saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 09/02/2010

Bila waktu berhenti berdetik...

BAYANGKAN saat-saat akhir tatkala seorang pelajar diminta meletakkan penanya dalam suatu peperiksaan penting. Ketika itu, masa yang diperuntukkan untuk menjawab soalan-soalan telah tamat.

Apa pun yang telah termaktub di atas kertas jawapan tidak boleh lagi diubah-ubah dan bakal menjadi suatu manifestasi sejauh mana jerih-perih dan usaha bersungguh-sungguh yang telah disemai sekian lama membuahkan hasil yang didambakan atau sebaliknya.

Ia laksana suatu timbang tara dan juga jawapan kepada pengharapan tulus dari ibu bapa, rakan taulan dan guru-guru yang tentunya mengharap keputusan paling gemilang.

Nafsu serakah menjadi kitab panduan

Hakikatnya, situasi masyarakat dunia kini tidak begitu banyak berbeza dengan suasana yang digambarkan saya itu. 'Ahli-ahli masyarakat dunia' sebenarnya adalah ibarat 'pelajar' yang digalaskan dengan amanah oleh generasi terdahulu untuk meneruskan agenda kemajuan, mengekalkan keamanan dan kesentosaan di seluruh pelosok bumi.

Ironinya, generasi manusia hari ini lebih kepada ibarat 'pelajar yang malas-malas' dan 'tidak boleh diharap'. Kegetiran 'menjawab persoalan', meneruskan kelangsungan amanah suci yang diwariskan tidak lagi dipikul sebagai suatu keutamaan agenda. Ketamakan dan kerakusan sebaliknya bermaharajalela lantaran nafsu serakah yang menjadi kitab panduan!

Sedangkan malaikat tunduk kepada manusia

Dalam paparan kejadian Nabi Adam, tingginya martabat manusia dan penciptaannya sehinggakan Allah menyuruh malaikat dan syaitan tunduk menyembah. Malangnya, manusia tampak lebih minat berbalah, bersengketa, berbunuhan sesama sendiri.

Betapa suatu gambaran yang manusia gagal menghargai kedudukan terpuji yang Allah Taala tetapkan kepada manusia. Betapa manusia mudah terlupa amanah 'kekhalifahan' yang ditugaskan oleh-Nya!

Pernyataan yang menyebut bahawa manusia hari ini semakin moden dan ketamadunannya pula telah berkembang pada tahap terbaik - tidaklah tepat. Ketamadunan dan peradaban manusia hakikatnya tidak boleh hanya dinilai melalui pembangunan material dan fizikal semata-mata.

Dan bila mana aspek spiritual dan perkembangan minda dijadikan kayu ukuran, cara pemikiran manusia tampak jelas tidak banyak berubah dalam tempoh ribuan tahun. Peperangan sebagai contohnya masih lagi menjadi agenda yang diagung-agungkan.

Tidak cukup dengan Perang Dunia Kedua beberapa dekad lepas, peperangan demi peperangan tidak kunjung sepi diatur dan dicatur atas pelbagai sebab tersirat yang keji. Nyawa manusia tak berdosa menjadi halal untuk dikorbankan.

Nawaitu sebenar di sebalik perang 'dibungkus kemas-kemas dengan pembalut kertas berlabelkan keadilan' sedangkan isi di dalamnya ialah motif politik jijik dan kepentingan ekonomi yang memualkan!

Di Iraq misalannya, demi menjatuhkan rejim Saddam Hussein, tag-team 2B (Bush-Blair) mereka-reka ceritera kisah WMD (weapon of mass destruction) yang konon-kononnya dimiliki rejim terbabit. Akhirnya Saddam Hussein tersungkur dari kerusi kuasa dan ratusan ribu rakyat terkorban sia-sia, sementara senjata pemusnah yang didakwa wujud terbukti dusta semata-mata.

Dalam tragedi 11 September di Menara Berkembar World Trade Center, bukti dan cakap-cakap bahawa runtuhnya 'ikon' New York itu sebenarnya adalah suatu konspirasi terancang pihak tertentu bagi menghalalkan perang ke atas negara tertentu di Asia Barat bukan lagi cerita baru.

Daripada aspek mengekalkan kelestarian alam, kegagalan Protokol Kyoto suatu bukti bahawa masih ada kelompok manusia yang begitu mementingkan diri. Negara besar AS rupanya tidaklah 'semaju' mana pemikirannya kerana masih gagal memikirkan sama sekali nasib generasi masa depan.

Itu kalau hendak mengambil kira dalam konteks dunia secara amnya. Kalau dalam ruang lingkup yang lebih khusus seperti Malaysia sendiri, kita sebenarnya pun boleh melihat 'trend' yang sama.

50 tahun warisan keamanan

Sesudah 50 tahun kita diwariskan dengan negara yang aman dan sentosa, dalam beberapa tahun kebelakangan ini kita sememangnya sudah maklum akan adanya usaha-usaha persengketaan kaum dan agama yang cuba dibawa, disemai dan dibajai sesempurnanya.

Apa yang paling dikesalkan ialah kita sudah pun mempunyai suatu fundamental sistem masyarakat yang luhur dan aman selama ini. Lalu mengapa perlu dicarik-carik, dipersoal, dipertikai dan diperlekeh sedangkan sudah terbukti ia berjaya menjamin kedamaian sejak separuh abad? Adakah hanya demi kepentingan politik kita rela suasana yang harmoni dikorbankan?

Awas! Jangan fikir terlalu mustahil jika suatu ketika nanti kita akan terjerumus ke lembah huru-hara yang mengorbankan nyawa andai kata kita masih lagi tidak mahu sedar-sedar.

Perbuatan merosakkan beberapa surau, masjid dan gereja baru-baru ini wajib dilihat dengan mata hati yang tajam. Bahawa ia suatu petanda awal sekiranya kita terlalu memberontak dan tidak tahu bersyukur dengan apa yang ada; menghargai sesuatu yang sudah pun berada dalam genggaman kita.

Jangan wariskan negara yang tenat

Janganlah diikutkan sangat kata nafsu dan usahlah mudah dipermainkan dengan dakyah tertentu yang hanya berbekalkan niat yang satu; kepentingan politik tanpa kira apa jalan dan harga sekalipun!

Kalau sudah terlewat, air mata darah pun mungkin keadaan tidak dapat kembali kepada asal lagi. Kembalilah kepada ajaran agama masing-masing yang senantiasa menuntut penganutnya berfikiran waras dan secara terbaik.

Kita sepatutnya insaf dan bertanya dengan diri kita sendiri 'bila waktu berhenti berdetik dan keranda diangkat nanti, sudahkah amanah yang diwarisi ditunaikan untuk diwariskan secara terbaik pula buat generasi seterusnya?'

Apakah kita mahu mewariskan mereka dengan dunia yang sakit dan negara yang tenat? Fikir-fikirkanlah !

Feriz Omar ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.