saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 23/03/2010

Sebutan Syariah tidak mengaibkan


Izelan Basar diapit oleh Wan Kamarudin Wan Ibrahim (kanan) dan Abu Talib Husin pada sidang akhbar Sebutan Syariah musim kelima di Restoran Puteri, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


SEBUTAN Syariah merupakan antara rancangan berkonsepkan agama berkisar tentang kes-kes di Mahkamah Syariah yang mendapat sambutan hangat daripada para penonton di saluran televisyen Astro Oasis (Saluran Astro 106) sejak ia disiarkan empat musim yang lalu.

Ekoran sambutan hebat itu, rancangan terbitan One-to-One View Sdn. Bhd., akan menemui para penonton untuk musim kelima pada setiap Jumaat pukul 7.30 malam mulai 26 Mac ini sebanyak 13 episod.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sambutan itu kerana Sebutan Syariah banyak memaparkan kes-kes yang hangat membabitkan faraid, hadhanah, muta'ah, perceraian, edah dan jenayah syariah yang dibicarakan di mahkamah-mahkamah syariah di negara ini.

Meskipun memaparkan kes-kes syariah yang menjadi perhatian masyarakat, tetapi rancangan dengan durasi 30 minit pada setiap episod itu katanya, sentiasa menjaga air muka plaintif serta defedan yang ditampilkan dan ia juga bukan bertujuan untuk mengaibkan mereka.

"Tujuan rancangan ini diterbitkan bukan untuk mengaibkan sesiapa terutamanya defendan mahupun plaintif yang dipaparkan. Sebaliknya, ia bertujuan untuk dijadikan iktibar kepada para penonton. Contohnya, dalam kes-kes tertentu kami tidak dedahkan identiti mereka.

"Pada masa sama, rancangan ini boleh dijadikan sebagai sumber ilmu pengetahuan dalam Islam terutamanya yang berkaitan dengan ilmu syariah," katanya ketika ditemui Hits pada sidang akhbar pelancaran Sebutan Syariah musim kelima di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kredibiliti rancangan yang diacarakan oleh Abu Talib Husin itu lebih meyakinkan apabila ia mendapat kerjasama daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Persatuan Peguam Syarie, Persatuan Peguam Islam Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Menurut Izelan, kes-kes yang diambil dari mahkamah-mahkamah syariah di seluruh negara itu banyak menampilkan kes yang pelik di mana ramai yang mungkin tidak mengetahuinya secara lebih mendalam.

"Contohnya, Sebutan Syariah musim kelima membuat liputan kes menuduh orang yang dikemukakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mungkin ramai yang tidak tahu akan adanya hukum atau kesalahan yang membabitkan pertuduhan ke atas orang lain.

"Begitu juga dengan kes tuntutan anak atau nafkah isteri selepas diceraikan. Rancangan ini akan mengupas lebih lanjut isu yang berkaitan dengan mendapatkan pandangan daripada pakar dalam bidang tersebut," ujarnya.

Selain memaparkan kes-kes yang dibicarakan di mahkamah, Sebutan Syariah juga menyediakan segmen Aduan Syariah yang membolehkan para penonton meluahkan masalah yang dihadapi menerusi rancangan ini.

Para penonton yang memaparkan masalah berkaitan kes-kes syariah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel rancangan itu juga semakin ramai, sekali gus membuktikan ia mendapat sambutan para penonton.

"Jumlah aduan yang kami terima itu secara tidak langsung menggambarkan bahawa kes-kes syariah memerlukan perhatian semua pihak dan ia semakin membimbangkan. Kebanyakkan aduan yang kami terima adalah daripada penonton wanita.

"Mungkin dalam kes syariah pihak lelaki jarang tampil ke depan kerana malu dan sebagainya. Perkara itu tidak menghairankan kerana 70 peratus daripada penonton Astro Oasis adalah wanita," jelasnya.

Penerbit Sebutan Syariah, Wan Kamarudin Wan Ibrahim juga tidak menafikan rancangan itu bertambah menarik apabila ia memaparkan kes-kes syariah yang jarang-jarang berlaku dalam masyarakat di negara ini.

Bukan berniat mensensasikan kes-kes syariah, sebaliknya beliau mengambil kesempatan itu ekoran tiada satu pun program berkonsepkan sedemikian yang disiarkan menerusi stesen-stesen televisyen di negara ini.

"Saya boleh katakan bahawa rancangan ini seperti sebuah program realiti televisyen yang menggunakan kes-kes syariah sebagai intipati paparan di dalamnya. Ia bukan untuk tontonan semata-mata tetapi para penonton juga boleh jadikannya sebagai pengajaran.

"Bagi saya, Sebutan Syariah mendapat sambutan hangat daripada para penonton kerana banyak kes yang kami paparkan jarang berlaku. Misalnya, kes seorang isteri di Kelantan didapati mempunyai dua orang suami pada suatu masa. Kes-kes seperti inilah yang membuatkan orang mahu tonton rancangan ini," komennya.

Sementara itu, pengacara Sebutan Syariah musim ke-5, Abu Talib Husin menyifatkan rancangan yang diacarakannya itu bukan sahaja mampu menarik perhatian para penonton, malah dia juga mendapat banyak pengetahuan baru sepanjang mengacarakannya.

Bekas pembaca berita TV9 dan pengacara program realiti televisyen, Akademi al-Quran ini berkata, Sebutan Syariah merupakan suatu pengalaman baru buat dirinya sejak menceburkan diri dalam bidang penyiaran dua tahun lalu.

"Sebelum ini saya menjadi wartawan penyiaran dan membaca berita di TV9 serta menjadi pengacara Akademi al-Quran, kini mengacarakan rancangan berkaitan kes-kes syariah di mana ketiga-tiganya berbeza.

"Ini adalah peluang terbaik untuk saya belajar pengalaman-pengalaman baru dalam bidang pengacaraan. Ia juga banyak memberi kepuasan selain meluaskan pengalaman saya dalam bidang ini. Pada masa sama, saya juga semakin banyak belajar ilmu tentang syariah," kata bapa kepada dua anak ini.

Para penonton boleh mengemukakan aduan berkaitan masalah syariah menerusi Talian Aduan Syariah di talian 017-8188121 atau mengirim emel ke [email protected]

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.