saya nak baca ..

RENCANA SUKAN


ARKIB : 13/02/2010

Harimau Muda A bina kekuatan di Slovakia


AHMAD Aminuddin mempunyai kepakaran hebat dalam melakukan hantaran dan percuban menjaringkan gol.


SEBAIK sahaja diberi tugasan untuk membuat liputan tentang perlawanan Liga Perdana tahun 2008 yang menampilkan pasukan Harimau Muda, penulis tertanya-tanya sejauh mana kemampuan pasukan kendalian K. Rajagobal itu.

Ia adalah penampilan pertama Harimau Muda dalam Liga Malaysia. Ternyata ada sinar buat pasukan yang dibarisi pemain bawah 21 tahun itu.

Sejak dari itu penulis mula tertarik dengan persembahan pemain yang bakal menggalas cabaran pasukan utama kebangsaan pada masa akan datang.

Bagaimanapun Harimau Muda menunjukkan belang sebenar mereka selepas menduduki tangga kelapan pada tahun pertama. Pada tahun berikutnya mereka terus muncul juara ketika di bawah kendalian Ong Kim Swee.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemudiannya telah memecahkan pasukan Harimau Muda kepada Harimau Muda A (bawah 21 tahun) kendalian bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah dan Harimau Muda B (bawah 19 tahun) di bawah tanggungjawab Kim Swee. Perancangan awalnya ialah Harimau Muda A akan beraksi di Liga Super.

Namun perancangan yang lebih besar telah dijanjikan kepada Harimau Muda A untuk beraksi di negara luar termasuk Liga Singapura. Sayang sekali hasrat tersebut tidak kesampaian menyebabkan pasukan tersebut ibarat digantung tidak bertali.

Berkat kesabaran pemain dan jurulatih mereka ditawarkan program yang lebih baik, beraksi di Liga Divisyen Satu Bawah 21 Slovakia mulai 27 Februari ini.

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad pada mesyuarat Exco, yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah awal bulan ini.

Menurutnya, pasukan tersebut akan bermain dalam 14 perlawanan termasuk tiga perlawanan persahabatan sepanjang berada di sana. Ini bermakna, secara keseluruhan mereka akan beraksi dalam 17 perlawanan.

‘‘Pendedahan di Slovakia amat baik kerana ketika ini negara itu merupakan antara negara yang mempunyai kemudahan terbaik dalam sukan bolasepak di Eropah.

‘‘Kami sengaja tidak mahu memberitahu cadangan ini kepada pengetahuan umum, kerana bimbangkan ia tidak menjadi kenyataan.

‘‘Sebenarnya, selain Slovakia kami turut mencari liga bola sepak di beberapa negara lain di sekitar Eropah,’’ katanya baru-baru ini.

Tambahnya, pendedahan di Slovakia itu cukup penting dalam memastikan misi FAM mempertahankan pingat emas skuad bolasepak di Sukan SEA di Jakarta pada tahun 2011, dapat dicapai.

Miliki kekuatan semulajadi

Pengamatan penulis mengenai kekuatan pasukan ini dibuat secara menyeluruh dari posisi penjaga gol hingga ke bahagian serangan. Pemain yang telah dicungkil bakat mereka seawal 18 tahun oleh Rajagobal ketika membimbing skuad bawah 19 tahun negara ini ternyata mempunyai kekuatan berbeza berbanding umur mereka.

Pemain memiliki bentuk fizikal yang mantap terutama sekali di bahagian pertahanan dan serangan. Ia memudahkan mereka bersaing dengan pemain yang lebih berpengalaman mahupun pemain dari benua Eropah.

Lihat sahaja kekuatan dan keberanian yang dimiliki pemain pertahanan tengah Muslim Ahmad. Dia tidak gentar dengan lawan dalam aksi Sukan SEA di Laos tahun lepas.

Tidak banyak bercakap dan memiliki perwatakan pendiam tetapi tangkas menghalang serangan lawan terutama sekali apabila bola berada di udara. Jarang melakukan kesilapan malah dianugerahkan sebagai pemain harapan, Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2009 100PLUS-FAM tahun lepas.

Sementara itu di posisi penjaga gol tentu sekali penghargaan harus diberikan kepada Zamir Selamat. Mampu membaca sepakan penalti dan berjaya menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya dalam aksi Liga Perdana tahun lepas.

Andai kata dia mengalami kecederaan atau digantung perlawanan, Azraai tidak perlu risau kerana penggantinya, K. Sasikumar sedia untuk mengawal gawang. Dia juga boleh dianggap antara penjaga gol muda terbaik sekarang ini.

Bentuk banda dan ketinggian yang mengagumkan memberi kelebihan buat pemain berasal dari Johor ini untuk mengawal gawang sebaik mungkin.

Anda mungkin tidak mengenali Ahmad Aminuddin Shaharuddin tetapi Arsene Wenger telah menganggap pemain ini sebagai permata buat negara. Beraksi di bahagian sayap dalam skuad Harimau Muda, Aminuddin berjaya menarik perhatian pengurus Arsenal itu ketika berkunjung ke Malaysia tahun lalu.

Wenger teruja dengan kepantasan dan kelincahan yang dimiliki Aminuddin persis pemain terkenal Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Dia pantas berfikir, memiliki sepasang kaki yang lincah dan tidak pernah mengenal erti putus asa walaupun pasukannya sedang ketinggalan. Malah dia juga mampu membantu pemain penyerang menjaringkan gol.

Aminuddin juga sangat variasi dalam melakukan hantaran. Baik hantaran jauh mahupun pendek dia tidak mempunyai masalah walaupun diasak lawan sehingga ke hujung garisan padang.

Tidak ramai pemain di Malaysia terutama sekali di bahagian serangan memiliki saiz badan yang besar dan tinggi seperti Ahmad Shakir Md. Ali. Penyerang Harimau Muda ini cukup untuk menghadirkan gerun kepada pertahanan dan penjaga gol lawan.

Berasal dari Kedah, Ahmad Shakir juga sering disenaraikan bagi membantu skuad bawah 23 tahun kebangsaan. Kekuatan semulajadinya ialah mampu melakukan rembatan deras. Tandukannya juga tajam dan berupaya menggelecek pemain lawan.

Seperti Aminuddin, Shakir juga antara pemain yang mendapat pujian Wenger

Dia dijangka akan dibantu oleh dua pemain penyerang yang tidak kurang hebatnya, A. Thamil Arasu dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang sedang dipancing dari Harimau Muda B untuk memperkukuhkan lagi barisan serangan.

Tidak sah rasanya jika menyebut tentang pasukan ini tanpa menyentuh tentang ketua pasukan mereka, K. Gurusamy. Mengemudi barisan tengah dengan baik dan tenang, dia adalah kekuatan sebenar pemain yang berasal dari Selangor ini.

Menyerap asakan

Boleh disamakan dengan bekas pemain tengah Perancis, Didier Deschamps ataupun Roy Keane, Gurusamy yakin kedudukannya sebagai pemain tengah amat penting untuk menyerap asakan lawan selain memulakan gerakan serangan balas jika pasukannya diserang.

Selain ditugaskan untuk memimpin pasukan dan merencana gerakan di bahagian tengah, Gurusamy juga mempunyai kemahiran dalam mengambil sepakan percuma terutama di depan petak penalti.

Itu adalah kekuatan yang dimiliki oleh pasukan ini seterusnya membawa mereka muncul juara Liga Perdana musim lalu. Masih ada beberapa pemain lagi yang mempunyai kekuatan dan keupayaan semulajadi seperti mereka.

Nama-nama seperti Mahali Jasuli, Fandi Othman, V. Kavichelvan, Affize Faisal Mamat dan ramai lagi juga tidak harus diperkecilkan dalam skuad ini, mereka juga matang dan bersedia untuk melalui angin dingin di Eropah.

Selepas beraksi di Slovakia, skuad Harimau Muda A ini mungkin akan dikembalikan bermain dalam liga tempatan. Mereka juga akan menyertai kejohanan Piala Presiden Amerika Syarikat, atau sebagai Piala Obama di Michigan Mei ini.

Aksi yang penuh strategi

Rami yang berpendapat tahap pemain di Malaysia terlalu rendah jika hendak dibandingkan dengan pemain di Eropah. Tetapi jika anda ingin lihat kelainan skuad Harimau Muda mempunyai ramuannya walaupun tidak menyamai tahap pemain di England, Itali, Perancis, Sepanyol dan Jerman.

Ketika beraksi di Liga Perdana pasukan ini tidak akan melakukan hantaran tanpa ada arah tuju. Biarpun hantaran pendek dan jauh, ia akan menuju tepat ke arah pemain mereka sendiri walaupun tidak sempurna 100 peratus seperti di Eropah.

Pemain pertahanan pula tidak akan membuang bola dari kawasan bahaya terus ke luar padang atau menuju ke arah pemain lawan. Sebaliknya bola yang disepak akan menuju kepada pemain tengah atau penyerang yang sentiasa menunggu untuk melakukan serangan balas pantas..

Selain itu, Muslim dan rakan gandingannya di bahagian pertahanan tidak sesekali membentes pemain lawan di kawasan penalti atau secara merbahaya, mereka akan cuba merampas bola sebaik mungkin tidak terlalu keras atau lemah.

Barisan tengah juga sering dibantu pemain pertahanan kiri dan kanan yang mampu menjadi pemain sayap dalam melakukan serangan, dalam masa yang sama akan melakukan hantaran lintang kepada pemain.

Penguasaan bola mati seperti sepakan percuma dan sudut digunakan sebaik mungkin untuk mengumpan kepada penyerang yang berada di dalam petak penalti. Malah pemain lawan sama sekali tidak menyangka kerana jika penyerang gagal menjaringkan gol akan ada rakan yang membantu bagi melakukan jaringan.

Akhir sekali pemain Harimau Muda ini tidak sama sekali akan cuba membiarkan bola yang dirampas atau diasak pemain lawan begitu sahaja. Mereka akan cuba mengejar dan tanpa menunggu lama untuk terus melakukan hantaran.

Itulah kekuatan yang diamati penulis sepanjang membuat liputan tentang kekuatan pemain Harimau Muda A ataupun B sebelum mereka dipecahkan tahun ini. Harapan buat peminat bola sepak tempatan tentunya melihat pasukan ini melakukan kejutan di Slovakia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:27
Maghrib 7:01
Isyak 8:15



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.