagai satu insentif. Makanan dan minuman yang kurang manis, harganya dikurangkan.

Mungkin di sini penguatkuasaan perlu, sebagai contoh kita tetapkan harga untuk makanan dan minuman tertentu?

ISMAIL SABRI: Kita tidak boleh menetapkan harga setiap barangan dalam negara. Setakat ini, ada tujuh item ditetapkan harga siling sebagai barang kawalan antaranya gula, gandum, minyak masak berasaskan kelapa sawit, gas memasak, petrol dan diesel.

Semua itu tidak boleh dijual melebihi harga siling. Kalau lebih, kita (kementerian) boleh ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga iaitu denda RM15,000 individu dan RM25,000 untuk syarikat.

Kalau barang makanan atau apa saja yang tidak diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga, kerajaan tidak boleh ambil sebarang tindakan undang-undang. Ia terletak kepada pengguna dan merekalah yang mesti menentukannya.

Ini yang hendak kita didik kepada pengguna bahawa mereka mempunyai hak. Baru-baru ini, ada individu buat aduan di akhbar yang mendakwa terdapat kedai menaikkan harga makanan. Dari 10 kedai, sembilan tidak menaikkan harga dan cuma satu saja yang naik harga. Sepatutnya tidak perlu hiruk-pikuk mereka membuat aduan. Boikot saja kedai yang menaikkan harga dan pekedai itu pastinya terpaksa menurunkan harga.

Sebenarnya banyak perkara tidak perlu tunggu kerajaan untuk menggunakan undang-undang bagi menurunkan harga barangan. Pengguna sendiri perlu bersatu untuk menggunakan kuasa menentukan harga, mutu dan sebagainya.

Apakah tindakan PPIM untuk menggalakkan pengguna agar mengurangkan pengambilan gula, sesuai dengan kenaikan harga baru-baru ini?

DR. MAAMOR: Dalam laman web kami, kami telah berikan fakta jelas bahawa gula bukan sesuatu yang amat perlu kepada kita tetapi lebih kepada 'aksesori' kepada makanan.

Selain itu, kami mempunyai kumpulan yang turun ke bawah untuk memberi ceramah bukan sahaja dari segi harga, malah dari segi kesihatan.

PPIM juga mempunyai slot dalam Radio Bernama 24 dan Radio IKIM dan kita ambil kesempatan itu untuk menerangkan bahaya pengambilan gula berlebihan.

Saya percaya kempen yang dibuat ini berterusan. Memang sejak dari dulu, kami beranggapan gula merupakan sesuatu yang 'beracun' untuk badan.

Ada juga perbincangan dijalankan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan syarikat-syarikat serta pengusaha makanan. Hampir semua di kalangan mereka bersetuju bahawa kita perlu berhati-hati dalam penggunaan gula agar mampu memberi yang terbaik kepada pengguna.

Saya percaya kempen ini perlu dijalankan berterusan dan mengambil masa panjang kerana orang yang mendapat keuntungan daripada gula akan terus berkempen misalnya, ada di kalangan pembuat kek yang kata kalau tidak manis maka tidak sedaplah kek itu.

Pada saya, semua itu adalah mitos dan saya harap kita kena faham, kita perlu betulkan sesuatu yang salah dan lakukan apa yang betul.

Peruntukan sebanyak RM5 juta untuk kempen mengurangkan pengambilan gula ini, satu jumlah yang banyak atau sedikit?

DR. MAAMOR: Banyak atau sedikit, itu sesuatu yang subjektif. Kalau tanya saya, saya rasa sangat sedikit kalau dibandingkan dengan kempen sebelum ini untuk antimerokok di mana kejayaannya tak sampai ke mana pun, malah dikatakan gagal.

RM5 juta ini, kalau kita lihat pada kesannya, bayangkan kalau satu orang dapat kita selamatkan daripada penyakit diabetis mellitus. Untuk merawat sakit itu, minimumnya seseorang itu perlu mendapatkan ubatan yang berharga RM80 sebulan. Bayangkan kalau kita dapat selamatkan 100 orang atau 1000 orang.

Itu baru diabetes mellitus, tetapi jika berlaku komplikasi, terpaksa pula dibuat pembedahan 'bypass'. Bypass sekarang ini paling murah pun di Institut Jantung Negara (IJN) memerlukan kos RM38,000. Kalau hospital swasta, lagi mahal.

Bayangkan itu pegawai kerajaan, kerajaan yang kena bayar. Jadi, bagi saya dengan RM5 juta ini, apa yang kita harapkan adalah kesannya secara jangka panjang.

Saya sebenarnya berharap agar kerajaan dapat meningkatkan lagi wang untuk menjalankan kempen ini kerana kita boleh bayangkan kalau semua rakyat Malaysia sedar untuk tidak mahu mengambil makanan yang manis lagi, sektor industri akan sedar bahawa mereka tidak boleh lagi menipu pengguna dan mencari jalan untuk merendahkan harga.

Pada saya, kempen ini mesti merangkumi aspek-aspek 'memperdaya' peniaga dan saya harap kalau boleh kita tambah lagi jumlah itu. Kalau kita bayangkan daripada RM200 juta yang kita perlu untuk kekalkan harga. Kalau setiap rakyat dapat memahami ke mana kita belanjakan RM200 juta itu, apakah kesan jangka panjang, saya pasti rakyat akan sedar bahawa ini adalah satu usaha yang murni.

Pertamanya, dalam kempen itu, kita perlu benar-benar fokus terhadap matlamat yang hendak dicapai. Keduanya, mungkin kita boleh wujudkan pacemaker. Barangkali kita boleh gunakan artis untuk menunjukkan betapa mereka menjalani kehidupan sihat tanpa pengambilan gula.

Ketiga, bak kata bidalan orang Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kita fokus pada peringkat kanak-kanak lagi. Kita perlu ada undang-undang melarang menjual makanan 'junk' yang manis-manis. Itulah yang kanak-kanak suka.

Sebab itu saya katakan, fokus kita kepada kempen ini perlu meluas dan mesti melibatkan pelbagai industri. Bagi saya, beban yang ditanggung kementerian amat besar. Janganlah pula orang lain cuba menggagalkan kempen ini. Saya istilahkan orang yang suka melihat sesebuah pihak gagal itu sebagai langau.

Kalau kempen ini berjaya, bayangkanlah berapa ramai individu yang dapat diselamatkan. Ia adalah kempen yang tepat pada masanya tetapi ia bergantung kepada bagaimana para pengguna menyambutnya. Untuk mendapatkan hasil yang baik, kefahaman secara mendalam perlulah ditanam dalam diri setiap individu.

Ketika kementerian dan persatuan pengguna bekerjasama untuk menjayakan kempen, mungkin ada satu pihak lain akan mengambil kesempatan untuk menyorokkan gula dengan tujuan memanipulasi harga. Bagaimana kerajaan berhadapan dengan situasi itu?

ISMAIL SABRI: Sebenarnya kegiatan menyorok gula ini juga ada kaitan dengan pengguna. Kadang-kadang pengguna yang panik. Misalnya, pada bulan Ramadan lepas. Ada kalanya, peniaga cuma perlu mereka-reka cerita kononnya gula akan naik harga. Pengguna selepas itu akan membawa cerita dan akhirnya, terjadilah pembelian panik.

Apabila berlaku pembelian panik, maka terjadilah terlampau banyak permintaan berbanding bekalan. Di situ, peniaga dan pemborong akan membuat keuntungan dengan menyorokkan gula dan menjual di pasaran gelap dengan harga tinggi.

Di sinilah saya katakan sikap pengguna itu yang kadangkala memberi keuntungan kepada peniaga dan pemborong. Kementerian tidak akan berkompromi terhadap perkara ini.

Seperti telah saya katakan sebelum ini, sesiapa yang ditangkap kerana menyorok gula, pertamanya lesen akan ditarik balik dengan serta-merta. Sewaktu bulan puasa yang lepas saja, kementerian sudah batalkan tujuh lesen.

Keduanya, mereka juga boleh didenda di bawah Akta Kawalan Bekalan. Di bawah akta itu, individu yang didapati bersalah kerana menyorok gula boleh didenda sehingga RM100,000 dan bagi syarikat, mereka boleh didenda sebanyak RM250,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Kementerian akan terus bertindak tegas seperti ini dan saya ingin nasihatkan kepada pengguna agar tidak terpengaruh. Sekarang, sudah ada pihak yang membuat spekulasi kononnya sebelum Tahun Baru Cina, gula akan naik harga. Apabila ada saja spekulasi begitu, beberapa negeri didapati sudah kekurangan gula.

Akhirnya, peniaga akan buat untung, mereka akan jual dengan harga tinggi dan sebagainya. Golongan yang rugi adalah pengguna atau pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang menjual kuih dan sebagainya kerana terpaksa membayar harga tinggi akibat kekurangan bekalan gula di pasaran dan sebagainya.

Jadi, saya harap pengguna agar jangan tertipu dengan helah peniaga-peniaga ini untuk mencari keuntungan.

Banyak pihak melihat pasaran gula tempatan ini bergantung pada satu pihak saja. Ada cadangan supaya hak pengeluaran gula dibuka kepada lebih banyak pihak. Apa pandangan Datuk Seri?

ISMAIL SABRI: Ia melibatkan import. Sebenarnya, kalau nak kata monopoli ia tidak tepat kerana monopoli bermaksud satu pihak sahaja tetapi dalam negara kita, ada empat kilang pengeluar gula yang memproses gula mentah yang diimport dari luar.

Ada yang berpandangan agar permit import khas (AP) dibuka kepada lebih ramai supaya import secara terus gula yang telah diproses dapat dilakukan. Bagaimanapun, AP bukan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sebaliknya di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kabinet telah minta supaya saya dan Menteri MITI berbincang sama ada kita perlu buka lebih banyak peluang kepada pengimport-pengimport gula. Bagi kementerian ini, kita mencadangkan agar AP dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin mengimport gula kerana kita balik kepada teori permintaan dan bekalan.

Jika berlaku lambakan gula di negara ini, harga akan turun. Cumanya, kita bimbang pula kalau harga gula turun, orang akan ambil gula berlebihan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.