saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 01/02/2010

Juliza beralih angin


JULIZA ADZLIZAN masih lagi anggun walaupun usianya sudah mencecah 44 tahun.


Oleh MUZLINA ABU BAKARTIGA tahun lagi, penyanyi Juliza Adzlizan Abd. Rafar, 44, akan meraikan ulang tahun ke-30 karier seninya.

Pastinya, ramai yang tidak percaya atau barangkali ada sebilangan besar daripada pembaca yang mula mencongak apa benar sudah tiga dekad Juliza bergelar anak seni.

Tentu sekali ada benarnya. Dia ditabalkan sebagai juara Bintang RTM pada tahun 1983. Ketika itu, dia hanya berusia 17 tahun.

Biar masa berlalu, tidak sedikit momen manis itu luntur dari kotak fikiran Juliza.

Bintang RTM benar-benar mengubah kehidupannya secara total bagi seorang gadis sunti yang berasal dari pekan kecil Temerloh, Pahang.

Asalnya, penyertaan Juliza dalam pertandingan itu sekadar memenuhi impiannya untuk bertanding.

Namun benarlah kata pepatah tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak ada siapa yang tahu.

Persembahan Juliza menerusi lagu Kuda Hitam memberikan tuah yang bukan kecil padanya sehingga menarik perhatian juri yang sepakat mengangkatnya sebagai juara ketika itu.

"Julie tidak pernah sangka penyertaan Julie dalam pertandingan itu memberi kejayaan besar dalam hidup Julie.

"Ia bukan sahaja meninggalkan memori indah, malah Bintang RTM jugalah telah mengubah corak hidup Julie sehingga hari ini," luah Juliza atau mesra disapa Julie pada satu pertemuan dengannya minggu lalu.

Di sebalik kemenangan itu, apa yang menerbitkan rasa kagum dalam diri Juliza ialah peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tidak ketinggalan, dia juga dilamar sebagai artis rakaman Studio 43 pada tahun 1985.

Dua buah album diterbitkan serentak untuknya iaitu Kau Ada Yang Lain yang diedarkan sebelum Juliza berangkat ke Amerika Syarikat (AS).

Dua lagu daripada album pertama ini meletakkan nama Juliza di puncaknya iaitu Kasih Dan Sayang Insan dan Bagaimana Harus Ku Lupakan.

Sementara album kedua Salahkah Aku Menyintaimu diedarkan pada 1986 ketika Juliza masih meneruskan pengajiannya di AS.

Juliza, ibu kepada tiga orang anak - Amzar Mustazly Mustaza, 22, (hasil perkahwinan pertamanya), Nur Addin Ariff, 14, dan Julia Afrina Batrisyia, 10, bersama suaminya sekarang, Nor Iskandar Nordin, 44 tahun, berkata:

"Kemenangan itu bukan sahaja telah menjadikan Julie seorang artis rakaman, malah berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang muzik teater di Pointpark College Pittsburgh di AS 1985-1987."

"Julie amat bersyukur kerana dengan limpah perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ketika itu merupakan Yang Dipertuan Agong, Julie dapat melanjutkan pengajian di sana dengan biasiswa Yayasan Pahang," katanya merakamkan penghargaan buat Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun, selepas dua tahun menuntut dalam bidang berkenaan, Juliza menukar pengajiannya dalam persembahan vokal di Utah State University pada 1987-1990.

Sudahnya beliau pulang membawa segulung ijazah dalam bidang vokal pada tahun 1990.

Dengan kelayakan akademi itu, Juliza meneruskan kerjayanya sebagai guru vokal kepada individu yang meminati senisuara terutama golongan tertentu.

"Sehingga kini, Julie ada 20 pelajar yang mengikuti kelas vokal. Tetapi Julie bukan mengajar mereka serentak, sebaliknya seorang demi seorang pelajar pada satu masa demi memberi tumpuan yang total.

"Di samping itu, Julie juga membimbing tiga bintang Akademi Fantasia 7 iaitu Hafiz, Aril dan Akim," jelas Juliza lagi.

Menurut Juliza, kerana terikat dengan komitmen membimbing 20 orang pelajar, masanya lebih banyak ditumpukan kepada mereka meskipun pada hujung minggu.

"Sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang vokal, Julie amat menitik beratkan soal disiplin. Sebab itu mereka yang mahu mengikuti kelas vokal Juliza Singing Factory, Julie selalu tekankan tentang disiplin dalam mengikuti kelas.

"Disebabkan mereka, kadang-kadang Julie sanggup korbankan waktu untuk suami dan anak-anak kerana Julie mahu mereka berjaya dalam bidang yang mereka minati," Juliza menjelaskan prinsipnya dalam bekerja.

Juliza Singing Factory yang beroperasi di kondominium di Damansara Perdana cuma mengenakan yuran RM1,500 untuk kelas selama 12 jam yang mengambil masa tiga bulan.

Melalui kelas itu, Julie dapat menjejaki minat dan kecenderungan seseorang bakat baru dalam genre muzik mana yang bersesuaian dengan suara mereka.

"Ini adalah penting jika mereka berminat untuk menjadi penyanyi. Julie tidak mahu bakat mereka dipersiakan seperti sebuah rancangan realiti program yang memaksa semua pelajarnya menyanyi pelbagai lagu yang bukan makanan mereka.

"Jika pelajar itu meminati rock tidak ada salahnya, apa yang penting tenaga pengajar mempelbagaikan genre rock mereka. Janganlah kita berangan mahu menjadikan semua penyanyi seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

"Memang bagus menjadi penyanyi versatil tapi bukan semua orang boleh jadi begitu. Itulah hakikat yang harus kita terima. Jika pertandingan itu masih meneruskan dengan konsep begitu, Julie rasa tidak akan ke mana perginya mereka," komennya mengenai perkembangan dunia seni dan pertandingan realiti TV.

Menceritakan perkembangan terbaru kerjaya seninya, selain dua album itu, Juliza pernah muncul dengan album Saksi (BMG-1991), Raikan Malam Cinta (Sony-2005) berkata, dia kini dalam proses menerbitkan single terbaru di bawah syarikat produksi yang diasaskan suaminya, Melic (M) Sdn. Bhd.

"Dalam album itu nanti, Julie akan rakamkan dua lagu sahaja iaitu satu lagu Melayu dan Inggeris," katanya berkongsi cerita.

Juliza yang juga bekas Pengetua Institut Teknologi Tun Abdul Razak dalam bidang Persembahan Seni pada 1991-1993 tidak hanya pandai menyanyi, sebaliknya dia juga berbakat dalam bidang lakonan.

Filem Juara arahan Yusof Kelana yang diterbitkan pada tahun 1991 merupakan filem pertama dan terakhir lakonannya diikuti dengan beberapa buah drama antaranya drama bersiri Kelas Malam.

Ketika ini, penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Kuda Hitam ini banyak menerima undangan mengadakan persembahan makan malam.

Namun begitu, pernah selama empat tahun dari tahun 2001-2004 dia membuat keputusan meminggirkan diri dari dunia seni demi memberi tumpuan pada keluarga.

"Ketika itu anak Julie masih kecil. Julie tidak mahu anak-anak dibesarkan oleh orang lain, jalan yang terbaik Julie lupakan terus dunia seni.

"Selama empat tahun, Julie ikut suami yang bekerja di Pulau Pinang. Ketika itu, dunia Julie hanyalah anak-anak, suami dan memasak. Waktu itu juga, Julie tidak pernah terfikir untuk mengadakan kelas vokal.

"Bagaimanapun apabila mereka sudah membesar barulah Julie buka kelas vokal tetapi itupun di rumah sahaja," katanya sambil tersenyum.

Mengenai perancangan masa depannya, Julie tanpa berselindung memberitahu, buat masa ini dia sedang dalam proses untuk membuka kafe berkonsepkan Starbuck.

"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar dan direstui suami dalam tahun ini Julie akan membuka kafe.

"Ramai yang tidak tahu sebenarnya minat Julie dalam bidang memasak dan cita-cita utama mahu menjadi chef.

"Menyanyi cumalah bakat. Julie menyanyi sebagai menghargai bakat anugerah Tuhan. Kalau ada peluang Julie mahu mengikuti kursus menjadi seorang chef," kata Juliza lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.