saya nak baca ..

PARLIMEN


ARKIB : 16/03/2010

Contohi PM dampingi rakyat – Agong


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (tiga dari kiri) dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah (empat dari kiri) bergambar bersama (dari kiri) Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin;Perdana Menter, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak; Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abd. Rahman selepas majlis perasmian Penggal Ketiga Parlimen ke-12 yang disempurnakan oleh Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 15 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin hari ini menitahkan para pemimpin agar mencontohi Perdana Menteri dengan turun padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami masalah mereka dengan lebih dekat.

Titah Seri Paduka, melalui cara itu pemimpin dapat menjalinkan hubungan yang rapat dengan rakyat di semua peringkat.

“Beta mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan barisan Jemaah Menteri beliau kerana sejak 11 bulan lalu, kerajaan beta di bawah kepimpinan beliau telah berjaya melaksanakan pelbagai program demi kesejahteraan rakyat,” titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan bertitah demikian ketika merasmikan sidang Penggal Ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Ini merupakan kali pertama Tuanku Mizan menyampaikan titah perasmian sejak Najib memegang tampuk pemerintahan negara.

Tuanku Mizan menyambut baik Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan yang diilhamkan Perdana Menteri dan komitmen-komitmen kerajaan untuk melaksanakan program transformasi demi kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, ekonomi negara kini semakin pulih daripada kesan kemelesetan global dengan Keluaran Dalam Negara Kasar suku keempat 2009 kembali mencatat pertumbuhan positif 4.5 peratus iaitu lebih baik daripada unjuran tiga peratus.

“Perkembangan yang menggalakkan ini antara lain adalah hasil pelaksanaan dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion serta disokong permintaan dalam dan luar negara yang semakin kukuh,” titahnya.

Bagi Seri Paduka, hikmah di sebalik kemelesetan ekonomi global adalah semua pihak berusaha menggunakan sepenuh sumber dan peluang yang ada untuk membawa negara keluar daripada kesukaran tersebut.

Sehubungan itu, titah Seri Paduka, semua program dan projek kerajaan akan berasaskan keperluan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama bagi memastikan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan memerlukan menikmati hidup yang lebih selesa.

Titahnya, kerajaan akan melaksanakan pendekatan kebajikan produktif bagi mengurangkan kebergantungan golongan berpendapatan rendah kepada bantuan kebajikan.

Dalam titah ucapan kira-kira sejam itu, Seri Paduka menyentuh pelbagai isu termasuk penstrukturan subsidi, penguasaan Malaysia dalam perbankan Islam, liberalisasi sektor pembuatan dan perkhidmatan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain sektor pelancongan dan pertanian.

Mengenai subsidi, Tuanku Mizan meminta rakyat agar berpandangan jauh dan bersedia menerima perubahan memandangkan sistem sekarang bukan sahaja dinikmati oleh golongan sasar bahkan mereka yang tidak layak seperti golongan berpendapatan tinggi dan warga asing.

“Pemberian subsidi akan distruktur semula dan dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Bagaimanapun kumpulan sasar akan terus dibantu agar tidak terbeban,” titah Seri Paduka.

Dalam perkembangan lain, Yang di-Pertuan Agong menyeru semua pemimpin agama supaya memupuk rasa tanggungjawab untuk memelihara keharmonian beragama di kalangan penganut agama masing-masing.

Seri Paduka mengingatkan agar perpaduan dan saling hormat-menghormati di antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara terus dipelihara.

“Amalan berbaik sangka, saling menghormati dan bekerjasama antara rakyat pelbagai kaum dan agama akan melahirkan masyarakat Malaysia yang mesra, aman dan bertoleransi.

“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama-agama lain bebas untuk diamalkan hendaklah dihormati,” tegas Seri Paduka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:19
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.