saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 16/03/2010

Pak Atan rindu Si Tenang


Atan Hussin atau Pak Atan terus setia bersama isteri mendiami rumah rakitnya di Kampung Pasir Puteh di Pasir Gudang, Johor.


PAK Atan merenung jauh air laut Selat Tebrau yang tenang di hadapannya berlatarbelakangkan Pulau Ubin di Singapura. Lama juga lelaki tua itu termenung seolah-olah teringat sesuatu. Entah apa yang difikirkannya.

Lamunan Pak Atan terhenti apabila penulis cuba memecah keheningan deru ombak dan bunyi bot nelayan yang sayup-sayup jauh kedengaran.

"Pak Atan masih teringat Si Tenang ke?," tanya penulis sambil berharap soalan itu tidak mengembalikan duka yang berbekam di hati Pak Atan selepas 11 tahun berlalu.

Dia hanya memberikan senyum kelat. Namun masih terdiam seolah-olah mengumpul kekuatan untuk mencari jawapan merungkai nostalgia lama itu.

Warga emas yang kulit wajahnya mula kedut seribu itu pantas mengeluarkan sebatang rokok dan meletakkan di bibirnya.

"Siapa yang tidak teringat Si Tenang? Kalau mimpi, sudah menjadi biasa sangat.

"Kadang-kadang ternampak macam bayang Si Tenang sedang berenang di kawasan ini," akhirnya Pak Atan mula bersuara.

Pak Atan atau nama sebenarnya Atan Hussin kini sudah berumur 60 tahun.

Kira-kira 11 tahun lalu, nama Pak Atan dan keluarganya menjadi popular di negara ini apabila kisah lelaki itu dan dugong peliharaan kesayangannya menghiasi dada akhbar hampir setiap hari.

Pak Atan menjaga anak dugong itu dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri biarpun berasa amat sedih apabila pihak berkuasa mengarahkan supaya mamalia itu dilepaskan semula ke laut.

Pada 11 Mac 1999, kisah itu menjadi lebih gempar apabila dugong yang dipanggil Si Tenang itu dijumpai mati terapung di Selat Tebrau selepas hanya 41 jam dilepaskan Pak Atan.

Bangkai mamalia itu ditemui oleh seorang nelayan yang sedang menjala udang tidak jauh dari tempat ia dilepaskannya.

Menyelak memori, Pak Atan dan anaknya, Roslan, 35, menemui anak dugong itu setelah ia terperangkap dalam jaring udang berhampiran kelong mereka kira-kira 100 meter dari Kampung Pasir Putih pada 25 Februari tahun sama.

Ketika ditemui, Si Tenang mengalami luka di bahagian mulut dan juga ekor, mungkin kerana terlanggar teritip semasa mencari makan.

Sejak penemuan anak dugong itu dilaporkan, pelbagai pihak termasuk Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Jabatan Perikanan serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyuarakan kebimbangan terhadap nasib mamalia laut itu dan mahu ia dilepaskan semula.

Pak Atan dengan berat hati terpaksa melepaskan semula anak dugong itu setelah menerima arahan daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan dan Perhilitan.

Namun kematian tragis dugong itu mengundang kesedihan sekali gus mencatatkan sejarah hitam kepada Pak Atan dan keluarganya, malah masyarakat turut berkongsi perasaan yang sama.

Masing-masing berpendapat sekiranya Si Tenang terus dipelihara buat sementara waktu sehingga lukanya sembuh, ia mungkin terselamat daripada bahaya di laut.

Kemaafan dendam yang terindah

Penulis dan jurugambar, Raja Jaafar Ali menemui Pak Atan yang tinggal di sebuah rumah rakit yang terletak di Selat Tebrau di Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang, Johor.

Kami dijemput Pak Atan di tepi pantai sebelum sebuah bot kecil yang laju meluncur membelah laut menuju ke rumah rakit itu.

Ketika wawancara diadakan, keadaan menjadi agak tidak selesa berikutan rumah itu yang beralun apabila dipukul ombak akibat kapal dagang dan bot yang lalu lalang.

Kini, Pak Atan tidak lagi mengusahakan penternakan kupang sebaliknya hanya mencari udang untuk dijual kepada kaki pancing dengan purata pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari.

Ditanya soalan sama ada dia masih berdendam dengan mana-mana pihak berhubung kejadian sedih itu, bapa kepada empat orang anak itu hanya tersenyum kecil.

"Saya tidak pernah berdendam dengan sesiapa pun. Si Tenang hanyalah harta dunia yang dipinjamkan Allah SWT kepada saya buat sementara waktu.

"Namun sebagai manusia, kita sepatutnya berfikir secara rasional terlebih dahulu tanpa membuat apa jua keputusan yang terburu-buru.

"Cuma saya sedikit terkilan kerana kehidupan kami sekeluarga terus terumbang-ambing dan pihak-pihak yang berjanji dahulu terus hilang entah ke mana," katanya dalam nada sayu.

Jelas Pak Atan, ramai beranggapan yang kehidupannya menjadi senang selepas kejadian Si Tenang itu namun katanya, dia lebih menderita meniti hari-hari mendatang tanpa anak dugong itu.

Katanya, sudahlah kelong kupangnya mengalami kerosakan akibat tidak dapat menampung ribuan pengunjung yang datang melihat Si Tenang, enjin botnya turut mengalami masalah sama.

"Sebenarnya orang luar yang mengaut keuntungan berlipat ganda apabila kawasan pantai ketika itu ibarat pesta dengan gerai-gerai jualan selain terdapat individu mengenakan kadar tambang bot ke rumah rakit saya dengan harga tinggi.

"Bagi pandangan orang kampung, ada yang suka dengan kejadian namun ada juga yang tidak gembira kerana menyangka kami menjadi kaya dengan penemuan Si Tenang.

"Padahal ketika itu, saya hanya mengenakan kadar tambang RM1 seorang pergi balik kepada orang ramai yang ingin melihat dan bermain dengan Si Tenang secara dekat," katanya mula rancak bercerita.

Si Tenang bukan binatang 'biasa'

Anak dugong kecil itu jelas merubah banyak perkara dalam kehidupannya dan keluarga, umpama mereka mendapat seorang lagi ahli baru dalam keluarga.

"Kematian Si Tenang merupakan satu penyeksaan dan kehilangan yang paling besar kerana saya ibaratkannya sebagai seorang anak.

"Siapa yang tidak sedih kehilangan anak sendiri, begitulah perasaan saya kepada Si Tenang," tutur Pak Atan penuh kecewa.

Tambah memilukan hatinya, Si Tenang dipaksa dilepaskan ketika hujan lebat dan ribut datang melanda selepas dia diberi amaran pihak tertentu akan didenda dan ditangkap jika terus memelihara anak dugong itu.

Namun bagi lelaki tua itu, dia yakin Si Tenang bukan sebarang binatang yang hidup di muka bumi ini sebaliknya satu keajaiban yang dikurniakan Tuhan kepada insan tertentu.

Katanya, dia masih tidak percaya bagaimana pertemuan itu boleh berlaku antara dirinya dan Si Tenang jika mengambil kira faktor umur anak dugong kecil itu yang baru berusia tiga bulan ketika itu.

Sebagai manusia berfikiran waras, Pak Atan masih tertanya-tanya bagaimana Si Tenang dapat melepasi pelbagai halangan getir apabila perlu mengharungi ombak deras, jaring pukat yang banyak, kapal-kapal besar dan bot nelayan untuk sampai ke rumah rakitnya.

"Sepanjang dalam peliharaan saya, Si Tenang juga menunjukkan sifat yang luar biasa apabila seorang wanita dapat bersalin selepas seminggu terlebih hari apabila diberi minum air tawar Si Tenang.

"Saya juga masih ingat Si Tenang pernah merajuk dan tidak mahu muncul di permukaan air. Rupa-rupanya terdapat seorang pengunjung wanita yang uzur ketika itu dan selepas wanita tersebut diminta pulang, Si Tenang kembali ceria bermain air," ujarnya penuh yakin.

Akibat trauma dengan kejadian 'dipaksa' melepaskan Si Tenang itu, lelaki itu telah bersumpah bahawa kawasan sekitar tempat anak dugong itu dijumpai tidak aman lagi buat dugong lain pada masa akan datang.

Barangkali secara kebetulan, selepas beberapa hari Si Tenang dijumpai mati, kawasan perairan Selat Tebrau di Kampung Pasir Putih itu gempar apabila terdapat penemuan beberapa ekor dugong lain yang menerima nasib sama.

Masih menjadi misteri sehingga ke hari ini, haiwan yang bernama dugong itu tidak lagi kelihatan di kawasan itu dan apakah ia adalah kena mengena dengan sumpahan Pak Atan itu!

Bahagia di rumah rakit

Kekadang penulis sukar percaya masih terdapat masyarakat yang tinggal di rumah rakit pada hari ini.

Apatah lagi bercakap tentang Johor Bahru yang terkenal dengan projek pembangunan Iskandar Malaysia melibatkan pembinaan rumah yang mencecah harga ratusan ribu ringgit.

Namun Pak Atan tetap setia tinggal di rumah rakit kecil yang sekadar memiliki satu ruang tamu dan dapur manakala bilik mandi terdapat di luar rumah.

Di rumah itu yang bertemankan lampu dari kuasa generator, Pak Atan dan isterinya, Fatimah Mohd. Salleh, 62, yang mengidap penyakit kencing manis, seorang anak dan menantu serta dua cucu perempuan bahagia melalui hidup di atas lautan sejak 20 tahun lalu.

"Pak Atan tidak sanggup meninggalkan rumah rakit ini apatah lagi kejadian Si Tenang 11 tahun lalu menguatkan lagi perasaan untuk tinggal di sini.

"Kalau di darat, Pak Atan tidah tahu macam mana hendak mencari rezeki lagi dan biarlah lautan ini menjadi teman kami sekeluarga buat selama-lamanya," katanya yang turut memiliki rumah di darat dan kini dihuni oleh salah seorang anaknya.

Sejam bersama Pak Atan, banyak pengajaran yang diperoleh apabila kisah suka duka lelaki tua itu boleh dijadikan panduan dan pedoman kepada masyarakat agar sentiasa berbuat baik kepada haiwan dan binatang.

Kata-kata akhir Pak Atan, dia masih menyimpan rindu yang mendalam terhadap Si Tenang biarpun sudah 11 tahun waktu pantas berlalu.

Sempat dia mengadu sebelum menurunkan kami dari botnya ke kawasan darat untuk pulang ke pejabat di Johor Bahru.

"Orang kata Si Tenang diawet dan ditempat di Muzium Melaka. Pak Atan dan keluarga teringin hendak melihatnya.

"Dapat tengok Si Tenang yang sudah diawetkan pun tidak apa. Sekurang-kurangnya lepaslah juga rindu kami sekeluarga kepadanya," katanya mengharap sambil sirna bebola mata mencerita perasaan kasih sayang yang masih mendalam buat Si Tenang hingga ke akhir hayat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.