saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/01/2010

Kisah benar Ghazal Parti


BARISAN tenaga produksi dan pelakon yang akan menjayakan pementasan Ghazal Party Queen.


SATU ketika dahulu, kesenian ini cukup popular di kalangan penduduk di utara Semenanjung tanah air. Menggabungkan muzik, lagu, lawak dan tarian, ia menjadi satu kemestian bagi masyarakat setempat terutama bila ada majlis keramaian.

Kesenian yang dinamakan Ghazal Parti ini bertambah lucu apabila si penarinya adalah terdiri daripada kaum lelaki yang berpakaian wanita.

Menari dan bergelek dengan alunan lagu-lagu irama padang pasir, Ghazal Parti kini semakin pudar popularitinya.

Justeru, atas dasar untuk membangkitkan memori dan mengetengahkan apa itu Ghazal Parti, Angkatan Karyawan Aktif Kuala Lumpur (Angka) dan Killerbatch Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) Kulim bakal mementaskan sebuah teater yang mengisahkan tentang apa itu Ghazal Parti.

Teater yang dinamakan Ghazal Party Queen itu mendapat kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Kuala Lumpur.

Akan dipentaskan di Taman Budaya Kuala Lumpur bermula 5 hingga 8 Februari ini, Ghazal Party Queen mengambil latar kisah benar seorang bekas penari Ghazal bernama Pak Teh Nan serta kehebatan kumpulan Ghazal Parti Sungai Bakat di Kedah, satu ketika dahulu.

Uniknya, Pak Teh Nan adalah seorang yang gagah di bendang di siang hari dan menjelang malam, tatkala diundang dalam majlis keraian, dirinya bertukar menjadi penari gelek yang sukar ditandingi.

Menurut Pengarah Ghazal Party Queen, Esnani Elias, pementasan teater berkenaan akan membariskan 40 tenaga produksi dengan penampilan istimewa penyanyi Aishah.

Aishah, jelasnya, diundang memeriahkan Ghazal Party Queen sebagai penyanyi Ghazal.

"Ghazal Party Queen sebelum ini sudah dua kali dipentaskan. Pengarah dan pelakonnya juga berbeza.

"Untuk pementasan ketiga ini, saya adalah pengarahnya. Pementasan terdahulu, hampir kesemua pelakonnya adalah mereka yang aktif dalam teater.

"Namun, pementasan kali ini benar-benar mencabar kerana menggabungkan penggiat teater dan mereka yang baru berlakon terutamanya anggota Killerbatch Ansara Kulim,'' katanya ketika ditemui di majlis perasmian pementasan Ghazal Party Queen di Taman Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perasmian pementasan berkenaan telah dilakukan oleh Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Kuala Lumpur, Noorsiah Sabri.

Antara barisan pelakon Ghazal Party Queen adalah L. Vynn sebagai Munah; Ku Mohd. Yusri Ku Abd. Rahman atau Adeq Sutun yang memegang dua watak iaitu Nasir dan Abu Telok Jawa; Mohammed Raduan Kamaruddin (Din); Ramshi Huzaireen Baba (Pak Teh Nan sewaktu muda); dan Mohamed Rodzi Abdullah (Pak Teh Nan sewaktu tua).

Menerusi teater tersebut, Pak Teh Nan yang juga seorang penari gelek menaruh perasaan cinta terhadap Kamariah.

Namun, cinta mereka tidak kesampaian apabila Kamariah dijodohkan dengan sahabat baik Pak Teh Nan iaitu Din.

Lebih menyedihkan, di malam kenduri perkahwinan antara Din dan Kamariah, Pak Teh Nan telah difitnah sehingga membuatkannya nekad untuk tidak menjadi penari gelek lagi.

Menyambung bicara, Esnani berkata, Ghazal Party Queen mengetengahkan mesej untuk menyedarkan orang ramai tentang penyakit masyarakat yang tidak lari daripada suka mengutuk atau berperasaan dengki.

Kumpul dana

Sementara itu, salah seorang ahli jawatankuasa Killerbatch Ansara Kulim, Kamaruddin Yusop memberitahu bahawa kumpulan tersebut tampil memberikan kerjasama dalam pementasan berkenaan adalah bagi mengumpul dana membina Asrama Donni.

Pembinaan Asrama Donni di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens, Kiulu, Sabah, ujarnya, adalah sebahagian daripada aktiviti amal sempena sambutan ulang tahun ke-30 Killerbatch Ansara Kulim.

Killerbatch adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan bekas pelajar MRSM Kulim, Kedah yang pernah belajar di maktab berkenaan sekitar 1979 hingga 1983.

Asrama Donni merupakan projek kerjasama Killerbatch dan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) yang mana Killerbatch bertanggungjawab bagi mengumpulkan dana manakala PPS akan menyelaras serta menyelenggara pembinaan asrama.

Pembinaan itu tercetus selepas kisah Donni John Duin, seorang pelajar darjah 5, Sekolah Kebangsaan Kinarut, Sabah, menggantung diri akibat kemiskinan disiarkan di beberapa akhbar di Sabah.

Kata Kamaruddin, tragedi 2007 itu akan terus diingati dan pembinaan Asrama Donni bertujuan untuk membantu pelajar miskin.

Jelasnya, untuk pementasan Ghazal Party Queen, seramai lapan anggota Killerbatch akan turut sama menjayakan pementasan tersebut sebagai pelakon.

"Teater ini pernah memenangi Anugerah Cameronian untuk Skrip Asal Terbaik pada 2004 ketika pertama kali dipentaskan.

"Skripnya ditulis oleh seorang anggota Killerbatch iaitu Mohd. Rodzi. Kami mengharapkan tajaan serta sumbangan sesiapa sahaja termasuk syarikat korporat agar pembinaan Asrama Donni dalam direalisasikan,'' tambahnya.

Tiket-tiket untuk menyaksikan Ghazal Party Queen sudah mula dijual pada harga RM20 dan RM30 dan untuk keterangan lanjut, peminat teater boleh hubungi Zaili (0123691096) atau Wati (013-3405299).

Kesemua pementasan akan bermula pada pukul 8.30 malam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.