saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 09/03/2010

Evolusi KL Drift 2 filem termahal Skop


SYAMSUL Yusof (tengah) bersama para pelakon, penerbit dan penaja Evolusi KL Drift 2 selepas pratonton filem itu di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


SEJAK beroperasi dalam bidang penerbitan filem selama hampir 20 tahun, Skop Productions Sdn. Bhd. (Skop) telah menerbitkan sebanyak 24 buah filem yang setiap satunya menelan kos produksi serta promosi tidak melebihi RM2 juta.

Bagaimanapun, syarikat milik pengarah dan pelakon veteran, Datuk Yusof Haslam itu mencipta rekod baru apabila filem ke-25 terbitannya berjudul Evolusi KL Drift 2 menelan kos pembikinan termasuk promosi mencecah RM2.5 juta.

Menurut Yusof, filem arahan anaknya, Syamsul Yusof itu menelan kos yang agak tinggi kerana ia merupakan sebuah filem aksi yang membabitkan banyak adegan kemalangan dan ramai pelakon aksi lagak ngeri.

"Untuk filem ini kami telah menggunakan dua buah kereta lumba yang setiap satunya berharga RM200,000 di mana ia telah musnah terbakar bagi menjayakan adegan-adegan ngeri yang dipaparkan dalam filem ini.

"Selain itu, kami juga telah mengupah ramai pelakon aksi lagak ngeri. Puluhan ribu ringgit terpaksa dikeluarkan untuk bayaran mereka yang menjayakan adegan-adegan tersebut. Mujurlah kami mempunyai banyak penaja.

"Antaranya Toyo Tyres yang menaja tayar-tayar kereta untuk adegan drift yang mencecah RM300,000. Malah, ada tayar kereta yang harganya mencecah hampir RM1,000 bagi setiap biji," katanya selepas pratonton filem itu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Evolusi KL Drift 2 yang turut diterbitkan dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd., itu juga melebihi bajet asalnya iaitu sebanyak RM2.2 juta kepada RM2.5 juta kerana berlakunya beberapa kemalangan sewaktu penggambarannya diadakan.

Hits difahamkan, filem yang dikategorikan dalam genre aksi itu juga menggunakan 200 gulung filem sewaktu penggambaran dijalankan di mana ia merupakan jumlah terbanyak dalam sejarah filem terbitan Skop.

Jelas Yusof, jika penggambaran filem ketiga arahan Syamsul yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pelabuhan Klang itu berlanjutan sehingga 60 hari kosnya juga akan meningkat sehingga RM3 juta.

"Mujurlah penggambaran filem ini dapat disiapkan selama 40 hari sahaja. Walaupun kos pembikinan filem ini 'terbabas' sehingga RM300,000 tetapi saya bangga kerana anak saya mampu melakukannya walaupun macam-macam yang dia minta untuk menyiapkan filem ini.

"Apa pun saya tidak sangka Syamsul sedikit sebanyak mewarisi bakat saya dalam bidang ini. Saya rasa, dia sudah jauh tinggalkan saya. Saya bukan mahu 'mengangkat' anak sendiri tetapi Syamsul mampu membawa suatu anjakan dalam bidang ini pada masa depan.

"Dia sudah mula menjadi pengarah filem pada usianya 23 tahun. Jun ini Syamsul akan berusia 26 tahun. Saya harap dia akan lebih aktif termasuklah mengarahkan tiga filem setahun," ujarnya yang banyak memberi kebebasan berkarya kepada anaknya itu menerusi filem tersebut.

Tambah Yusof, antara kebebasan yang telah diberikan olehnya kepada Syamsul termasuklah melakonkan sendiri adegan-adegan lagak ngeri dalam filem yang akan ditayangkan di seluruh negara mulai 25 Mac ini.

hampir meragut nyawa

Malah, kebebasan yang diberi itu, ujar pelakon filem Melati Putih yang popular pada tahun 1980-an ini, ia dikatakan hampir meragut nyawa anak bujang kesayangannya itu.

"Dalam salah satu adegan lagak ngeri yang dilakonkan oleh Syamsul, besi pada kamera yang diletakkan pada bahagian kereta yang dipandunya hampir mencucuk ke bahagian mukanya dalam satu kemalangan pada penggambaran tersebut.

" Walaupun saya nasihatkan dia jangan buat, dia (Syamsul) kata dia mahu lakukan juga adegan lagak ngeri itu. Saya tidak mahu dia berdepan dengan risiko. Malah, dalam salah satu penggambaran filem ini kamera yang digunakan berharga hampir RM1 juta juga rosak. Mujurlah dilindungi insurans," ceritanya lagi.

Sementara itu, Syamsul Yusof yang ditemui selepas pratonton itu berkata, dia menganggap insiden yang hampir meragut nyawanya itu sebagai suatu pengajaran agar ia tidak berulang pada masa depan.

Pada masa sama jejaka berusia 25 tahun ini tidak menafikan ekoran daripada insiden itu, bapanya telah memarahinya sehingga menyebabkan penggambaran filem itu tergendala seketika.

"Selepas kemalangan itu, ayah saya memarahi saya. Saya terasa hati juga. Akibat tekanan daripada ayah, saya berehat sehari dan kemudian penggambaran itu disambung semula. Kejadian itu berlaku seminggu sebelum pemggambaran itu tamat," jelasnya.

Evolusi KL Drift 2 yang merupakan sekuel daripada Evolusi KL Drift yang mencatat kutipan tiket lebih RM4 juta juga banyak membuka cabang seni yang lain buat Syamsul termasuklah menunjukkan bakatnya dalam bidang nyanyian.

Sebagai contohnya, lagu tema dan latar filem itu berjudul Apakah Semuanya dan Evolusi KL Drift 2 dinyanyian sendiri oleh anak pasangan Yusof dan Datin Fatimah Ismail itu demi meluaskan lagi bakatnya dalam bidang seni.

"Saya menyanyi hanya sebagai hobi sahaja. Sebelum ini, saya telah menghasilkan sebuah album single bertajuk Bidadari dan ia pernah disiarkan di radio seperti X Fresh dan X FM," katanya.

Jelas Syamsul, Evolusi KL Drift 2 yang akan ditayangkan di 75 buah pawagam termasuklah di Singapura dan Brunei turut memberinya banyak pengalaman kerana selain mengarah dia juga turut melakonkan watak utama sebagai Zack.

"Saya tidak berasa stress (tertekan) menjadi pengarah dan pelakon dalam filem ini. Bagaimanapun pada filem akan datang, saya hanya mengarah sahaja dan tidak akan berlakon lagi," ujarnya.

Selain Syamsul yang juga selaku penulis skrip dan penyunting, Evolusi KL Drift 2 turut dilakonkan oleh Aaron Aziz, Shahiezy Sam, Scha Al-Yahya, Hetty Sarlene, Farid Kamil dan Corrie Lim.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.