saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 08/02/2010

Sebak terkenang arwah Nanaa


KELUARGA bahagia ... Daada (tiga dari kanan) bersama suami, S. Amin Shahab (dua dari kiri) dan anak-anak (duduk dari kiri), Sharifah Nur Anisah, Sharifah Nur Atiqah, Iman, Sharifah Nur Aisyah dan Khadijah.


ALLAHYARHAM Junainah Johari atau lebih mesra dikenali sebagai Nanaa sudah hampir 12 tahun menyahut seruan Ilahi.

Namun, sepanjang tempoh pemergian Nanaa, tidak pernah sedikit pun hilang rasa kasih dan ingatan Daada atau Junaidah Johari terhadap adik kembar kesayangannya itu.

Keakraban hubungan kembar itu saling tidak tumpah seperti irama dan lagu - kedua-duanya sukar dipisahkan.

Bahkan, selepas masing-masing berkahwin, baik Daada mahupun Nanaa, mereka tidak boleh berpisah.

"Sejak kecil kami berdua sangat rapat. Sebab itulah apabila arwah Nanaa kahwin dan tinggal di Kuala Lumpur saya juga melakukan perkara yang sama.

"Arwah Nanaa dan suami (M. Nasir) duduk di Sungai Buloh, sementara saya dan suami (S. Amin Shahab) menetap di Taman Tun Dr. Ismail dan kami memang saling kunjung mengunjungi," cerita Daada pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Kepada yang mungkin kurang mengenali Daada, beliau merupakan penyanyi yang menganggotai kumpulan Ideal Sisters bersama arwah adiknya, Junainah Johari atau Nanaa yang juga isteri seniman ternama, M. Nasir.

Selain mereka berdua, Ideal Sisters juga dianggotai oleh ibu saudara pasangan kembar itu, Azizah.

Nama kumpulan itu sangat masyhur menerusi lagu Hanya Sekali.

Mengajak Daada bercerita mengenai kembarnya, hatinya mudah terusik. Rasa sebak secara tiba-tiba membelenggu emosinya.

Kata Daada, sejujurnya sehingga ke saat ini, rasa terkilan di hatinya sukar dipadam biarpun arwah adiknya itu sudah meninggal dunia lebih 10 tahun.

Dalam nada suara tersekat-sekat, Daada membongkar rahsia yang disimpan sejak arwah Nanaa meninggal dunia pada 8 Ogos 1998.

"Sebenarnya malam sebelum arwah jatuh dan koma, arwah menelefon saya agar datang ke pejabat Luncai Emas di Sungai Buloh untuk melihat hasil sentuhan dekorasi dalamannya," Daada memulakan cerita.

Sebelum ini, menurut Daada, jarang sekali dia menolak permintaan kembarnya itu.

Cuma pada hari berkenaan, Daada terpaksa mengatakan tidak dengan alasan terlalu sibuk sehinggalah mendapat berita sedih mengenai Nanaa.

Rasa kesal dan bersalah tidak henti-henti bermain di minda Daada dan dia seperti hilang arah kerana tidak memenuhi permintaan saudara kandung yang sangat dikasihinya itu.

Dek kerana itu juga, sehingga kini, suara arwah Nanaa menjemputnya ke pejabatnya masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Tiga tahun lamanya saya mengambil masa untuk melupakan arwah. Macam-macam perasaan bermain di jiwa saya.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah akhirnya saya dapat melupakannya dan saya sangat pasti arwah tenang dan bahagia di sana," Daada menyambung bicara dalam nada bersulam rasa sebak.

Mengingatkan kembali sejarah permulaan kerjaya seninya, Daada menyifatkan, ia seperti baru semalam berlalu.

"Seronok dan menghiburkan kerana zaman remaja kami dipenuhi dengan undangan menyanyi di samping mentelaah pelajaran.

"Bagi kami menyanyi, menyanyi juga tetapi kami tidak pernah melupakan pelajaran kerana itu penting untuk masa depan kami. Itulah prinsip saya, arwah Nanaa dan Azizah apabila menceburi bidang seni," cerita Daada.

Ketika zaman kegemilangan Ideal Sisters, mereka tidak pernah menang tangan menerima undangan mengadakan persembahan.

Bukan hanya di Singapura, bahkan kumpulan itu juga kata Daada, sering diundang ke Malaysia dan Brunei.

"Ketika itu bukan duit yang menjadi ukuran, tetapi keseronokan dan penghargaan peminat seni terhadap kami.

"Waktu itu kami masih remaja, peluang menjengah negara orang satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

"Walaupun kami popular tetapi apa yang menyenangkan hati keluarga kami ialah tidak pernah ada gosip liar tentang kami. Itu amat penting," cerita Daada sambil tersenyum sambil sesekali ingatannya melayang ke zaman remajanya.

Biar sibuk dengan jadul seni yang padat, si kembar itu bagaimanapun tidak pernah mengabaikan pelajaran mereka. Setelah lulus pengajian di peringkat A-Level di Singapura, Daada menjadi guru di sebuah sekolah di Singapura dan pada waktu yang sama dia masih meneruskan minatnya dalam bidang seni.

"Meskipun masih menyanyi, saya tetap meneruskan kerjaya dalam bidang perguruan kerana itu satu tugas dan tanggungjawab," cerita Daada sambil membuka rahsia cita-cita asalnya ialah untuk menjadi seorang peguam.

Menurut Daada, walaupun mencipta populariti dengan menyanyi dan terpaksa melupakan bidang guaman namun dia tidak pernah menyesal menceburi bidang berkenaan.

Apa lagi selepas bertemu pria yang berjaya menambat hatinya menyebabkan Daada semakin yakin dengan pilihan hati.

Sambil tersenyum memandang suaminya S. Amin Shahab yang asyik menghayati lukisannya, Daada tanpa malu memberitahu: "Amin adalah sesuatu yang paling bermakna dan berharga yang saya dapat sepanjang bergelar artis."

Sebetulnya, pertemuan, perkenalan dan percintaan pasangan ini berlaku secara spontan.

"Sudah ditakdirkan jodoh kami, percintaan yang seketika itu membawa kami ke jinjang pelamin pada 1 Januari 1983.

"Selepas kahwin, saya terus meninggalkan bidang nyanyian kerana Amin tidak suka saya menyanyi. Dia mahu saya menumpukan perhatian pada rumah tangga," kata Daada yang gembira dengan keputusan yang dibuatnya itu.

Sejak saat itulah, Daada melupakan terus bidang nyanyian apalagi ketika itu kembarnya, Allahyarham Nanaa telah setahun lebih awal berkahwin dengan M. Nasir dan trio Ideal Sisters terus berkubur.

Kini kata Daada, walaupun Ideal Sisters sudah berkubur tetapi kenangan manis tetap tersimpan rapi di hatinya walaupun dunianya sudah berubah.

Bergelar pengetua tadika

Kemesraan yang terjalin antara penulis dan Daada pada pertemuan hampir membuatkan kami terlupa yang kami sudah lebih 20 tahun tidak bersua.

Biar masa berlalu, kehidupan beliau dan penulis juga sudah berubah, namun satu perkara mengenai Daada yang tidak berubah ialah peribadinya.

Pada usia 48 tahun, Daada masih seperti dulu, ramah dan terlalu mesra walaupun kini ibu kepada lima orang anak - Khadijah, 21, Sharifah Nur Aisyah, 18, Sharifah Atiqah, 17, Sharifah Nur Anisah, 14, dan Iman, 3, sudah bertukar karier.

Pertemuan yang berlangsung di rumahnya di Bandar Baru Selayang lebih tiga jam membawa kami kepada pelbagai ingatan manis ketika era kegemilangan Ideal Sisters.

Siapa sangka dalam diam-diam, penyanyi itu kini sudah beralih angin menjadi Pengetua di Tadika Cahaya Alam, di Bandar Manjalara, Kepong.

Andai dulu, fokus Daada hanyalah pada rumah tangga, menulis skrip dan menjaga kebajikan anak-anak tetapi kini rutin hariannya sudah berubah.

Seawal pukul 7 pagi, Daada memulakan hari di tadika berkenaan sehinggalah pukul 12.30 tengahari.

"Setiap kali melihat kanak-kanak riang dan gembira menghadapi pelajaran di pra-sekolah, hati saya cukup seronok. Masakan tidak, mereka begitu bersemangat dan ghairah belajar.

"Kini cita-cita dan impian saya hanya meneruskan minat dan kerjaya di sekolah ini demi anak-anak yang perlukan perhatian dan pelajaran," kata Daada lagi yang juga lulusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Universiti Malaya (2004) .

"Saya cukup bersyukur kerana sudah 11 tahun menjadi Pengetua di sini. Bersama 29 staff lain yang terdiri daripada guru-guru, impian saya kini hanya satu iaitu untuk memberi sebanyak mungkin ilmu sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan.

"Mudah-mudahan niat dan harapan saya serta guru-guru lain akan sentiasa mekar bersama kanak-kanak ini kerana bagi saya inilah dunia saya kini," kata Daada sambil memandang lima orang anak-anaknya.

Anak angkat

Ralit bercerita mengenai kehidupan sehariannya, tiba-tiba perbualan beralih kepada anak-anaknya pula.

Ketika ini, Daada sedang meraikan kehidupan yang menggembirakan anak sulungnya pula, Khadijah bakal menamatkan zaman bujangnya.

"Apabila melihat Khadijah yang akan berkahwin tidak lama lagi, terasa diri ini sudah tua.

"Tetapi saya bersyukur kerana dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab saya sebagai seorang ibu walaupun dia hanyalah anak angkat saya," ujar Daada.

Menurut Daada, dia kini sibuk menguruskan majlis pernikahan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kerana kasih pada kanak-kanak juga, Daada pada tiga tahun lepas membuat keputusan untuk memelihara seorang lagi anak angkat.

"Anak-anak saya semuanya perempuan dan teringin pula untuk memelihara anak lelaki yang dikatakan lasak. Alhamdulillah hasrat kami untuk memiliki Iman berjaya dan dia memang lasak.

"Walaupun Khadijah dan Iman bukan darah daging kami tetapi kami sekeluarga sangat menyayangi mereka. Kalau ada rezeki saya nak ambil anak angkat lagi. Saya nak jadi Angelina Jolie Malaysia pula!" kata Daada sebelum mengakhiri perbualan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.