saya nak baca ..

TIMUR


ARKIB : 27/03/2010

Pemanis warisan istana


Kak Mun menunjukkan puding raja hasil masakannya yang dikatakan mempunyai keistimewaan pada kepekatan kuahnya. – utusan/RUSHDI SALLEH


KUANTAN 26 Mac – Jika rakyat Kelantan boleh berbangga dengan kuih tradisi istananya seperti jala emas, kuih piana dan tahi itik, Pahang juga mempunyai hidangan istana warisannya tersendiri iaitu puding raja.

Ini kerana puding raja merupakan antara puluhan kuih tradisi Pahang yang mendapat tempat di kalangan pelbagai lapisan masyarakat negeri ini, lebih-lebih lagi ia dijadikan sebagai pemanis mulut.

Oleh kerana ‘tempat lahir’ puding raja ialah di Pekan, tidak hairanlah jika ia begitu popular di kalangan masyarakat daerah itu.

Sejajar dengan namanya, puding raja dikatakan amat digemari oleh golongan istana dan sering dijadikan hidangan istimewa untuk santapan diraja.

Dahulunya, puding raja dihidangkan pada majlis-majlis rasmi istana tetapi kini, semua lapisan masyarakat boleh menikmati sajian tersebut pada bila-bila masa.

Bagi seorang pengusaha puding raja, Maimun Ismail, 61, atau lebih dikenali dengan nama Kak Mun, dia telah menjalankan perniagaan membuat kuih warisan itu sejak 15 tahun lalu.

“Pada mulanya, saya membuat puding ini hanya untuk hidangan keluarga tetapi lama-kelamaan saya cuba untuk memasarkannya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Kak Mun, antara bahan-bahan asas yang digunakan untuk membuat puding raja ialah pisang lemak manis, buah prun, buah ceri dan gajus manakala kuning telur dihias di atas puding tersebut untuk dijadikan jala emas bagi kelihatan lebih menarik.

‘‘Seelok-eloknya kita hendaklah menggunakan pisang lemak manis kerana rasanya lebih lemak berbanding pisang lain,” jelasnya.

Bagaimanapun, ujarnya, bekalan pisang lemak manis agak sukar diperoleh kerana ia hanya terdapat di sesetengah kawasan di Pekan dan harganya agak mahal berbanding pisang lain.

Selain itu, katanya, keistimewaan puding raja yang diusahakannya terletak pada kepekatan kuahnya.

Kak Mun amat menitikberatkan dari segi kualiti kerana kepuasan hati pelanggan harus diutamakan.

Selain menjadi pelengkap menu kata pengusaha katering itu, puding raja juga dijadikan pencuci mulut terutama melibatkan istana, majlis rasmi kerajaan dan swasta.

“Pada musim-musim tertentu seperti majlis berbuka puasa dan Hari Raya Aidilfitri, boleh dikatakan tak menang tangan dibuatnya kerana ramai pelanggan membuat tempahan,” katanya.

Bagi melancarkan perjalanan tempahan pelanggan, Kak Mun dibantu ahli keluarganya dan mengupah beberapa pekerja.

Selain puding raja, Kak Mun juga menyediakan kuih tradisional Pahang yang lain yang tidak kurang hebatnya seperti dodol telur, apam baghdad, tonjit dan tahi itik atau dikenali sebagai telur belangkas.

Mengenai pasaran, Kak Mun berkata, puding rajanya bukan sahaja mendapat permintaan tempatan seperti dari Perak, Pulau Pinang dan Putrajaya, malah turut menerima tempahan dari Singapura.

Menurutnya, tempahan yang dibuat adalah mengikut saiz bekas dengan harga serendah RM5 sehingga RM40 bergantung kepada permintaan pelanggan.

Tambahnya, keunikan dan keenakan rasa puding raja buatannya turut diakui oleh pelanggan.

Seorang penggemar, Roslinda Yaakob, 33, berkata, selain kepelbagaian bahannya, rasanya juga lain daripada yang lain.

Dia yang menetap di Kuala Lumpur berkata, setiap kali balik ke Kuantan, dia akan menempah puding raja Kak Mun dengan harga RM40 untuk dibawa pulang.

‘‘Biasanya saya akan menempah dalam jumlah yang banyak kerana rakan-rakan saya di Kuala Lumpur juga menggemari puding raja ini dan sering memesan kepada saya,” katanya.

Bagi ahli perniagaan, Shidi Peer Bux, 38, pisang lemak manis yang digunakan membuatkan puding raja itu menjadi lebih enak dan istimewa.

Selain menjadikan kuahnya pekat, katanya, banyak bahan terkandung dalam puding raja itu.

‘‘Biasanya saya akan dapat menikmati puding raja ini apabila menghadiri majlis-majlis keraian. Kalau tidak, susah juga hendak mendapatkan puding raja ini,” ujarnya.

Seorang pengusaha restoran, Rohisan Yaakob, 36, berkata, dia sebelum ini, pernah mencuba beberapa resipi puding raja yang lain tetapi rasanya berbeza dengan ‘air tangan’ Kak Mun.

Menurutnya, selain Pahang, puding raja juga boleh ditemui di negeri-negeri lain tetapi rasanya berbeza mengikut kreativiti seseorang itu untuk menghasilkannya.

Bagi penduduk di sini, mereka boleh menikmati puding raja Kak Mun di Jelita Cafe, Akon Patin House atau boleh terus menghubung Kak Mun di talian 09-5675795.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.