saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 12/03/2010

Ziana hampir hilang nyawa


ZIANA bersyukur masih berpeluang untuk membesarkan anak kembarnya.


SELAMA lapan bulan, penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain menyimpan rahsia yang cukup besar dan hanya menunggu masa sesuai untuk diceritakan.

Petang Selasa lalu di hadapan pihak media, Ziana mengejutkan hadirin apabila tiba-tiba sahaja dia menangis dan air mata yang terbendung sudah tidak mampu ditahan lagi.

Jelas Ziana, dia bersyukur dan bertuah kerana masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk meneruskan kehidupan biarpun nyawanya hampir diragut ketika melahirkan anak kembarnya.

"Apabila direnung kembali keadaan saya dalam tempoh lapan bulan ini, memang saya benar-benar bersyukur dan gembira kerana masih diberi ruang untuk bernafas.

" Ternyata Allah masih sayangkan saya dan memberi peluang untuk saya membesarkan anak kembar saya seperti mana yang saya dapat lakukan kini dengan anak pertama dan kedua saya," cerita Ziana dalam nada teresak-esak sambil menyapu air matanya.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain ditemui pada majlis istimewa memperkenalkan anak kembarnya, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh anjuran Slimworld di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, menerusi perkahwinannya selama 12 tahun bersama Armin Zaharin, 46, Ziana telah dikurniakan dengan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Aiman dan Muhammad Ammar yang masing-masing kini berusia 10 dan tujuh tahun.

Kelahiran anak kembarnya pada 23 Julai tahun lalu benar-benar mencabar dan menguji ketabahannya sebagai seorang wanita.

Betapa tidak, lima hari sebelum bersalin, Ziana telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) memandangkan tekanan darah mencanak naik yang belum pernah dialaminya sebelum ini.

Lebih mendebarkan lagi, saat berada dalam bilik pembedahan, Ziana ketika itu berada dalam kritikal dan hanya mempunyai 50 peratus peluang sahaja untuk hidup.

Bukan itu sahaja, sebaik sahaja menjalani pembedahan, dia mengalami tumpahan darah yang serius sehingga perlu dimasukkan 10 pain darah.

Tidak cukup dengan itu, wanita berusia 42 tahun mengambil masa selama empat bulan untuk menstabilkan diri dan harus berjumpa doktor sekurang-kurangnya tiga hari seminggu dalam tempoh tersebut.

"Bukan sahaja saya, tetapi keadaan anak-anak saya juga tidak mengizinkan untuk saya memperkenalkan mereka kepada khalayak.

"Saya sedar dan faham sangat dengan tugas pihak media yang tidak pernah jemu mencari dan menulis berita tentang saya tetapi pengalaman ini saya sifatkan sesuatu yang peribadi.

"Tetapi, hari ini membuktikan bahawa saya mempunyai alasan dan sebab yang kukuh mengapa saya perlu mengambil tempoh sepanjang ini untuk menganjurkan majlis ini," katanya dalam keadaan tenang dan kembali mengukir senyuman manis.

Sewaktu dilahirkan berat badan Muhammad Ariel adalah 2.1 kilogram manakala adiknya pula hanya 1.7 kilogram sahaja.

Ekoran itu, Ariel dan Siti Nour Kaseh masing-masing perlu dimasukkan ke dalam inkubator. Ariel dimasukkan selama lapan hari manakala Nour selama dua minggu.

Saat ditanya adakah dia bersedia untuk memiliki cahaya mata lagi selepas ini, dengan pantas Ziana menggelengkan kepalanya.

"Bukan saya mahu kata saya sudah taubat untuk mengandung dan melahirkan anak lagi tetapi pengalaman yang saya lalui menyebabkan saya begitu takut.

"Dengan empat cahaya mata yang saya miliki sekarang sudah mencukupi dan amat membahagiakan saya serta suami.

"Apa yang penting, impian saya untuk memiliki anak perempuan sudah tercapai. Kalau tidak, pada siapa saya mahu turunkan semua koleksi kasut dan beg tangan saya nanti," kata Ziana berseloroh sambil disahut dengan gelak tawa para tetamu di dalam dewan.

Dalam masa yang sama, Ziana yang menempa kemasyhuran menerusi lagu Madah Berhelah ini turut menolak dakwaan yang mengatakan dia sengaja mencipta gimik untuk membuat kemunculan semula.

Sesudah hampir dua dekad berjuang di medan seni, Ziana penuh rendah diri memberitahu dia tidak perlu melakukan perkara-perkara tersebut untuk terus mempertahankan namanya.

"Dalam usia saya 42 tahun sekarang, saya gembira kerana masih lagi diberikan kudrat dan tubuh badan yang sihat.

"Saya juga berterima kasih kepada semua pihak media yang sentiasa menyokong dan memberi peluang kepada saya dari hari pertama saya menjejakkan kaki ke dalam industri.

"Apabila merenung kembali perjalanan seni saya, tidak pernah saya menyangka saya mampu bertahan sehingga kini biarpun ada rakan-rakan saya sudah mengundurkan diri," ujar pemenang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1996 ini dalam nada bersyukur.

Mencurah-curah

Rupanya di sebalik kepayahan dan bertarung nyawa melahirkan dua permata hatinya itu ada hikmah yang tersembunyi apabila rezeki Ziana terus mencurah-curah sepanjang tahun ini.

Jelasnya, sehingga ke hari ini dia tidak mempunyai masa untuk berehat kerana terlalu sibuk dengan komitmen seninya seperti Mentor musim keempat dan teater muzikal Gamat 2.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Ziana sempat berkongsi cerita tentang rejim kecantikan dan kesihatan yang diamalkannya.

Sementelah sudah menjadi duta Slimworld selama tujuh tahun membuatkan Ziana menjadi pelanggan setia dengan mencuba kesemua 30 jenis rawatan yang ditawarkan di pusat pelangsingan ternama itu.

Dalam tempoh empat bulan sahaja, Ziana berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 28 kilogram dari 78 kilogram kepada 50 kilogram sekarang ini.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin pulih dan semuanya kembali normal seperti sedia kala.

"Menjalani kehidupan sebagai seorang artis memang menuntut masa yang lama dalam setiap agenda yang kita lakukan sehingga ada kala kita terlupa untuk menjaga kesihatan.

"Prinsip saya mudah iaitu disiplin yang tinggi, menjaga amalan pemakanan serta rehat dan tidur yang cukup.

"Dalam usia saya begini, lima jam tidur yang enak dan nyenyak sudah memadai untuk saya berasa segar keesokan harinya," kata Ziana yang akan muncul dengan filem kesembilannya, Magika arahan Edry Abdul Halim sekitar pertengahan tahun ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:09
Isyak 8:24



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.