saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 19/03/2010

Syarikat 'kurung' penguat kuasa minta maaf

PUTRAJAYA 18 Mac - Global Abattoir (Malaysia) Sdn. Bhd. (GA) hari ini memohon maaf secara terbuka berhubung insiden 'mengurung' para pegawai dua agensi penguat kuasa dalam satu serbuan di premis memproses ayam syarikat itu di Pedas, Negeri Sembilan kelmarin.

Pengarah Pemasarannya, Azrin Abd. Ajib berkata, pihaknya tidak mempunyai niat atau menjadi polisi syarikat untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, beliau menyatakan, tindakan berjaga-jaga yang diambil pada hari tersebut bertujuan untuk mengawal trafik orang keluar masuk ke premis mereka.

''Bagi pihak GA, saya memohon maaf kepada media, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika kami kelihatan telah 'mengurung' mereka dalam kawasan premis kami.

''Saya berharap anda dapat memahami bahawa adalah sukar untuk mengenal pasti siapa yang terdiri daripada agensi penguatkuasaan atau media semasa lawatan tersebut.

''Jika terdapat salah faham sebagai mereka 'dikurung', harap terimalah permohonan maaf kami," katanya pada sidang akhbar di Jakim di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Logo halal Jakim yang digunakan oleh GA mulai tahun ini digantung bagi membolehkan Jakim menganalisis penemuan pada operasi itu yang dijalankan hasil aduan sebuah agensi kerajaan di Pulau Pinang.

Dalam insiden Isnin lalu, pengusaha kilang memproses ayam di Pedas itu bertindak di luar dugaan apabila 'mengurung' 12 pegawai dari dua agensi penguatkuasaan yang melakukan serbuan di premis tersebut.

Pengusaha tersebut bertindak mengunci pagar premis itu ketika serbuan dilakukan. Turut terperangkap di dalam premis itu ialah tiga wartawan dan dua jurukamera yang membuat liputan serbuan berkenaan.

Mereka 'dikurung' selama kira-kira tiga jam dan hanya dapat keluar dari kilang itu selepas polis tiba dan melakukan rundingan dengan pengusaha berkenaan.

Menurut Azrin, sememangnya telah menjadi satu polisi syarikat berkenaan untuk tidak membenarkan sebarang rakaman gambar diambil tanpa sebarang pengesahan bertulis daripada GA.

''Kami hanya membenarkan Jakim dan KPDNKK sahaja mengambil gambar bagi membantu mereka melaksanakan proses audit," katanya.

Azrin juga mendakwa terdapat wartawan yang tidak memakai kad petugas sehingga proses mengenal pasti sukar dilakukan semasa operasi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya memahami bahawa Jakim harus melaksanakan tugasnya yang munasabah demi kepercayaan, kebaikan dan kebajikan para pengguna di kalangan orang Islam di negara ini.

''Oleh itu GA akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jakim untuk membaik pulih keadaan supaya penggantungan sijil halal kami dapat dimansuhkan secepat mungkin.

''Kami mengambil perkara ini sebagai serius agar pelanggan-pelanggan kami serta pengguna Islam mendapat bekalan produk ayam halal yang tidak mencurigakan dari kilang GA," katanya.

Sementara itu, Wan Mohamad turut menyarankan agar GA menyampaikan permohonan maaf secara rasmi kepada persatuan wartawan seperti Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM).

''Kita berterima kasih kerana GA membuat permohonan maaf, selepas ini bolehlah uruskan dengan persatuan-persatuan wartawan kerana insiden 'mengurung' itu melibatkan ahli-ahli mereka," katanya.

Beliau menyatakan, Jakim akan memberikan kerjasama kepada media jika mereka ingin menyertai mana-mana operasi yang dijalankan oleh agensi itu.

''Namun bukan polisi kita bahawa setiap operasi kita jemput media.

''Cuma pergerakan kita begitu cepat dihidu oleh media dan kita tidak halang untuk mereka mendapatkan maklumat bersama kita," katanya.

Malah sebenarnya, kata beliau, banyak operasi Jakim telah dilaksanakan tanpa kehadiran media.

''Kami hargai media kerana berdasarkan penelitian, didapati liputan yang dibuat adalah adil kepada semua pihak termasuk pengguna dan pengilang," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.