saya nak baca ..

KAMPUS


ARKIB : 13/02/2010

Kolej Dato' Patinggi Abang Haji Abdillah hasil 680 surat untuk PM


SEBAHAGIAN 680 pelajar Kolej Dato' Patinggi Abang Haji Abdillah menunjukkan surat masing-masing bagi menyertai pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri di Kuching, semalam.


KUCHING 12 Feb. - Para guru serta pelajar dari Kolej Dato' Patinggi Abang Haji Abdillah, di sini boleh berbangga apabila mencipta sejarah tersendiri dengan menjadi sekolah pertama dari Sarawak yang menghasilkan sejumlah 680 pucuk surat untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pagi ini.

Majlis penyerahan surat tersebut dilakukan di sekolah terbabit dan diterima oleh Pengurus Pos Malaysia Sarawak, Mohd Nasir Ismail yang turut disaksikan oleh Pengetua kolej, Johara Zen di samping para guru serta pelajar.

Terdahulu Mohd Nasir dalam ucapannya memberitahu, penyertaan pelajar tersebut begitu menggalakkan dan menunjukkan kesungguhan serta sokongan padu pengetua, para guru dan pelajar kepada hasrat kerajaan untuk memupuk perpaduan kaum.

Menurutnya, ia sekali gus menggalakkan masyarakat hidup bersatu serta mengekalkan keharmonian negara dalam menyokong aspirasi 1Malaysia.

''Pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri ini adalah cetusan ilham Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim semasa lawatan kerja ke Pos Malaysia pada tahun lalu.

''Pertandingan ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 29 Disember tahun lalu di Kota Kinabalu dan penyertaan terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah, warganegara Malaysia yang berusia tujuh hingga 17 tahun," katanya.

Mohd. Nasir berkata, pertandingan itu merupakan satu lembaran surat kepada Perdana Menteri mengenai hasrat atau cadangan generasi muda terhadap kepentingan memupuk perpaduan kaum dan hidup bersatu serta apa yang boleh dilakukan untuk mengekalkan keharmonian negara.

Katanya, pertandingan ini membolehkan peserta meluahkan pendapat dan harapan mengenai gagasan 1Malaysia manakala sasaran adalah kepada generasi muda memandangkan mereka merupakan pewaris negara pada masa akan datang.

Tambahnya, setiap sekolah di seluruh negara disasarkan menghantar sekurang-kurangnya 10 penyertaan tetapi Kolej Abdillah telah berjaya mengumpulkan sebanyak 680 penyertaan dan ia satu angka yang cukup tinggi.

''Semangat yang ditunjukkan oleh semua warga Kolej Abdillah ini adalah sangat dikagumi kerana tanpa semangat yang tinggi, tanpa kesungguhan semua pihak, maka kejayaan ini sukar dicapai.

''Bukan mudah untuk mengumpul penyertaan sebanyak ini malah ini merupakan sekolah pertama di Sarawak dan tergolong dalam beberapa sekolah di seluruh negara yang dapat berbuat seumpama ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Nasir terus menggalakkan lebih banyak penyertaan dan Pos Malaysia akan memberi kerjasama kepada mana-mana sekolah yang menunjukkan kesungguhan serta komitmen untuk menyertai pertandingan ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32