saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 08/02/2010

Kebajikan, ketelusan, keadilan sekadar slogan manis

MINGGU lalu penulis menerima satu mesej daripada seorang wakil rakyat. Dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) itu beliau menyatakan: ''Pelik Tapi Benar... Satu Ketua Menteri dan dua Menteri Besar: Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor betul-betul memeningkan rakyat. Sepanjang masa berpolitik, penuh kontroversi dan tidak fokus pada tugas sebagai ketua kerajaan negeri''.

Mungkin beliau merujuk kepada pergolakan yang berlaku di negeri-negeri itu yang diterajui oleh Lim Guan Eng (DAP), Nik Abdul Aziz Nik Mat (Pas) dan Abdul Khalid Ibrahim (PKR). Pulau Pinang dengan isu Melayunya dan terjahan oleh wakil rakyat PKR (rakan DAP) terhadap Ketua Menteri; Kelantan kalut dengan isu royalti dan hasrat Nik Abdul Aziz yang mahu membuat u-turn mengenai perbincangan UMNO - Pas; Selangor pula yang terlalu hebat dengan slogan negeri berkebajikan kalut mahu merampas tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK). Boleh buat filem! Tetapi sudah tentu bukannya menggunakan tajuk Tiga Abdul, Do Re Mi atau Pendekar Bujang Lapok.

Terserahlah kepada rakyat Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor membuat penilaian mereka.

Minggu lalu, selepas tersiar tulisan Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang? di ruangan ini, ada yang kurang senang kenapa Utusan Malaysia begitu ghairah mempertahankan nasib peniaga Melayu Pulau Pinang. Insan yang tidak puas hati itu menyenaraikan tahun-tahun terdahulu mengenai peniaga Melayu yang mengalami nasib yang sama. Katanya, dulu pun kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan merobohkan gerai penjaja Melayu. Beliau bertanya ke mana Utusan Malaysia ketika itu?

Sebenarnya Utusan Malaysia tidak pernah melupakan perjuangan untuk peniaga Melayu. Sedikit sebanyak pasti ada laporan yang berkaitan tetapi jika tindakan yang dilakukan kerajaan itu demi kebaikan ramai pada jangka masa panjang, maka keadaan itu tidak dapat dielakkan.

Contohnya gerai Melayu di Meriam Timbul, Butterworth. Dulu pun, semasa berulang-alik dari pulau ke seberang, penulis sering singgah di Meriam Timbul untuk menjamu selera. Tetapi kini suasana itu tiada lagi. Medan selera di situ dipindah ke tempat lain. Cuba lihat apa yang terjadi di situ sekarang. Untuk apa ia dibangunkan? Maka tidak semua yang diroboh itu tidak tentu punca. Penulis dalam tulisan pada minggu lepas pun tidak menafikan dalam tempoh kerajaan BN memerintah, ada gerai Melayu yang dirobohkan dan ada gerai bukan Melayu yang tidak dirobohkan. Ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.

Cuma apabila ia berlaku di era pemerintahan pakatan pembangkang, ia dianggap sesuatu yang luar biasa, sehingga dianggap satu penganiayaan terhadap peniaga atau penjaja kecil yang sudah berniaga di situ sejak kerajaan BN memerintah. Tetapi sebagai sebuah kerajaan yang melaung-laungkan negeri berkebajikan, membela nasib rakyat dan entah apa lagi janji-janji manis semasa pilihan raya umum lalu, maka tindakan kerajaan pakatan pembangkang itu sudah tentu dilihat sebagai tidak wajar.

Tentunya masih terngiang-ngiang di telinga rakyat di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor mengenai janji-janji manis 'bulan dan bintang' untuk mereka. Maka sebagai sebuah negeri berkebajikan sudah tentu kebajikan rakyat perlu dijaga walaupun rakyat berniaga tanpa lesen, tidak ikut peraturan dan sebagainya. Apa yang penting, kebajikan rakyat didahulukan, ketepikan sementara undang-undang dan peraturan buatan manusia yang boleh dipinda dan sebagainya.

Maka apabila kerajaan Pulau Pinang meroboh gerai sama ada di kawasan Bukit Bendera, Balik Pulau, Bayan Baru, Permatang Pauh malahan seluruh negeri itu (milik PKR, DAP) kecuali Kepala Batas dan Tasek Gelugor (BN) maka sudah tentu tindakan itu dilihat sebagai tidak selari dengan slogan manis yang ditaburkan pada pilihan raya umum lalu. Begitu jugalah dengan Selangor yang di dalam khutbah Jumaat pun diselitkan sebagai negeri berkebajikan.

Minggu lalu semasa singgah solat Jumaat di Masjid Jamek Kajang, penulis mendengar doa yang dibacakan khatib pada akhir khutbah mengenai Selangor negeri berkebajikan. Sedih ketika mengaminkan doa itu penulis terkenangkan nasib YBK.

Kalaulah ia benar-benar negeri berkebajikan, maka tanah YBK tidak akan dirampas. Kalau hutang cukai tanah tertunggak dan kemudiannya dibayar, apa masalahnya untuk membebaskan tanah itu? Kalaulah benar-benar negeri berkebajikan maka cukai tanah itu boleh dilupuskan begitu sahaja demi kepentingan yayasan yang mahu menjaga kebajikan orang miskin. Ini tidak, kerajaan pakatan DAP-PKR-Pas tidak berhasrat memberi maaf kepada YBK kerana terlewat bayar cukai. Mungkin ramai lagi yang di luar sana mula 'kecut perut' kalau-kalau tanah yang tidak dibayar cukai akan dirampas. Rumah yang tidak dijelaskan cukai pintu pula akan disita. Maka selepas menunaikan solat Jumaat itu, penulis ke pejabat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang terletak tidak jauh dari masjid untuk menjelaskan cukai pintu, bimbang nanti rumah kena sita. Malangnya pejabat beroperasi semula pukul 2.45 petang. Disebabkan banyak kerja lain nak dibuat, penulis membatalkan hasrat itu. Harap-harap penulis tidak terlewat untuk menjelaskannya.

Tahun lalu, penulis terlewat bayar dan dikenakan denda.

Kalaulah ia menggambarkan negeri berkebajikan, cukai pintu pihak berkuasa tempatan pun kalau terlewat tidak perlulah dikenakan denda. Ini tidak, kalau lewat sehari daripada tarikh yang ditetapkan akan dikenakan denda. Kalau tidak silap, penulis kena denda RM50. Kalau seorang pemilik rumah membayar denda RM50, jika 10 orang dah dapat kumpul RM500. Kalau duit denda itu diguna untuk kebajikan rakyat seperti membaiki jalan yang berlubang atau memasang lampu jalan, berbaloilah juga.

Sebenarnya RM50 bagi yang berpendapatan rendah atau sederhana bukanlah satu jumlah yang kecil. Dengan RM50 boleh bawa satu keluarga makan sate Kajang atau boleh buat kenduri durian. Lebih-lebih lagi harga durian sekarang dah murah.

Kebajikan datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Maka usahlah dipermainkan perkataan kebajikan. Begitu juga dengan keadilan, ketelusan dan bertanggungjawab. Usahlah mendakwa diri mahu mencontohi pemimpin terdahulu seperti Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbiran dan apabila gagal menyalahkan orang lain.

Akhirnya, jika di awal tulisan ini, penulis memaparkan SMS, satu lagi SMS yang diterima ekoran tulisan minggu lepas yang menyentuh soal ketamakan kuasa dan harta sehingga menyebabkan Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem Tiga Abdul dilelong.

SMS itu berbunyi: ''Saudara lupa dalam filem itu juga, Sadiq Segaraga yang berjaya merampas harta Ismet Ulam Raja melalui Abdul Wahab dan Abdul Wahib juga dilelong. Kassim Patalon yang menjadi Tuan Penasihat yang dijanjikan komisyen 25 persen oleh Sadiq Segaraga juga dilelong''.

Penulis tersenyum dan sekadar menjawab: ''Semoga di kalangan orang Melayu akan muncul Abdul Wahub yang mampu menebus kembali harta bapanya, Ismet Ulam Raja dan maruah Abdul Wahab, Abdul Wahib serta isteri masing-masing Hamidah dan Rafidah serta Sadiq Segaraga. Biarkan Tuan Penasihat dilelong seluruhnya,".

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.