saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/02/2010

Obama patuh dasar lama


Barack Obama tahu banyak mengenai Asia Tenggara terutamanya Indonesia, namun, kita masih tidak pasti apa yang akan beliau tawarkan kepada rantau ini. - REUTERS


SELEPAS genap setahun pada bulan lalu, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama terus menjadi perhatian dunia. Sejak dari awal pentadbiran beliau, tidak ramai yang meletakkan harapan tinggi kepada presiden AS yang ke-44 berkenaan.

Dan apabila pentadbiran beliau genap setahun ramai yang mempertikaikan kegagalan Obama untuk menunaikan janji sebagai Presiden. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika diminta memberikan pandangan pentadbiran Obama selepas setahun pada bulan lalu menyifatkan Obama tidak menepati satu pun janji-janji beliau.

Antara janji yang Dr. Mahathir maksudkan adalah untuk mengeluarkan tentera AS dari Afghanistan dan menutup kem tahanan Teluk Guantanamo di Cuba.

Profesor Emiritus di Sekolah Undang-Undang dan Diplomasi, Universiti Tufts, AS, Dr. W.Scott Thompson berkata, Obama menghadapi masalah yang sama dengan presiden-presiden AS sebelum ini iaitu sukar untuk meraih kepercayaan.

''Namun semua pihak perlu sedar mengharapkan perubahan yang besar oleh beliau dalam masa setahun umpama satu keajaiban," katanya.

Thompson berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk Dasar Luar AS di Asia: Kad Laporan Tahun Pertama Obama di Dewan Senat, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam semalam.

Syarahan berkenaan merupakan salah satu daripada Siri Syarahan Duta-Duta ASEAN UiTM anjuran Institut Pengajian ASEAN dan Hubungan Global (Inspag), Fakulti Sains Pentadbiran dan Kajian Polisi, UiTM.

Thompson menyifatkan Obama terperangkap dalam dasar-dasar yang digariskan Presiden AS sebelum ini, George W. Bush dan tidak mudah bagi beliau untuk mengubah dasar-dasar berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

Beliau juga tidak menafikan bahawa pengaruh media baru seperti Facebook dan Twitter menyumbang kepada kemenangan Obama. Dan kini Obama perlu menanggung kesan daripada faktor berkenaan. Pada pandangan Thompson, masih terlalu awal untuk menilai pentadbiran Obama dan semua pihak perlu memberikan beliau sedikit masa lagi.

Apa yang sudah Obama lakukan di Asia Tenggara setelah setahun pentadbirannya? Beliau berpendapat, Obama secara praktikal tidak melakukan apa-apa di rantau ini.

''Obama tahu banyak mengenai Asia Tenggara terutamanya Indonesia. Namun, kita masih tidak pasti apa yang akan beliau tawarkan kepada rantau ini.

''Dalam hal ini, lawatan Obama ke Indonesia pada bulan depan berkemungkinan akan menyentuh mengenai rantau ini. Lawatan beliau ke Indonesia mungkin akan beliau gunakan untuk menjalinkan persahabatan dengan rantau ini," katanya.

Thompson tidak menolak kemungkinan bagi Obama untuk turut melawat Thailand atau menyentuh mengenai Malaysia semasa berada di Indonesia.

Laporan sebelum ini menyebut, Obama dijadualkan mengunjungi Indonesia bersama keluarganya pada akhir bulan depan. Laporan yang memetik Jurucakap Rumah Putih, Robert Gibbs itu berkata, selepas Indonesia Obama dijangka melawat Australia.

Obama yang menggelar dirinya sebagai Presiden Pasifik pertama kerana dilahirkan di Hawaii dan pernah tinggal selama empat tahun di Indonesia dijangka menandatangani perjanjian kerjasama AS dan Indonesia dalam lawatan berkenaan.

Perjanjian kerjasama berkenaan bertujuan memperluas dan mengukuhkan hubungan dengan negara yang memiliki penduduk Islam paling ramai itu.

Gibbs menambah, Obama berkemungkinan membawa isterinya, Michelle dan dua anaknya, Sasha dan Malia ke tempat beliau membesar.

Obama ketika berusia enam tahun dibawa untuk tinggal di Indonesia oleh ibunya Ann Dunham apabila berkahwin kali kedua dengan warga Indonesia, Lolo Soetoro pada 1967.

Obama ketika itu tinggal di kawasan Menteng di Jakarta dan belajar di dua buah sekolah tempatan iaitu Sekolah Awam Besuki dan Sekolah Katolik St. Francis of Assisi.

The Jakarta Post dalam laporannya baru-baru ini menyebut tarikh sebenar lawatan Obama masih belum ditetapkan kerana ia masih di peringkat perancangan.

Selain daripada itu, AS turut meminta Indonesia menggunakan khidmat Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk mengawal keselamatan sepanjang lawatan pemimpin AS berkenaan.

Dalam kesibukan Indonesia mengadakan persiapan untuk lawatan berkenaan, baru-baru ini sebuah patung gangsa menyerupai Obama ketika zaman kanak-kanak dipindahkan dari taman di ibu negeri ke sebuah sekolah rendah.

Pemindahan berkenaan dibuat selepas lebih 57,000 orang dalam rangkaian sosial Facebook menyokong gerakan 'Turunkan Patung Barack Obama di Taman Menteng'.

Gerakan berkenaan mengesa patung itu dipindahkan dan digantikan dengan tugu peringatan yang menggambarkan identiti Indonesia. Patung itu dibina hasil sumbangan individu yang bernilai kira-kira RM35,000

Penduduk Indonesia berpendapat patung Obama ketika kecil itu tidak layak berada di situ kerana masih banyak tokoh Indonesia yang boleh menggantikannya. Obama pada penghujung tahun lalu pernah menunda lawatannya ke Indonesia.

Oleh itu semua pihak mengharapkan lawatan yang dirancangkan pada bulan depan akan menjadi kenyataan selain memanfaatkan Indonesia dan rantau ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.