saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/03/2010

Meneroka kerjasama Malaysia-Sudan

KEBANYAKAN rakyat Malaysia mungkin sekadar mengenali Sudan sebagai salah sebuah negara di benua Afrika yang pernah menghadapi krisis kemanusiaan sehingga Malaysia pernah melancarkan Tabung Dapur Untuk Darfur pada 2007.

Namun bagi Sudan, Malaysia merupakan sebuah negara sahabat yang penting di Asia.

Kedudukan Malaysia yang begitu penting di mata negara yang terletak di bahagian timur laut benua Afrika itu mendorong negara itu memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi Persidangan Duta-Duta Sudan Asia pada Jumaat lalu.

Persidangan berkenaan dihadiri oleh para duta dan pegawai dari lapan buah pejabat kedutaan Sudan di lapan buah negara Asia.

Ia merupakan persidangan kedua selepas persidangan pertama berlangsung di China pada 2007.

Barisan duta Sudan yang hadir pada persidangan kali ini ialah dari Malaysia, Indonesia, Vietnam, Jepun, Korea Selatan, India, Pakistan dan China. Persidangan itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Luar Sudan, Ali Ahmed Karti.

Hadir sama pada majlis perasmian persidangan itu ialah Timbalan Menteri Luar, Senator A.Kohilan Pillay.

Duta Sudan di Malaysia, Nadir Yousif Eltayeb berkata, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah persidangan berkenaan pada kali ini berdasarkan hubungan baik Malaysia dan Sudan selama ini.

''Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi persidangan juga merupakan satu penghargaan kepada Malaysia oleh Sudan. Kami mahukan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara menjadi lebih erat dan diperluaskan pada masa akan datang," katanya.

Nadir Yousif berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis perasmian persidangan dua hari berkenaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, pada masa ini terdapat 2,500 warga Sudan yang menuntut dan berkhidmat di negara ini. Pada masa yang sama, lebih 500 warga Malaysia sebahagian besarnya warga kerja Petronas bertugas di Sudan.

''Selain Petronas terdapat beberapa syarikat Malaysia yang melabur di Sudan. Kami ingin mempelawa dan melihat lebih banyak syarikat Malaysia melabur di Sudan supaya jumlah dagangan di antara kedua-dua negara dapat ditingkatkan.

''Saya optimistik hubungan Malaysia dan Sudan akan menjadi lebih kukuh pada masa akan datang. Sudan pada masa ini komited dan memberikan fokus dalam mengukuhkan hubungan dengan negara Asia terutamanya China, Malaysia dan Indonesia," kata beliau.

Antara bidang kerjasama yang boleh diteroka oleh Malaysia dan Sudan adalah pertukaran program berkaitan kebudayaan, perdagangan dan ekonomi.

Tambah Nadir Yousif, Asia merupakan rantau yang penting di mata Sudan buat masa ini dan Malaysia dianggap sebagai pintu gerbang Sudan untuk meneroka rantau Asia.

''Kedutaan Sudan di Malaysia merupakan kedutaan Sudan yang paling besar di Asia. Ini kerana Kedutaan Sudan di Kuala Lumpur turut bertanggungjawab memantau kebajikan warga Sudan yang berada di negara-negara jiran Malaysia iaitu Brunei, Filipina dan Thailand," katanya.

Hubungan dua hala Malaysia dan Sudan bermula pada tahun 1973. Bagaimanapun, Kedutaan Sudan di Kuala Lumpur dibuka pada 1991 dan Malaysia pula membuka kedutaannya di Khartoum pada tahun 1995.

Sudan yang terletak di timur laut benua Afrika berkeluasan 2.5 juta kilometer persegi. Ia merupakan negara yang terbesar di benua Afrika dan kesembilan terbesar di dunia. Keluasan negara berkenaan adalah hampir 10 kali ganda keluasan Britain.

Negara berkenaan mempunyai seramai 40 juta penduduk yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan mengamalkan budaya Arab-Afrika. Sudan terdiri daripada 26 negeri yang mempunyai keunikan masing-masing.

Antara tarikan pelancongan di Sudan adalah percantuman sungai yang terpanjang di dunia iaitu Sungai Nil Biru dan Sungai Nil Putih dekat Khartoum dan pesisir pantai Laut Merah sepanjang lebih 700 kilometer yang mengandungi pelbagai khazanah laut terutamanya terumbu karang.

Sementara itu, Ali Ahmed dalam ucapan perasmiannya berkata, penganjuran persidangan berkenaan di Kuala Lumpur memberikan mesej betapa pentingnya Malaysia kepada Sudan.

''Di Malaysia dan rantau Asia amnya kami sentiasa berasa seperti berada di negara sendiri," katanya sambil menambah Sudan sudah menandatangani perjanjian damai menyeluruh pada 2005 sekali gus menamatkan perang saudara yang berlaku.

Kini negara berkenaan sedang bersedia untuk menghadapi pilihan raya presiden dan umum pada bulan depan.

''Sudan akan memastikan pilihan raya yang akan berlangsung itu dilaksanakan secara adil dan telus. Kerajaan Sudan juga bersedia menerima pemerhati dari seluruh dunia bagi memantau pilihan raya yang bakal diadakan ini," katanya.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 300,000 terkorban sementara 2.7 juta penduduk Sudan menjadi pelarian sejak pemberontakan etnik minoriti ke atas kerajaan pada 2003.

Kohilan Pillay yang turut ditemui pada majlis yang sama berkata, syarikat-syarikat Malaysia perlu merebut peluang untuk melabur di Sudan.

''Kerajaan Sudan ada menyediakan pelbagai peluang dan insentif untuk syarikat Malaysia yang melabur di negara tersebut. Oleh itu, syarikat Malaysia tidak harus melepaskan peluang berkenaan," jelasnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.