saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/03/2010

Farid tidak angkat mat rempit


Antara pelakon yang hadir pada majlis tayangan media filem V3 Samseng Jalanan arahan Farid Kamil bertempat di Cineleisure, Mutiara Damansara.


GELODAK hati Farid Kamil hanya Allah sahaja yang tahu saat diberitakan filem pertama arahannya, V3: Samseng Jalanan bakal diharamkan kerana sarat dengan aksi ganas yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini.

Apatah lagi, impiannya untuk bergelar seorang pengarah filem sudah lama dipendamkan dan sudah pasti apabila peluang itu diberikan, Farid mahu melakukan yang terbaik untuk filem pertamanya itu.

Lalu, apabila keringat dan tenaga sudah habis dicurahkan bagi memastikan kelancaran filem itu, hati mana yang tidak gundah-gulana seandainya ia diharamkan.

Namun, mujurlah dengan bantuan penerbit filem tersebut, David Teo dan Farid sendiri telah bertemu dengan ahli Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan berbincang secara diplomasi.

Akhirnya, dengan persetujuan semua pihak, sebanyak 20 peratus babak filem ini dipotong yang membabitkan adegan yang memaparkan aksi wheelie, wheelie-kang (angkat tayar belakang) dan cara mereka memboloskan diri daripada sekatan polis.

Bukan sekadar pemotongan tetapi judulnya juga harus ditukar dan maka itu, judul V3: Samseng Jalanan dipilih menggantikan judul asalnya, Remp-It V3.

Biarpun filemnya diberi klasifikasi 18 PL, Farid tetap menarik nafas lega dan memberitahu pemotongan itu sebenarnya tidak menjejaskan keseluruhan jalan cerita filem yang menelan bajet sebanyak RM1.8 juta itu.

Apa yang penting buat Farid adalah untuk peminat dan masyarakat dapat menonton hasil kerjanya sebagai seorang pengarah.

"Jujurnya, saya belum cukup puas hati dengan hasil pengarahan saya kerana masih banyak ruang yang boleh diperbaiki.

"Namun, dari segi lakonan saya berpuas hati kerana kesemua pelakon memberikan komitmen dan hasil lakonan seperti mana yang saya mahukan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem tersebut di ibu negara baru-baru ini.

Filem V3: Samseng Jalanan yang mula ditayangkan 11 Mac lalu turut menampilkan Farid sebagai teraju utama dengan memegang watak Rudy.

Pelakon-pelakon lain yang membintangi filem aksi ini ialah Bront Palarae sebagai Brett, Lisa Surihani (Kamsah), Aqasha (Garing), Intan Ladyana (Lisa), Radhi OAG (Lan Ribut) dan Adam Corrie Lee (Sam Seng).

Bukan itu sahaja, Farid turut mengkhabarkan filemnya itu akan menjadi filem rempit terakhir yang akan diterbitkan di negara ini dan selepas ini, tiada lagi filem berunsurkan sedemikian boleh diterbitkan.

Akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh LPF itu, apa yang penting bagi Farid ialah mesej yang ingin disampaikan menerusi filem V3: Samseng Jalanan.

Kata Farid, filem Remp-It yang ditayangkan empat tahun lalu diibaratkannya sebagai salam perkenalan serta mempamerkan kehidupan mat rempit yang mungkin tidak diketahui masyarakat selama ini.

Bagi mereka yang terlupa atau mungkin tidak tahu, cerita dan lakon layar filem Remp-It yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu merupakan cetusan idea Farid sendiri.

Maka, untuk filem V3: Samseng Jalanan ini, Farid cuba menonjolkan luahan hati mat rempit dengan mencari jalan penyelesaian atas segala tindak-tanduk yang mereka lakukan.

Namun begitu, Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari menjelaskan, dia meningkah dakwaan yang mengatakan dia cuba mengangkat mat rempit untuk menjadi hero.

"Saya pernah melalui pengalaman berlumba haram sekitar 15 tahun lalu dan bergaul serta selepas mendengar luahan hati mereka, ia menjentik fikiran saya untuk melakukan sesuatu buat mereka.

"Watak-watak yang saya tampilkan dalam filem ini juga mewakili sebahagian daripada mat rempit di luar sana dan semuanya daripada pandangan mata saya sendiri," ujarnya yang berkolaborasi dengan Shoffi Jikan dalam menghasilkan skrip dan lakon layar filem ini.

Gaya tersendiri

Mengarahkan filem pertama memang memberikan cabaran yang cukup luar biasa terutama membabitkan adegan aksi dan perlumbaan.

Jelasnya, dia banyak berkerja dan berkongsi idea serta pendapat dengan semua krew terutama pengarah sinematografi terkenal, Raja Mukhriz Raja Kamaruddin.

"Saya mempunyai gaya tersendiri apabila mengarahkan filem dan untuk filem ini, semuanya berjalan lancar serta teratur apabila jalan ceritanya dihasilkan terlebih dahulu ke atas papan cerita.

"Hanya dengan cara itu sahaja, saya dapat membayangkan visual yang saya kehendaki untuk filem ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Farid juga sempat meluahkan pandangan peribadinya apabila dia memberitahu bukan satu tugas yang mudah apabila perlu berlakon dan mengarah dalam masa yang sama.

Sebelum ini dia tidak pernah memikirkan kesukaran tersebut sehinggalah dia mengalaminya sendiri.

"Selepas ini, untuk filem-filem yang akan datang, saya hanya akan menumpukan perhatian kepada kerja pengarahan sahaja dan tidak mungkin untuk saya melakukan dua kerja dalam satu masa," katanya yang juga akan muncul dengan dua buah filem, Evolusi KL Drift 2 dan Semerah Cinta Stiletto dalam waktu terdekat ini.

Ditanya tentang perancangan filem seterusnya, Farid yang mula dikenali menerusi filem Cinta Kolestrol pada tahun 2003 memberitahu dia sudah merangka idea dan jalan cerita untuk filem keduanya.

Masih lagi mengekalkan genre aksi, cuma kali ini ia akan menyelitkan elemen romantik sebagai rencah untuk menjadikan filem ini lebih menarik.

Baginya, kalau mahu membikin filem romantik dan cinta, ia tidak semestinya yang terlalu melankolik.

"Saya juga tidak kisah untuk digelar pengarah aksi kerana itu yang saya mahu lakukan dari dulu lagi dan dalam hal ini, saya menjadikan filem-filem arahan Michael Bay sebagai inspirasi.

"Saya juga akan terus mempraktikkan apa yang telah saya pelajari menerusi kuliah saya untuk filem-filem akan datang demi kemajuan industri perfileman tanah air," ujar pelakon kacak dari Alor Setar, Kedah ini yang baru sahaja menyambung kontrak sebagai wajah eksklusif Astro untuk dua tahun lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.