saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 07/03/2010

Peritnya bila diceraikan - Fara


KEHADIRAN si kecil ini menjadikan Farra lebih tabah bergelar ibu tunggal.


Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitulah ungkapan sedih yang boleh dikaitkan dengan kehidupan penyanyi Bagaikan Puteri, Farra, apabila rumah tangga yang dibinanya sejak 11 tahun lalu sudah hancur berkecai.

Farra atau nama sebenarnya Farihah Mohd. Arshad, 41, bernikah dengan ahli perniagaan Mohd. Shahrul Azni, 36, pada 14 Februari 1998, di Subang Jaya, Selangor.

Sayangnya perkahwinannya itu tidak bertahan lama apabila dia dan Shahrul berpisah pada 22 Ogos tahun lalu.

Melalui wartawan bebas Juwie, Pancaindera berjaya menjejaki Farra yang sudi berkongsi kisah rumah tangganya apabila dia diceraikan beberapa jam selepas berbuka puasa pada tahun lalu.

Peristiwa yang berlaku itu amat perit apatah lagi ujiannya datang ketika umat Islam sedang berpuasa.

Kata Farra rumah tangganya sudah lama mempunyai masalah apabila ada pihak lain yang cuba mengganggu keharmonian mereka.

Sehinggalah pada hari pertama Ramadan, dia berhadapan peristiwa sedih apabila suaminya melafazkan talak satu selepas berbuka puasa.

“Pada waktu itu saya berada di rumah abang saya, Zuhdi, di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur. Selepas berbuka puasa dan selesai solat Maghrib, suami saya datang ke rumah itu.

“Sangkaan saya dia datang sekadar hendak menziarah tetapi pada waktu itu dia cakap untuk menceraikan saya dengan talak satu bersaksikan abang saya.

“Saya menangis kerana tidak dapat menahan perasaan sedih akibat diceraikan suami pada hari pertama Ramadan.

“Bayangkanlah, bulan mulia itu sepatutnya disambut dengan gembira dan indah tetapi ujian hidup saya datang sebaliknya,” kata Farra.

Menurut Farra semasa mendengar perkataan cerai itu, hatinya luluh tetapi syukurlah semangatnya kuat kerana menganggap ia adalah ujian Allah untuk hambanya yang tabah.

Bukan untuk membuka pekung di dada sebaliknya kata Farra dia mahu berkongsi cerita ini untuk memberi kekuatan kepada orang lain yang mengalami peristiwa serupa.

Pengalaman berkahwin katanya adalah sesuatu yang indah tetapi sukar diterima apabila cerai dilafazkan oleh suami secara tiba-tiba.

“Saya berharap kepada isteri yang diceraikan suami itu usah bersedih kerana ia tidak memberi apa-apa makna pun.

“Sebaliknya kita hendaklah kuatkan semangat dan menganggap ia adalah ujian yang diturunkan oleh Allah untuk insan-insan terpilih yang Dia sayang.

“Selepas berpisah saya tidak mengambil masa yang lama untuk mengubat kelukaan hati kerana saya sentiasa meminta Allah memberikan kekuatan dan petunjuk setiap kali melakukan solat.

“Alhamdulillah, berkat doa itu saya menjadi wanita yang tabah walaupun ketika diceraikan itu kita juga hendak membuat persiapan menyambut Hari Raya,” katanya.

Tiada zuriat punca perceraian?

Ada yang berkata, ketiadaan anak kadang-kala menjadi faktor kenapa sesebuah rumah tangga itu tidak bahagia dan berakhir dengan penceraian.

Menurut Farra dia tidak menafikan perkara itu turut menjadi penyebab kehancuran rumah tangganya tetapi ia bukanlah masalah utama.

Sebaliknya ada punca lain yang membuatkan rumah tangga itu diuji sebegitu rupa. Cukuplah kata Farra ia disebabkan ada pihak ketiga.

Tidak mahu mengulas panjang mengenai masalah yang dihadapinya itu tetapi selama berkahwin dia telah melakukan macam-macam usaha bagi mendapatkan zuriat.

Sayangnya rezeki masih tiada walaupun sudah dua kali dia mengalami keguguran.

Ujar Farra lagi, disebabkan ketiadaan anak dan mahu melihat rumah tangga yang dikecapi itu bahagia, dia dan suami bersetuju untuk mengambil seorang anak angkat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Anak lelaki yang diberi nama Muhammad Afif Zikry kini sudah berusia 11 bulan.

Sedihnya selepas empat bulan mempunyai anak yang dianggap sebagai penyeri keluarga itu, keretakan rumah tangganya tidak mampu dibendung sehingga terjadinya perpisahan.

Tapi Farra tetap bersyukur kerana hadirnya seorang anak angkat itu memberi sinar bahagia yang menjadi pengubat kepada kesedihannya selama ini.

“Saya merasakan Afif seperti anak saya sendiri kerana saya memberikan susu badan kepadanya setelah membuat rawatan untuk memperoleh susu badan.

“Dengan adanya anak susuan itu, saya menjadi kuat walaupun hari ini saya sudah bergelar seorang ibu tunggal,” ujarnya.

Pilih memakai tudung

Bercerita mengenai transformasi hidup daripada seorang gadis lincah kepada wanita yang kelihatan ayu bertudung, kata Farra dia berubah selepas lima tahun berumah tangga.

Pada waktu itu Farra dan suami sedang mencari arah untuk melihat kehidupan mereka agar menjadi lebih baik. Maka jalannya ialah kembali untuk mengenal al-Quran apabila mereka belajar mengaji bersama melalui keluarga sebelah bekas mertua.

Bermula dari situlah Farra merasakan adalah lebih baik dia memakai tudung selain tidak berhasrat untuk menjadi penyanyi lagi.

Katanya hatinya sekarang semakin tenang apatah lagi setiap minggu dia banyak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti keagamaan dan dakwah.

Kembali ke dunia seni

Walaupun tidak berhasrat untuk menyanyi lagi tapi Farra tidak dapat menipu rindunya dalam dunia seni.

Kata Farra, jika diberi peluang dia mahu melibatkan diri sebagai pengacara untuk rancangan-rancangan bercorak keagamaan selain bersedia memberi ceramah motivasi kepada golongan yang mahu berkongsi ketabahan apabila menjadi ibu tunggal.

“Tetapi jika mahu merakamkan album dan menyanyi macam dulu-dulu, saya tak mahu. Cukuplah pengalaman itu.

“Sekarang saya ingin kembali menjadi Farra yang baru dengan transformasi untuk ke arah yang lebih baik,” katanya yang kini menjadi tenaga pengajar Alim Kids yang mendidik kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun mengenal ilmu keagamaan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:11
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.