saya nak baca ..

JOHOR


ARKIB : 27/01/2010

Pameran lukisan anak Johor


MUHAMMAD Shabir Abdul Wahab bersama lukisan seni tampaknya bertajuk Inspirasi Selatan yang dipamerkan di Galeri Seni, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 26 Jan. – Potret pelukis-pelukis tersohor negara yang merupakan anak kelahiran Johor kini menghiasi Galeri Seni di sini sempena Pameran Seni Tampak.

Potret lukisan yang bertajuk Inspirasi Selatan itu adalah dokumentasi ringkas bagi menyampaikan mesej kisah kejayaan warga negeri ini dalam bidang seni kepada khalayak.

Apa yang menarik, imej sebahagian karya pelukis itu dijadikan latar belakang visual berikutan kejayaan mereka mencipta nama di dalam dan luar negara dengan menyertai pelbagai pameran antarabangsa dan program residensi selain meraih pelbagai pertandingan seni.

Apa pun, pemilihan lima personaliti itu bukanlah sesuatu yang mandatori kerana terdapat ramai lagi pelukis di negeri ini namun ia dilakukan selepas kajian dan pemerhatian secara holistik.

Karya potret itu bermula dengan Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal menerusi karyanya Impian Ledang pada 2000 yang menjadi latar belakang visual potret itu.

Meskipun menjangkau 80 tahun, anak kelahiran Muar itu masih aktif berkarya dan pameran solonya sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur sehingga 31 Januari ini.

Nilai keseluruhan karya seni dalam pameran itu mencecah lebih RM10 juta apabila Semangat Ledang menjadi karya Syed Ahmad yang paling mahal dengan nilai melebihi RM150,000.

Pelukis seterusnya ialah Ahmad Zakii Anwar berusia 54 tahun dan berasal dari Johor Bahru. Karya yang dihasilkan pada tahun 2003 bertajuk Manifesto dipilih sebagai latar belakang.

Ahmad Zakii umumnya dianggap sebagai pengaruh terpenting ke atas perkembangan realisme figuratif dalam amalan seni kontemporari di Malaysia.

Karya-karya ikonik beliau sering mendapat sambutan baik pada acara lelongan seni terkenal dunia seperti Sotheby dan Christie yang melelong lebih sedozen jumlahnya.

Harga bukaan bermula dengan RM70,000 dan akan meningkat melebihi RM100,000 selepas tamat bidaan hingga berjaya menarik perhatian International Herald Tribune dan Time Magazine menemubualnya.

Shooshie Sulaiman pula mengisi ruang di bahagian tengah karya potret itu dengan berlatarbelakangkan karyanya, Wardrobe yang dihasilkan pada 2002.

Berusia 36 tahun, anak kelahiran Muar itu sering kali aktif menyertai acara seni terbesar di peringkat antarabangsa seperti The Florence International Contemporary Biennale di Itali, Havana Biennale di Cuba dan terbaru adalah Asia Pacific Triennial of Contemporary Art di Queensland, Australia.

Penerima Anugerah Bakat Muda Seni Visual 2009 dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu juga satu-satunya pelukis muda wanita Muslim yang terpilih untuk mengadakan pameran di Documenta 12, Kassel, Jerman.

Mengambil tempat ialah Hamir Soib @ Mohamed adalah salah seorang pengasas kumpulan seni tempatan yang sangat berpengaruh dan dinamik iaitu Matahati.

Juga berasal dari Muar, pelukis berusia 40 tahun itu menempa nama sama ada secara berkumpulan mahupun individu di pentas seni tempatan dan antarabangsa.

Karya beliau dengan tajuk Rapuh menjadi latar belakang dan pernah dipamerkan di Galeri Seni Johor pada tahun 2007.

Terkenal dengan imej gotik dan karya berskala besar seperti mural, beliau turut terlibat dengan filem dan seni teater dengan penghasilan lukisan latar untuk pentas dan plot lakonan seperti filem Anna and The King.

Kerjasama beliau dengan Zuraini Anuar untuk filem Perempuan Melayu Terakhir berjaya mendapat anugerah Pengarah Seni Terbaik ketika Festival Filem Malaysia yang ke-14.

Tahun lalu, sebuah karya besar beliau terjual dengan harga RM100,000 di Singapura manakala sebuah lagi karya berskala besar yang beliau hasilkan dalam tahun 2005 bertajuk Pilihan, kini dianggarkan bernilai RM500,000.

Sementara itu, Yusof Ghani menjadi personaliti pilihan terakhir sebagai pelengkap karya Inspirasi Selatan dengan latar belakang karyanya pada 1988 iaitu Siri Tari.

Beliau sering kali menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dan pada awalnya bekerja sebagai artis grafik sekitar tahun 70-an.

Anak kelahiran Pontian itu kini berada di Virginia, Amerika Syarikat untuk menyambung pelajaran apabila beralih kepada seni halus dengan pengaruh gaya American Abstract Expressionists.

Pameran solonya yang pertama di Washington, Amerika Syarikat dengan siri Protest telah mendapat sambutan menggalakkan.

Pelukis berumur 59 tahun itu turut memiliki studio dan galeri di kediamannya di Shah Alam, Selangor dengan nama TAPAK Yusof Ghani.

Apa yang menarik, kontraktor yang bertanggungjawab membinanya tidak mengambil sebarang bayaran dalam bentuk wang sebaliknya meminta lukisannya sebagai pertukaran.

Tahun lalu, sebuah galeri asing telah membayar pendahuluan sebanyak RM1.2 juta kepada Yusof untuk sebuah pameran melibatkan 25 buah karya beliau di Hong Kong meskipun proses penghasilan karya-karya tersebut belum lagi dimulakan.

Itulah kisah-kisah hebat yang manis untuk dibaca hingga telah menimbulkan rasa semangat yang kuat, bisikan hati yang berterusan dan getaran jiwa yang menerbitkan ilham bagi seorang pelukis.

Namun siapakah pelukis kesemua potret itu? Karya tersebut adalah terjemahan apa yang dirasai oleh seorang anak muda yang bernama Muhammad Shahbir Abdul Wahab.

Dia yang lebih dikenali dengan nama seni, Ilshah Shahbir berkata, apa yang lebih mengesankan apabila dia berkesempatan mengenali lebih rapat dengan personaliti itu melalui pertemuan sebelum ini.

“Segala-galanya berlaku apabila saya berhijrah ke Johor pada 2004 sedangkan saya sudah lama menjejaki mereka ketika menetap di Kuala Lumpur.

“Rupa-rupanya mereka yang merupakan pelukis tersohor di negara ini adalah anak Johor dan masyarakat negeri ini perlu berbangga dengan bakat luar biasa yang dimiliki mereka,” katanya ketika ditemui di Galeri Seni baru-baru ini.

Bapa kepada dua anak itu berkata, karya Inspirasi Selatan itu merupakan gumpalan pemikiran dan perasaan yang penuh dengan ilham, meliputi idea dan persembahan yang mewakili setiap pergerakan yang berlaku di sekelilingnya.

“Apa yang dirasai saya telah diluahkan dalam bentuk karya seni visual dengan harapan khalayak akan merasai pengalaman yang sama.

“Pastinya ada persoalan yang terbentuk, diperbahas dan dibincangkan secara jujur namun kesan penuh berinspirasi lebih diharapkan oleh saya untuk menghasilkan karya potret ini,” katanya penuh puitis sebelum mengakhiri perbualan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.