saya nak baca ..

SELATAN


ARKIB : 16/03/2010

Rezeki si pengukir kayu


ZULKIPLI Abas tekun menyiapkan tempahan di perusahaannya di Batu 27, Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah, Melaka.


ALOR GAJAH 15 Mac - Kebiasaannya, rakyat negara ini akan mengelak untuk menceburi bidang pekerjaan yang memerlukan mereka bergelumang dengan habuk atau kekotoran. Namun bagi yang meminati bidang seni ukiran kayu, soal bekerja dengan habuk tidak pernah menjadi penghalang untuk menceburinya dengan serius.

Ini dibuktikan Zulkipli Abas, 51, seorang pengusaha ukiran kayu yang begitu tabah, sabar dan tidak mudah berputus asa dalam industri ini yang telah diceburinya sejak 35 tahun lalu.

Menyedari mempunyai bakat semula jadi dalam bidang tersebut, beliau tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya mengorak langkah membuka kedai membuat ukiran kayu, Perusahaan Zulkipli di Batu 27, Kampung Sungai Buloh, di sini.

Pelbagai jenis barangan perabot telah diukir sepanjang penglibatan beliau dalam bidang itu antaranya kabinet dapur, almari, mimbar masjid, hiasan dalaman dan kaunter pejabat.

Selain perabot, beliau pernah menerima tempahan ukiran pada saat-saat akhir iaitu menyiapkan kereta berhias sebesar treler untuk digunakan semasa menyambut hari kemerdekaan.

Kecenderungannya dalam bidang seni ukiran kayu membawa beliau melanjutkan pengajian dalam seni ukiran perabot di Pusat Latihan Belia di Muar pada tahun 1976 khusus untuk kemahiran ukiran kayu.

Katanya, dengan modal hanya RM300, beliau menggunakan tapak yang sama iaitu di Batu 27, Kampung Sungai Buloh, yang ditadbir Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tersebut.

''Dengan berbekalkan kemahiran dan pengalaman yang ada, saya tekad memulakan perusahaan walaupun ketika itu, kedai belum lengkap dengan peralatan ukiran asas," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selama tiga tahun, beliau terpaksa menjayakan perusahaan dan menghasilkan perabot ukiran kayu dengan peralatan terhad dan melihat kesungguhan Zulkipli mengusahakan kedainya, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) tampil memberi bantuan.

Katanya, bantuan yang diberikan oleh agensi berkenaan berupa mesin dan peralatan lain yang bernilai kira-kira RM80,000.

Dengan peralatan yang canggih, beliau terus mengukuhkan azam untuk terus meningkatkan perusahaannya yang kini dibantu oleh anak saudaranya, Mohammad Imran Abd. Wahab.

''Saya menerima tempahan yang menggalakkan namun atas kelemahan tiada modal mencukupi untuk membeli barang mentah menyebabkan saya terpaksa membataskan tempahan.

''Namun, ini bukan alasan untuk saya berputus asa dan sehingga kini saya sudah mempunyai kedai Perabot Perusahaan Zulkipli di sini," katanya.

Menurut Zulkipli, permohonan demi permohonan dilakukan untuk mendapatkan pinjaman daripada beberapa syarikat kewangan tetapi gagal.

''Kebanyakan syarikat kewangan terbabit menolak atas alasan umur saya sudah lanjut dan tidak melayakkan saya membuat sebarang pinjaman.

''Atas sebab ingin berjaya saya teruskan juga perusahaan ini biarpun terpaksa melakukannya dengan peralatan serba tidak lengkap dan kebanyakan tempahan saya terpaksa disiapkan secara manual," katanya.

Menurut Zulkipli, antara tempahan yang paling bernilai yang pernah diterima adalah membuat ukiran kraf tangan yang ditempah oleh sebuah syarikat untuk dihadiahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan baginda.

''Selain itu, saya juga diberi peluang untuk menghasilkan ukiran mimbar Masjid Ayer Kuning, di Tampin, Negeri Sembilan tidak lama dahulu," kata Zulkipli.

Selepas tamat pengajian di pusat tersebut, pengusaha tunggal perabot ukiran kayu ketika itu, mengambil inisiatif untuk memperluaskan ilmunya dalam bidang tersebut dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Kemahiran yang dimiliki Zulkipli itu membolehkan beliau terpilih menyertai Bengkel Teknologi Desa di bawah Jabatan Belia dan Sukan bagi melatih belia-belia yang tinggal di luar bandar.

Bengkel Teknologi Desa yang disertai oleh golongan belia tersebut walau bagaimanapun telah dihentikan dan bengkel tersebut dibiarkan kosong selama setahun.

''Saya amat berharap mana-mana belia yang berminat untuk mempelajari kemahiran seni ukiran kayu ini agar dapat menemui saya untuk mendapat penjelasan lanjut mengenainya.

''Cuma syarat utama yang diperlukan adalah minat yang mendalam dan bersungguh-sungguh untuk terlibat menjayakan bidang ini," kata beliau.

Sesiapa yang berminat untuk mempelajari seni ukiran perabot atau membuat sebarang tempahan boleh menghubungi Zulkipli di talian 013-6837724.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.