saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/02/2010

Perjalanan selamat di lebuh raya

SEMALAM dan hari ini, Tahun Baru Cina disambut penuh meriah. Ia juga bermakna, musim cuti panjang masih berbaki. Selain masyarakat Cina, kaum-kaum lain turut 'tumpang' untuk merancang percutian masing- masing.

Dalam sibuk memikirkan hari bergembira itu, jangan lupa 'tradisi' di Malaysia yang menyaksikan kemalangan maut turut akan meningkat sepanjang musim perayaan. Pasti kita akan mendengar berita kemalangan terutama yang melibatkan kemalangan maut.

Kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan maut melalui kempen-kempen, penguatkuasaan serta Ops Sikap setiap kali musim perayaan.

Rakan penulis, Mohammad Ismail dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis ada menulis bahawa kita tidak akan sampai awal sehari daripada orang lain jika kita memandu melebihi had laju yang dibenarkan, jika silap perhitungan surat 'cinta' dari PDRM pasti akan diterima. Kita juga tidak akan diangkat menjadi juara pelumba F1 jika kita memotong barisan dan 'mencilok' di sana dan sini semasa memandu di jalan raya dan lebuh raya.

Oleh itu, katanya, tanamkan sedikit sifat 'sabar' dan patuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.

Sepanjang musim perayaan ini, elok masyarakat memikir dan merancang perjalanan. Pilihan berada di tangan kita sendiri sama ada untuk memandu dengan selamat atau membahayakan orang lain.

Walaupun diakui bahawa setiap kejadian itu telah tersurat, namun kita perlu berikhtiar untuk mengelakkannya kerana menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi nyawa keluarga yang tersayang.

Jadi, bagi mereka yang merancang bercuti dan perlu mengambil masa perjalanan yang lama, buat pilihan cara mana hendak ke destinasi tersebut - jalan laut, udara atau darat? Jika darat, laluan mana yang hendak dipilih, jalan raya biasa atau lebuh raya bertol?

Jika memilih lebuh raya bertol, itu juga pilihan tepat. Penulis tertarik dengan Laporan "Lebuhraya Utara-Selatan: Kajian Faktor PLUS kepada Pengguna dan Ekonomi" oleh Fakulti Pentadbiran dan Ekonomi Universiti Malaya Jun 2009. Kajian dan cadangannya patut diambil pertimbangan wajar.

Hakikatnya, lebuh raya di negara kita telah meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan apabila dapat mengurangkan banyak kos. Bagi kawasan luar bandar khasnya, pembinaan lebuh raya baru dapat mengalihkan sesetengah pemandu daripada melalui perjalanan yang perlahan, bengkang-bengkok dan laluan sempit kepada perjalanan yang pantas, lurus dan lebuh raya yang luas.

Perubahan ini membolehkan kos pemanduan dikurangkan kepada banyak penduduk setempat. Kos perjalanan berkurang kerana pemandu kenderaan dan lori yang beralih menggunakan lebuh raya dapat menjimatkan masa, mengurangkan risiko kemalangan dan kos operasi kenderaan.

Jika dibandingkan dengan laluan alternatif lain, apabila menggunakan Lebuh Raya PLUS misalnya, pengguna dapat menjimatkan masa memandu bagi setiap kilometer bukan sahaja kerana mereka dapat memandu pada kelajuan tinggi tetapi juga hasil daripada perjalanan yang lancar.

Bayangkan had laju di lebuh raya 110 kmj sedangkan di jalan raya lain hanya 90 kmj, kalau pengguna di kedua-dua laluan itu memandu pada kelajuan maksimum, hasilnya pengguna jalan raya persekutuan atau negeri akan mengambil masa 40 saat bagi satu kilometer berbanding dengan memandu di lebuh raya PLUS mengambil masa 32.7 saat satu kilometer.

Bermakna, kenderaan pengguna lebuh raya dapat menjimatkan 7.3 saat per kilometer berbeza dengan mengguna jalan raya biasa.

Perkara ini bukan cakap kosong tetapi hasil kajian pakar dari Universiti Malaya. Malah menurut kajian itu juga, secara keseluruhan, masa perjalanan dapat dijimatkan RM0.279 per kilometer apabila pemandu beralih dari jalan raya biasa kepada lebuh raya.

Perkara mengenai keuntungan daripada pengurangan kos operasi kenderaan adalah topik paling digemari pemandu Malaysia. Tiada pemandu yang mahu melepaskan peluang ini.

Bagaimanapun berdasarkan kajian Universiti Malaya, kos operasi kereta dan lori berbeza di beberapa laluan Lebuh Raya Utara Selatan berbanding dengan jalan alternatif.

Tetapi elok kita pertimbangkan bagaimana kos operasi dapat dikurangkan semasa perjalanan di lebuh raya. Pertama, penjimatan berlaku kerana perubahan kelajuan kenderaan tidak sekerap dilakukan seperti di jalan raya biasa.

Kedua, tindakan pemandu hendak mengubah arah haluan kurang berlaku kesan daripada saiz jalan di lebuh raya yang lebih lebar. Hal ini baik untuk ketahanan tayar dan tempoh penggunaannya yang lebih lama.

Ketika ini orang ramai cukup gerun dengan jumlah kemalangan di jalan raya apatah lagi kemalangan maut. Syukur, dengan pembinaan lebuh raya, walaupun masih ada kemalangan maut tetapi kadar kemalangan dan kematian tidak setinggi kejadian di jalan raya biasa.

Menurut kajian pakar Universiti Malaya, dianggarkan kerajaan dapat menjimatkan kos kemalangan kira-kira RM0.044 per kilometer apabila memandu di lebuh raya PLUS.

Dalam banyak-banyak alasan, hakikatnya memandu di lebuh raya paling selamat. Faktor utamanya adalah lebuh raya mempunyai lebih banyak lorong dan bersaiz lebar serta kurang selekoh berbanding dengan jalan raya biasa.

Malah laluan keluar masuk lebuh raya lebih terkawal. Keadaan ini berbeza dengan apa yang biasa dilihat berlaku kesesakan di simpang jalan raya apabila sesebuah kenderaan ingin membelok atau memasuki laluan kiri atau kanan.

Data daripada kajian Universiti Malaya menunjukkan aspek keuntungan yang boleh diterima oleh pengguna lebuh raya pada purata satu kilometer adalah RM0.34 lebih murah berbanding memandu di jalan raya biasa.

Di samping pengguna lebuh raya bertol mendapati kos petrol 'diserap' kerana bayaran tol, sebenarnya mereka masih meraih keuntungan besar melalui penjimatan masa perjalanan.

Pemandu jalan raya biasa pun turut beruntung apabila semakin kurang bilangan kenderaan di lebuh raya tanpa tol dan jalan raya persekutuan.

Sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina ini, ingatlah keselamatan di jalan raya. Jika ingin perjalanan yang lancar, anda tentu sudah tahu buat pilihan sendiri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.