saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 26/03/2010

Tidak pernah menyesal


Hitler Zami (duduk) bersama beberapa pelakon drama Alang Jinggaro di set penggambaran di Hulu Langat, Selangor.


SELESA sangat... dan tidak ada ruang penyesalan". Itulah pengakuan ringkas pengarah filem dan drama, Mohd. Hitler Zami mengenai nama unik pemberian bapanya yang juga seorang aktor veteran popular, Zami Ismail.

Pun begitu, kini nama itu hanya tertera pada surat beranak dan tidak dipanjangkan ke kad pengenalan.

Ini kerana pada usia 12 tahun, nama Mohd. Hitler itu telah ditukarkan kepada Mohd. Latiff. Nama asal pemberian arwah datuknya, sewaktu dilahirkan kira-kira 38 tahun lalu.

Biarpun ada yang mengatakan pelik, nama Hitler tetap digunakan semasa mula terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir sebagai krew penerbitan dan editor drama pada tahun 1986. Ketika itu dia kembali menggunakan nama [email protected]

"Tetapi nama Hitler Zami saya gunakan sepenuhnya sebaik mula bergelar pengarah iaitu pada 1996. Alhamdulillah, nama itu kekal sehingga ke hari ini dan bertekad untuk menggunakannya sampai bila-bila," tegas Hitler yang ditemui di lokasi penggambaran drama komedi, Alang Jinggaro yang dibuat di Hulu Langat, Selangor, Selasa lalu.

Kata Mohd. Hitler atau lebih mesra membahasakan dirinya Yeop iaitu gelaran bagi anak sulung, memang tidak nafikan bebanan dan tekanan yang terpaksa ditanggung sepanjang membawakan nama itu, terutamanya ketika di sekolah rendah.

"Seingat Yeop masa itu berada di darjah tiga. Ditambah pula pada masa itu Yeop tidak mengenali lagi siapa sebenarnya gerangan yang bernama Adolf Hitler itu. Pernah dalam subjek sejarah, nama Adolf Hitler ada disebutkan oleh guru. Makin menjadi ejekan dan ajukan kawan-kawan.

"Pada masa itu, macam-macam perasaan bermain dalam jiwa. Malu, geram, marah semua ada. Cuma Tuhan sahaja tahu bebanan dalaman yang terpaksa ditanggung. Ada juga dalam marah-marah tu Yeop tanyakan abah," ceritanya berkongsi pengalaman.

Namun kata Hitler, respon berbeza pula diterima daripada guru-guru. Hal itu sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya kepada dirinya, sehingga membawa kepada satu pencarian.

" Saya masih ingat kata-kata salah seorang guru, suatu ketika kamu jadilah somebody tetapi janganlah seperti perangainya.

"Saya balik rumah dan terus meluru kepada deretan buku-buku abah yang memang kemas tersusun di raknya. Saya capai koleksi buku-buku tentang dunia Adolf Hitler dan mula membelek helaian demi helaian. Saya benar-benar ingin tahu siapa sebenarnya Hitler.

"Setelah membaca sebahagian daripada buku itu, saya menyedari sebenarnya abah mempunyai pandangan jauh dan harapan menggunung ke atas setiap anaknya. Lebih-lebih lagi saya anak sulung," akui Hitler yang sejak itu bersikap terbuka dan mula menerima namanya walaupun tidak sepenuhnya.

Menurut Hitler lagi, di sekolah menengah, dia menggunakan nama baru iaitu Mohd. Latiff.

Nama baru itu kata Hitler, membawa persepsi dan suasana yang berbeza. Malah ia banyak berkaitan dengan semangat dalam dirinya.

"Di sekolah menengah, bila mengguna nama biasa terasa seolah-olah jiwa ini kosong. Tidak ada satu bentuk glamor di situ atau hilang nilai keunikan secara total.

"Ia menjadikan diri Yeop seperti orang biasa tiada sesuatu yang membezakan daripada orang lain. Hanya dikenali sebagai seorang anak artis dan tidak ada karisma individu tersendiri.

"Tetapi bila Yeop guna semula, terasa keunikan dalam diri dan semacam satu semangat hadir dalam diri. Yang paling bermakna, kehidupan yang dilalui mula ada misi, terutamanya dalam industri yang Yeop ceburi sekarang ini," katanya.

Malah katanya, titik-tolak yang membawa kepada penggunaan semula nama Hitler tercetus dalam satu insiden dalam salah satu buku koleksi bapanya.

"Yeop ada terjumpa sebuah sajak nukilan abah buat anak-anaknya. Abah memang penulis yang hebat. Sajak itu dihasilkan pada tahun 1982. Antara bait-bait sajaknya yang masih Yeop ingat berbunyi: Hitler kamu berada di gunung emas, jikalau kamu korek dalam-dalam...

"Baris bait itu begitu terkesan dan menyentuh jiwa ini. Apa yang dapat Yeop fahami adalah harus bekerja keras dan perlu untuk saya terus gunakan nama Hitler," katanya.

Menjelas lanjut kata Hitler, keyakinan ini dilihat daripada sudut semangat nama itu serta hajat bapanya yang mahu dia menjadi 'sesuatu' di dalam kumpulannya. Alhamdulillah, apabila kekal dengan nama ini, ia secara tidak langsung menjadikan dirinya unik daripada orang lain.

Malah jika dilihat dengan kerjaya yang dilakukan sekarang, dia bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan dan dokongan ramai penggiat seni.

Kata anak sulung daripada sembilan adik-beradik itu lagi, selain dirinya memiliki nama unik dan pelik, adik keduanya juga tidak terkecuali iaitu, Ahmad Yamashita @ Tahar. Namun nama-nama itu terhenti setakat itu sahaja.

Menjawab kenapa tidak kepada adik ketiga dan seterusnya terang Hitler, semasa kelahiran adik ketiga, datuknya kembali ke rahmatullah. Jadi secara tidak langsung, sampai di situ sahajalah pemberontakan bapanya kepada datuknya.

"Abah seorang penggiat seni/teater yang terpaksa memendam keinginannya dalam dunia ini kerana halangan keluarga. Oleh itu, dia berkarya seni menerusi nama anak-anaknya.

"Saya rasa ini bukan soal menjadi mangsa keadaan. Kalau hendak dikira kami ini menjadi mangsa, sudah tentu namanya lebih teruk dan buruk maknanya. Sekurang-kurangnya nama yang diberi menjadi satu inisiatif kepada saya untuk terus mengejar apa yang dihajatkan itu.

"Yeop lebih suka mengambil dari sudut positif nama tersebut. Contoh Hitler, di zamannya dia ingin menakluk dengan caranya iaitu menerusi kekejaman. Ini mungkin kerana situasi pada zaman itu begitu. Namun bagi Yeop, mengguna pakai semangat namanya cuma dalam suasana yang berbeza iaitu dalam perfileman. Yeop mungkin tidaklah kejam seperti mengambil nyawa seseorang sesuka hati tetapi mungkin 'kejam' dari segi penaklukan ilmu," katanya.

Berkongsi pengalaman sepanjang menggunakan nama Hitler dalam dunia kerjayanya, ceritanya, suatu ketika pernah ke Thailand atas urusan kerja. Ketika sampai di lapangan terbang, orang yang menjemputnya di lapangan terbang menulis namanya dan kemudian dipamerkan. Oleh kerana ramai orang di situ, timbul rasa malu dan serba salah dan akhirnya menunggu sehingga suasana lengang, barulah dia menuju ke lelaki tersebut.

Selain itu, dia juga pernah menerima cek menggunakan nama Hitler sedangkan nama yang tertera di Mykad ialah Mohd. Latiff Zami. Bagi melancarkan urusan, dia terpaksa menunjukkan surat beranak kepada pihak bank sebagai bukti.

Adolf Hitler adalah seorang perancang yang pintar, pemidato yang hebat dan seorang tokoh politik yang menjadi idola di Jerman antara akhir 1920-an dan 1940-an.

Namun mungkin ramai yang belum mengetahui bahawa Adolf Hitler seorang yang berbakat seni. Sewaktu di sekolah rendah beliau menunjukkan bakatnya dalam bidang lukisan, nyanyian dan menyertai kumpulan koir kerana memiliki suara yang merdu. Di samping itu, beliau amat meminati seni reka bangunan dan mampu melakarkan semula sebuah bangunan hanya dengan menggunakan ingatannya.

Meminati dunia seni... Mungkin ini aura persamaan dua insan yang memiliki nama Hitler.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.