saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 30/03/2010

Perkasakan rumah perlindungan wanita


Anak-anak memerlukan belaian kasih sayang dan didikan yang sempurna dalam usaha melahirkan umat yang berkualiti. - Gambar hiasan


Mega:Di samping menghukum, apa pendekatan terbaik membawa ibu berkenaan agar kembali ke pangkal jalan?
DR. HUZAIMAH: Kalau kita kembali kepada sejarah di zaman jahiliah, kes-kes buang bayi ini bukanlah baru. Cuma, keadaannya kini berbeza.

Dulu, hanya bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup sebab ia mendatangkan malu kepada keluarga. Kini, orang tidak kisah jantina.

Semuanya berpunca daripada desakan hawa nafsu yang hebat. Sepatutnya, kita mengambil iktibar daripada sejarah. Namun, nampaknya segelintir masyarakat masih tidak belajar apa-apa daripada kisah zaman jahiliah dulu.

Memang kita tidak boleh membiarkan ibu atau gadis yang terlibat begitu sahaja tanpa bimbingan. Mereka ini hendaklah dipulihkan semula dengan pelajaran agama lebih-lebih lagi bagi golongan Muslim.

Sebabnya, tidak ada agama yang mengajar umatnya melakukan kemusnahan, menjatuhkan maruah dan sebagainya.

Aspek paling utama adalah menerapkan pendidikan sepanjang hayat. Sebabnya, manusia sentiasa lupa dan perlu diingatkan. Kalau tidak ada nilai agama maka hawa nafsu akan menguasai kita.

Konsep ini pula perlu dijuruskan kepada mendidik supaya segala ilmu yang dipelajari itu dapat dihayati seterusnya diamalkan.

Jika ingin hidup harmoni dan membendung gejala sosial, semua pihak perlu bertanggungjawab. Lebih-lebih lagi kerajaan.

Ini sebagai mana hadis Nabi SAW: Barang siapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Kalau tidak sanggup, maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sistem pendidikan kita perlu mempunyai kesepaduan ilmu supaya masyarakat terdidik dengan nilai-nilai agama. Belajarlah apa sahaja termasuk sains, sejarah dan geografi sekali pun tetapi jangan dipinggirkan agama.

Rasulullah SAW ada bersabda, "insan yang berkualiti itu ialah insan yang berilmu".

Kita perlu mengkaji bagaimana Rasulullah berjaya mendidik para sahabat menjadi orang yang berilmu dalam pelbagai disiplin pada zaman jahiliah.

Barangkali sukar mendidik gadis yang terlanjur ini tanpa mereka diletakkan di tempat pemulihan khas. Adakah ini dapat membantu memulihkan mereka?

DR. HUZAIMAH: Saya yakin tindakan sedemikian dapat membantu memulihkan mereka. Syaratnya, ia ada mekanisme yang sesuai.

Pemulihan mesti dikaitkan dengan elemen agama. Sesi kaunseling pula perlu dilakukan oleh mereka yang pakar.

Jiwa manusia ini mahu kepada keriangan, keselamatan, motivasi dan sebagainya. Jadi dalam pemulihan itu, hendaklah ada modul khusus dan mengambil kira semua aspek yang disebutkan tadi. Pendek kata, soal Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) yang menggembirakan perlu diberi perhatian.

Jangan pula kita ambil mereka dan biarkan begitu sahaja. Pemantauan secara tetap perlu untuk memastikan keberkesanan program pemulihan.

Mungkin mereka juga perlu diberi kursus-kursus kemahiran agar apabila keluar nanti mempunyai keyakinan dan punca rezeki apabila berhadapan dengan masyarakat kelak. Ini kerana, biasanya yang masuk ke pusat-pusat pemulihan itu sukar memulihkan keyakinan diri.

Kata orang, naluri keibuan itu amat kuat. Tetapi bagaimana pula gadis-gadis ini sanggup membuang bayi?

DR. HUZAIMAH: Apabila mengandung luar nikah, tidak wujud naluri keibuan sebagaimana pasangan yang menimang cahaya mata melalui pernikahan dan alam perkahwinan.

Sebab itu, mereka sanggup membuang bayi atau meninggalkannya di merata tempat. Bagi ibu yang normal yang melalui ikatan perkahwinan, pastinya kelahiran bayi itu memberi kepuasan dan kegembiraan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Maksiat berlaku apabila kita tidak beriman. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW: Tidak ada penzina yang di saat berzina dalam keadaan beriman. Tidak ada pencuri yang di saat mencuri dalam keadaan beriman. Begitu pula tidak ada peminum arak di saat meminum dalam keadaan beriman. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Jangan kita terpengaruh sehingga tewas kepada hawa nafsu kerana sememangnya tiga 'ta' iaitu wanita, takhta dan harta bisa mencairkan iman seseorang.

Kehidupan di dunia ini juga adalah sebagai cubaan Allah kepada kita untuk menentukan tahap keimanan seseorang kepada-Nya. Ia sebagai mana firman Allah: Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya. (al-Kahfi: 7)

Oleh sebab itu, janganlah kita diperdayakan oleh syaitan yang memang musuh kita yang nyata. Ingatlah firman Allah: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya), sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka. (Faatir: 6).

Islam menyuruh umatnya memelihara dan mempertahankan maqasid syariah di mana antaranya adalah memelihara nyawa. Jika ini diambil kira, adakah kita patut menyediakan pusat-pusat khas untuk menerima bayi-bayi yang tidak berdosa ini?

DR. HUZAIMAH: Memang Islam menyuruh kita menjaga lima perkara itu yang disebut sebagai maqasid syariah iaitu menjaga agama, akal, nyawa, harta dan keturunan (maruah).

Memang kita sudah ada pusat-pusat khas untuk golongan begini. Cuma, saya melihat kalau ditambah lagi bilangannya, seolah-olah kita menggalakkan lagi perzinaan.

Di Selangor misalnya, sudah ada Pusat Pemulihan Akidah, Baitul Iman dan Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan. Kedua-duanya di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Baitul Ehsan ini memberi perlindungan dan membantu memulihkan wanita yang bermasalah seperti gadis terlanjur, mangsa rogol dan sumbang mahram, wanita teraniaya, mangsa penderaan, masalah akhlak dan kes-kes lain.

Selain yang di bawah MAIS, kita juga ada pusat pemulihan atau rumah perlindungan yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Program pemulihan

Justeru, apa yang perlu dilakukan adalah memantapkan kurikulum di pusat-pusat ini agar ia benar-benar mampu mendidik golongan terlibat kembali ke pangkal jalan.

Mantapkan program-program agama sebabnya ada di antara mereka yang terlanjur itu tidak mempunyai pendidikan asas tentang Islam.

Jika keadaan semakin parah, mungkin anak-anak itu perlu dibela dan diberi pendidikan terbaik supaya masa depan mereka lebih terjamin.

Negara kita pun membenarkan pengambilan anak angkat terutama kepada pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak. Mungkin mekanisme ini sedikit sebanyak dapat membantu daripada berleluasanya gejala buang bayi ini.

Bagaimana memastikan insiden seperti mengandung luar nikah ini tidak sampai membawa mereka murtad?

DR. HUZAIMAH: Kemungkinan ini tidak boleh kita ketepikan begitu sahaja. Sebabnya, gadis yang terlanjur tadi sudah rasa malu dan hilang punca.

Dalam hal ini, program pemulihan amat penting. Jadikan membaca al-Quran dan hadis sebagai amalan, insya-Allah akan timbul kesedaran. Demikian juga, cuba amal qiamullail dan berdoa memohon bantuan serta petunjuk daripada Allah.

Sahabat Nabi SAW, Ibnu Mas'ud pernah ditanya oleh seorang lelaki bagaimana mahu membina berkata, antara cara membina kecintaan dan kasih kepada Allah adalah melalui menghadiri majlis-majlis ilmu, jika tidak mampu hendaklah membaca al-Quran dan qiamullail di samping menunaikan solat fardu.

Tidak lama kemudian, lelaki berkenaan menemui Ibnu Mas'ud dan mengakui telah berjaya melakukannya.

Ahli politik juga berperanan penting dalam hal ini. Justeru, mereka perlu mengetepikan perbezaan ideologi dan fahaman politik dalam membina masyarakat yang cemerlang dan berakhlak mulia.

Pada masa yang sama, semua pihak termasuk ahli agama perlu turun padang membantu membanteras gejala sosial ini. Kaedah dakwah secara tradisional di masjid dan surau perlu disemak.

Dakwah kini perlu pergi kepada golongan sasaran dan tidak boleh hanya sehala. Usaha dakwah ini pula hendaknya jangan disekat oleh mana-mana pihak kerana tujuannya adalah murni iaitu membangunkan masyarakat.

Adakah kewujudan premis-premis perniagaan yang beroperasi 24 jam turut mendorong kepada gejala sosial?

DR. HUZAIMAH: Ada kemungkinan. Di negara-negara maju, premis-premis perniagaan mereka biasanya tutup awal. Dalam keadaan itu pun, mereka menghadapi gejala sosial yang teruk.

Bayangkan tempat kita yang semakin banyak beroperasinya premis 24 jam seperti restoran. Di situ juga biasanya disediakan kemudahan melayari Internet selain skrin besar televisyen.

Bukan maksud saya menutup pintu rezeki mereka tetapi kalau di negara maju, waktu malam memberi peluang kepada institusi keluarga untuk bersama.

Kalau hendak menonton bola sepak pun, ia dilakukan bersama dengan ahli keluarga. Secara tidak langsung, ikatan kekeluargaan adalah lebih kukuh selain mengurangkan anak-anak terlibat gejala sosial.

Langkah begini dapat mengurangkan peluang-peluang melakukan maksiat di kalangan umat Islam.

Kita perlu berani bertindak jika mahu selesaikan masalah. Ia juga memerlukan pengorbanan. Jihad itu tidak semestinya perang atau mengangkat senjata sahaja. Ia juga termasuk memerangi maksiat melalui media massa dan pelbagai medium lain.

Akhirnya, mari kita hayati kata-kata Imam al-Ghazali, "Jangan tertipu dengan keheningan kubur, tetapi hakikat orang di dalam kubur yang berhempas pulas menghadapi seksaan".

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:01
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.