saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 28/02/2010

Berkat doa di Multazam

HADI bertemu orang tua berusia 70 tahun yang tidak dikenali itu secara kebetulan. Ia berlaku setelah dia mengerjakan solat subuh pagi itu, hari ke-10 dia berada di Tanah Suci. Sebaik sahaja selesai berdoa, Hadi berjalan menghala ke Babus (pintu) as- Salaam untuk pulang ke Hotel Naka, yang terletak 600 meter dari Masjidilharam. Separuh jalan dia berhenti, menoleh semula ke belakang untuk menatap Kaabah. Dia berjanji: aku akan kembali ke Masjidilharam tengah hari nanti untuk menunaikan solat Zuhur.

Itulah ritual harian Hadi setiap kali lepas menunaikan solat Subuh sejak berada di Mekah. Dia akan menatap Kaabah sepuas-puasnya sebelum balik ke hotel penginapannya. Tidak sedikitpun dia berasa jemu. Atau bosan. Malah cintanya terhadap Kaabah semakin menebal. Kalau diizinkan, dia ingin memeluk rumah Allah yang telah dibina oleh Nabi Adam sebagai rumah ibadat yang pertama di muka bumi ini dan dibangunkan semula beratus tahun kemudian oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail.

Setelah memandang Kaabah yang bersegi empat dan diselimuti kelambu hitam itu secara keseluruhannya, mata Hadi beralih ke salah satu sudut rumah Allah itu di mana terletaknya Hajar Aswad.

Matanya kemudian beralih pula ke Makam Ibrahim yang juga menjadi rebutan untuk orang bersolat sunat selepas menyempurnakan tawaf. Hadi bersyukur kerana dia berpeluang mengerjakan solat sunat di belakang Makam Ibrahim, bukan sekali tetapi beberapa kali.

Tatkala Hadi khusyuk merenung Kaabah itu, dia terpandang seorang warga emas berkulit sawo matang yang sedang tercangak-cangak. Sekejap orang tua itu memandang ke arah Pintu as-Salaam, kemudian kepalanya berpusing ke kirinya ke arah Pintu Umrah. Kemudian kepalanya beralih ke arah Pintu Fatah, Pintu Raja Abdul Aziz dan Pintu Fahd. Orang tua itu seolah-olah ingin mendapat kepastian pintu mana untuk keluar dari masjid itu.

Kemudian dia berjalan ke arah Hadi untuk keluar melalui Pintu as-Salam agaknya. Setelah beberapa tapak, langkahnya terhenti. Kemudian dia bergerak pula ke arah Pintu Umrah. Langkahnya terhenti lagi. Orang tua itu kemudian berjalan menuju Pintu Raja Adul Aziz dan Pintu Fatah. Selepas beberapa langkah, dia kembali ke arah Pintu as-Salam. Orang tua itu seolah-olah berbuat begitu kerana mahu menarik perhatian Hadi.

Kesian melihat orang tua itu, Hadi pergi menemuinya. Selepas memberi salam dan memperkenalkan dirinya, Hadi bertanya apa yang sebenarnya dicarinya. Tepat seperti yang dijangka, orang tua adalah orang Melayu. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Suboh. Dia memberitahu dia tidak pasti pintu mana dia harus keluar supaya tidak tersesat untuk ke hotelnya.

"Pak Suboh, tinggal di hotel mana?" Hadi bertanya. Dia selesa memanggil orang tua itu dengan Pak Suboh sahaja.

"Hotel Naka, dekat dengan Masjid Kucing."

"Saya pun menginap di sana. Dari sini kira-kira 600 meter. Kalau begitu jom kita balik sama," pelawa Hadi.

Sebaik tiba di lobi hotel, Pak Suboh menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dan berkata: "Alhamdulilah, selamat juga saya balik ke hotel ini. Terima kasih, Hadi. Kalau tak bertemu Hadi tadi, tak tahulah apa yang akan terjadi. Mungkin saya sesat entah ke mana."

"Terima kasih kembali," balas Hadi ringkas sambil bersalaman dengan orang tua itu. Dia menolak pelawaan Pak Suboh untuk bersarapan bersama-sama atas alasan mahu berehat. Satu setengah jam kemudian baru Hadi turun untuk makan pagi. Tatkala dia tercari-cari tempat duduk, dia terdengar namanya dipanggil.

Menoleh

"Hadi, Hadi. Sini." Dia menoleh ke arah suara yang memanggilnya. Rupanya orang itu, tidak lain tidak bukan ialah Pak Suboh. Hadi tidak berupaya untuk mengelakkan diri lagi. Hatinya berbisik: "Nampaknya ini takdir aku pagi ini. Bertemu lagi orang tua ni."

Dia berjalan ke arah Pak Suboh yang duduk di satu sudut agak terasing di restoran Hotel Naka seolah-olah memang menunggu kedatangan Hadi. Dia keseorangan. Tanpa dipelawa, Hadi duduk di kerusi kosong di hadapan orang tua yang baru dikenalinya itu. Hadi membuat pesanan - teh kosong, roti bakar dan telor goreng.

Sambil menikmati makan pagi, perbualan mereka kemudian beralih kepada suasana di tanah air - dari soal-soal kecil seperti kenaikan harga gula, kos hidup yang semakin meningkat, subsidi petrol yang bakal dihapuskan membawalah kepada perkara-perkara besar seperti: perpecahan politik orang Melayu / Islam, kebiadapan bukan Melayu memperlekeh hak-hak istimewa orang Melayu, kelantangan ahli-ahli politik pembangkang mencabar kontrak sosial yang dipersetujui bersama oleh para pemimpin kemerdekaan, tindakan pertubuhan bukan kerajaan memperlekehkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak dipandang tinggi, cabaran terhadap status Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, penggunaan kalimah Allah SWT oleh penganut Kristian Katholik, 1Malaysia, rasuah dan banyak lagi. Tetapi perkara itu tidaklah disentuh secara mendalam. Sekali lalu sahaja. Sekadar mengisi waktu sambil makan pagi.

Hadi ingin meminta diri untuk naik ke biliknya semula apabila secara tiba-tiba Pak Suboh menganjurkan satu pertanyaan yang bersifat peribadi: "Hadi dah berumahtangga ke?"

"Belum," jawab Hadi sepatah. Kalau boleh dia tidak mahu bercakap tentang soal itu. Usia Hadi sudah 46 tahun; dia masih belum berpunya. Hatinya masih belum dimiliki. Itu adalah fakta. Dia tidak boleh berbohong.

"Berapa umur Hadi sekarang."

"46, masuk 47 hujung tahun ini."

"Eh, dah lewat itu. Hampir setengah abad."

"Belum ada jodoh lagi, Pak Suboh. Nak buat macam mana. Lagi pun saya kira ada lelaki yang lebih tua daripada saya yang sampai sekarang masih solo lagi."

"Pernah bercinta?"

Antara mahu dengan tidak, Hadi menjawab: "Beberapa kali. Tapi semuanya putus di tengah jalan. Ada juga gadis yang saya terpikat, tetapi saya tidak ada keberanian untuk menzahirkan apa yang terbuku di hati. Takut ditolak."

"Tak boleh macam tu Hadi. Apabila kita bertemu dengan seseorang yang kita cinta, seorang yang kita sayang dan kita berhajat untuk melamarnya, kita kena berterus terang. Jangan jadi macam saya."

"Maksud Pak Suboh?"

"Saya sekadar menjadi suami yang bertanggungjawab. Tidak mahu melihat keluarga bercerai berai. Tetapi pada hakikatnya saya tidak menikmati kebahagiaan berumahtangga dalam erti kata yang sebenarnya. Hidup saya kosong."

Tercengang Hadi mendengar pengakuan berterus terang Pak Suboh itu. Masakan begitu, bisik hatinya.

"Apa yang berlaku sebenarnya Pak Suboh? Itupun kalau Pak Suboh tak keberatan."

Pak Suboh tersenyum. Dia juga sudah bersedia berkongsi pengalaman silamnya dengan Hadi.

"Sebelum saya kahwin dengan Rokiah dulu, cinta saya juga pernah ditolak. Macam Hadi, saya juga tidak ada keberanian untuk menzahirkan perasaan cinta kepada wanita yang pernah saya sayangi, saya cintai. Sharifah, yang saya kenali sewaktu berada dalam darjah tiga akhirnya terlepas kepada jejaka lain hanya kerana saya takut menzahirkan perasaan saya.

"Apabila saya jatuh hati dengan Habsyah, dan menyatakan hasrat untuk memperisterikannya, saya dikecewakan. Hasrat itu ditolak dengan alasan keluarga mahu menjodohkan Habsyah dengan sepupu sendiri. Hancur luluh hati saya. Selepas itu, setiap kali saya bertemu dengan gadis yang saya berkenan, saya sekadar memendam perasaan. Tidak mahu pisang berbuah dua kali."

"Bagaimana akhirnya Pak Suboh berkahwin dengan Rokiah isteri Pak Suboh."

"Saya menyerahkan pemilihan calon isteri saya kepada ibu saya. Ibu pula menswatakannya kepada abang dan bapa saudara saya. Maka muncullah Rokiah dalam hidup saya. Fikir saya ketika itu, cinta saya terhadap Rokiah akan berputik dan boleh dibangunkan setelah kami bernikah. Bukankah cinta itu buta? Tetapi ia tidak menjadi. Tidak ada putik dan tidak ada bunga. Ia mati sebelum menjadi putik."

"Tetapi rumahtangga Pak Suboh bertahan sampai isteri Pak Suboh meninggal. Itu satu rekod."

"Memang betul. Tetapi perasaan sayang dan cinta saya pada Rokiah tidak ada. Setelah mempunyai lima anak, hanya perasaan tanggungjawab membuat saya kekal berkahwin. Takkan Hadi nak jadi macam itu."

Hadi membisu. Terfikir juga Hadi untuk bertanya apakah Pak Suboh pernah curang. Maksudnya sepanjang perkahwinannya yang tidak bahagia itu, pernahkah dia jatuh cinta dengan wanita-wanita lain yang pernah ditemuinya dan mempunyai keberanian untuk menzahirkan cinta dan sayangnya itu. Tetapi Hadi tidak tergamak untuk mengajukan pertanyaan sesensitif itu. Sebaliknya dia membiarkan Pak Suboh bertindak sebagai pengacara bual bicara pagi itu.

"Hadi ada teman wanita?"

"Ada. "Sekali lagi jawapan itu terpancut pantas dari mulut Hadi. Dia teringatkan Melor, gadis yang dikenalinya sejak setahun lalu. Beza umurnya lebih kurang 22 tahun. Melor baru berusia 24 tahun. Lulusan bidang pentadbiran perniagaan Universiti Utara Malaysia.

"Hadi punya perasaan terhadapnya?"

"Ada. Tetapi masalahnya setelah satu tahun saya mengenalinya, saya masih takut untuk menzahirkan perasaan itu. Saya tiada kekuatan untuk melamarnya menjadi isteri saya. Takut ditolak. Saya akan kecewa lagi. Kalau ini mungkin lebih parah. Lagi pun jarak umur kami lebih dua dekad."

Keberanian

"Jangan takut. Berterus teranglah. Kalau tidak Hadi terlepas lagi. Akan jadi bujang terlajak. Lebih teruk sampai tua tak kahwin-kahwin."

Kata-kata Pak Suboh menusuk tajam hati Hadi. Dah melampau orang tua ni, kata hatinya. Dia ingin angkat punggung rasanya. Belum sempat dia menjawab, Pak Suboh menyambung: "Apa kata semasa di hadapan Kaabah nanti, Hadi berdoa pada Allah SWT supaya diberi kekuatan dan keberanian untuk menzahirkan perasaan yang terpendam terhadap Melor. Berdoalah supaya hati Melor dibuka untuk menerima cinta Hadi."

"Sejak tiba di Tanah Suci itulah antara lain yang saya lakukan. Tetapi sampai sekarang keberanian itu tak datang-datang lagi." Oops, terlepas lagi apa yang mahu dirahsiakan daripada pengetahuan sesiapa. Fikir Hadi, biarlah.

"Kali ini berdoalah sewaktu menyentuh Hajar Aswad. Atau di Multazam."

Hadi berjanji kepada dirinya selepas solat Zuhur nanti dia akan berusaha untuk mendekati Hajar Aswad, menciumnya walaupun seketika.

"Eh, waktu Zuhur sejam lagi. Elok kita ke Masjidilharam sekarang. Kita cari tempat yang dekat dengan Kaabah."

Mereka bangun dan meninggalkan Hotel Naka menuju ke Masjidilharam. Sewaktu melalui Pintu as-Salam, Hadi dan Pak Suboh berjanji untuk bertemu di pintu masuk itu ditakdirkan mereka terpisah semasa mengerjakan ibadat atau selepas Hadi berusaha untuk mencium Hajar Aswad.

Sebaik sahaja selesai solat Zuhur, Hadi menyertai lautan manusia yang sedang bertawaf untuk cuba menghampiri Hajar Aswad. Dia beberapa kali mengelilingi Kaabah dan dapat merasakan setiap kali selesai mengelilinginya, dia makin hampir dengan Hajar Aswad. Perasaannya itu memang betul. Akhirnya dengan izin Allah SWT, Hadi dapat mengucup Hajar Aswad. Dia kemudian ke Multazam untuk berdoa.

Hadi bersyukur. Dia terlalu gembira dan mahu menceritakan segala-galanya kepada Pak Suboh. Dia segera bergegas ke lokasi di mana mereka sama-sama bersolat Zuhur tadi. Pak Suboh tiada di situ. Dia kemudian bergegas pula ke Pintu as-Salaam kalau-kalau Pak Suboh sedang menunggunya di sana untuk sama-sama pulang ke Hotel Naka. Pak Suboh tidak juga ditemui. Selepas satu jam menunggu, Hadi membuat keputusan untuk mencari Pak Suboh di hotel. Malangnya, dia terlupa bertanya nombor kamar Pak Suboh. Setelah puas menunggu di lobi, dia naik ke biliknya. Mungkin Pak Suboh masih beribadat atau sedang berehat di biliknya.

Sewaktu hendak ke Masjidilharam menunaikan solat Asar, Hadi menjenguk ke lobi dan restoran Hotel Naka. Mana tahu Pak Suboh ada di situ. Tetapi kelibat orang tua yang tiada sampai 24 jam dikenali itu tiada di situ.

Malam itu selepas Hadi pulang ke hotel selepas solat Isyak, dia menunggu Pak Suboh di hotel sampai hampir tengah malam. Apabila Pak Suboh tidak juga muncul, dia ke tempat menyambut tetamu, bertanyakan nombor bilik orang tua yang bernama Suboh. Dia terkejut kerana dimaklumkan, tidak ada penghuni hotel dari Malaysia yang bernama Suboh.

Hadi kemudian bertanya dengan jemaah-jemaah Malaysia yang lain di hotel itu. Tidak ada antara mereka yang mengenali Pak Suboh. Atau pernah bersua dengannya. Selama dua hari sebelum meninggalkan kota Makkah, Hadi tidak henti-henti mencari Pak Suboh. Tetapi sehingga dia selesai melakukan tawaf selamat tinggal, Pak Suboh tidak ditemuinya.

Walaupun bersedih kerana tidak berjumpa Pak Suboh, namun Hadi lega. Kehadiran orang tua itu dalam hidupnya, telah memberi kekuatan dalaman yang bukan kepalang untuk dia menghadapi realiti hidup. Dia terfikir barangkali Pak Suboh adalah salah satu rahmat yang diturunkan oleh Allah SWT di Tanah Suci. Wallahualam.

Rancangan Hadi untuk ke London, atas urusan perniagaan, selepas mengerjakan umrah dibatalkan. Dia ada urusan lebih penting untuk diselesaikan di Malaysia. Dalam perjalanan menaiki bas menuju ke lapangan terbang King Abdul Aziz di Jeddah, Hadi berjanji untuk datang semula ke Tanah Suci - kali ini bersama Melor. Untuk menatap Kaabah, mengucup Hajar Aswad dan berdoa di Multazam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:25
Maghrib 7:00
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.