saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 24/03/2010

Kempen Kami Prihatin: Bapa sumbang 2 rumah


S. Karigalan ketika di pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. utusan/Azrul Edham Mohd. Aminuddin


KUALA LUMPUR 23 Mac - Seorang bapa yang kehilangan anak lelaki kesayangannya berusia 18 bulan akibat didera awal bulan ini, terpanggil menyokong kempen Kami Prihatin yang dipelopori akhbar Utusan Malaysia.

Malah kesedihan S. Karigalan, 42, ekoran kehilangan anaknya, Harreswaral mendorong dirinya menyumbangkan dua rumahnya dijadikan pusat perlindungan kanak-kanak terbiar.

Dua hartanah miliknya itu yang kini disewakan terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Karigalan yang juga penerbit filem bebas, dia berbuat demikian kerana tidak sanggup melihat gejala penderaan kanak-kanak dan buang bayi.

Katanya, apatah lagi dirinya yang baru 19 hari kehilangan anak kesayangannya akibat penderaan.

"Berikutan kejadian menimpa Harreswaral, saya sedar betapa kanak-kanak terdedah kepada risiko penganiayaan dan perbuatan tidak berperikemanusiaan.

"Bagi saya, kesenangan tiada erti lagi kerana telah kehilangan anak... Walau senang pun, saya tidak mampu selamatkan nyawa Harreswaral," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Karigalan, dia berharap ada pihak benar-benar ikhlas akan tampil untuk membantu dirinya merealisasikan impian tersebut.

"Saya tidak dapat melakukannya berseorangan dan berharap pihak berwajib, menyertai saya dalam usaha ini," katanya yang memiliki empat buah apartmen dan sebuah rumah kedai hasil usaha gigihnya.

Beliau berkata, sekiranya mendapat kerjasama semua pihak, dia juga bersedia membuat satu dokumentari khas berhubung kes penderaan kanak-kanak.

Sementara itu, Karigalan berpendapat kerajaan perlu melakukan pemeriksaan dengan terperinci terhadap keluarga yang bercadang mendapatkan anak angkat.

"Kerajaan kena memastikan sesebuah keluarga atau pasangan suami isteri itu mempunyai kriteria atau kelayakan tertentu, terutamanya dari aspek kewangan.

"Selepas itu, pihak berkuasa juga perlu memantau dari semasa ke semasa perkembangan hidup kanak-kanak tersebut," katanya.

Karigalan memberitahu, dia sendiri berpengalaman menjaga dua anak angkat dengan seorang daripadanya sudah bekerja dan berumah tangga manakala seorang lagi diserahkan semula kepada ibu kandungnya.

Menurutnya, Loo Ken Seng, 26, dan Preem Sheeren, 13, itu, diambil sebagai anak angkat sejak mereka berusia tujuh tahun.

"Salah seorang ditinggalkan ibu bapanya kerana dianggap membawa malang kepada keluarga sementara seorang lagi ibunya meminta bantuan saya.

"Ken Seng mengikut kami sehingga usia 18 tahun dan Preem pula dipulangkan kepada ibunya baru-baru ini selepas dia mampu menjaganya semula," ceritanya.

Sementara itu, mengenai isu pembuangan bayi, Karigalan menyarankan semua hospital supaya merekodkan butiran lengkap ibu bapa kandung bayi tersebut.

Menurutnya, langkah itu penting untuk memudahkan pihak berkuasa mengesan semula ibu bapa atau pasangan tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku kes pembuangan bayi.

"Sekiranya boleh, simpan sekali gambar pasangan, ia boleh menyebabkan mereka berfikir dua kali sebelum melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu," katanya.

Harreswaral mati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), 4 Mac lalu akibat kecederaan serius di seluruh badan.

Antara kecederaan yang dialaminya ialah patah enam tulang rusuk, cedera parah di bahagian kepala, luka di kemaluan akibat dicekak dengan kuat serta pecah hati.

Pada 15 Mac lalu, tertuduh, M. Rajamorgan, 33, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan perbicaraan masih berjalan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.