saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 31/03/2010

Apresiasi cara Saida, Sairah


SAIDA (kiri) dan Sairah mahu masyarakat menilai bakat mereka tanpa dibayangi Siti Nurhaliza.


UMUM melihat populariti yang dikecapi tidak lain hanyalah kerana mereka merupakan saudara kandung kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Lantas, apabila melangkah kaki ke dunia nyanyian, mahu atau tidak mereka harus membuktikan kesungguhan agar dapat lari daripada bayangan Siti Nurhaliza.

Kerana itu apabila terlahirnya album Apresiasi, baik Saida mahupun Sairah mengharapkan masyarakat dan peminat menerima bakat mereka sebaik-baiknya tanpa dibandingkan dengan Siti.

"Harapan kami cukup tinggi dengan kelahiran album Apresiasi ini kerana setidak-tidaknya ia dapat memberi gambaran jelas kepada semua pihak bahawa kami juga mempunyai bakat tersendiri.

"Tidaklah orang asyik akan berkata kami ini hanya mahu menumpang populariti Siti semata-mata.

"Kami memang akui perkara itu tidak mampu dielakkan kerana kami adik-beradik dan bernaung pula di bawah syarikat keluarga.

"Cuma, ambil sedikit masa dan nilai bakat kami sebaik-baiknya," pinta Saida penuh mengharap sewaktu ditemui di baru-baru ini.

Kerana itu apabila diajak berbicara tentang album Apresiasi, Saida tidak mampu menyembunyikan keterujaannya.

Akui Saida, memang banyak pengalaman sudah ditimba sepanjang hampir dua tahun bergelar artis sebaik sahaja melangkah keluar dari Akademi Fantasia musim keenam (AF6).

Perubahan ketara yang dapat dilihat Saida sudah semestinya kualiti vokalnya kini jika hendak dibandingkan dua tahun lalu.

Mengambil lagu Sedalamnya Cinta sebagai contoh, kata Saida ketika lagu itu dirakamkan dia baru hendak mengenali dunia nyanyian dan masih kekok tentang proses rakaman lagu.

Menerusi single kedua, Dicuri Malam, vokalnya kedengaran lebih matang. Kata Saida, semua itu berkat usaha dan tunjuk ajar mereka yang berpengalaman khususnya daripada Aidit Alfian selaku penerbit album.

"Pendengar dan peminat akan dapat mendengarkan perbezaan kualiti vokal saya menerusi dua lagu solo ini yang dimuatkan dalam album Apresiasi.

"Album ini juga sebagai tanda apresiasi saya kepada semua peminat dan penyokong selama ini," jelas pemilik nama sebenar Siti Norsaida Tarudin ini lagi yang menjadikan Siti dan Rossa sebagai rujukan dalam nyanyian.

Pada masa sama, ibu kepada empat orang cahaya mata berusia dari empat hingga 13 tahun itu juga tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa antara dunia nyanyian dan rumah tangga.

Kata wanita berbintang Sagittarius ini, dia bertuah kerana memiliki keluarga yang cukup memahami dan sentiasa memberikan sokongan padu kepadanya.

"Selalunya saya akan terlibat dengan persembahan di hujung minggu kerana secara tidak langsung saya juga boleh membawa keluarga bersama dan menghabiskan masa bersama mereka," ujar Saida yang memegang jawatan sebagai Pengurus Kewangan di Siti Nurhaliza Productions (SNP).

Jika hendak dibandingkan dengan Saida, hakikatnya Sairah lebih dahulu didedahkan dengan dunia seni kerana zaman kanak-kanak dan sebahagian besar kehidupan remajanya sering bersama Siti ketika persembahan.

pelbagai program

Apatah lagi, dia juga tidak betah duduk diam untuk mencuba bakatnya dalam pelbagai program realiti sehinggalah nasib berpihak kepadanya pada tahun 2006 apabila menyertai uji bakat One In A Million musim pertama.

Biarpun tidak tersenarai sebagai 12 peserta terbaik, tetapi bagi Sairah dia tetap tidak berputus asa dalam mencapai impiannya sebagai seorang penyanyi.

Bersama-sama Saida, dia turut menjalani uji bakat AF6 dan sekali lagi nasib tidak berpihak kepadanya apabila kakaknya yang menjadi pilihan juri ketika itu.

"Lantas, apabila diberi peluang merakamkan album duo dengan Saida, saya berbesar hati kerana impian saya akhirnya terlaksana juga.

"Memang saya tahu akan ada yang berkata peluang itu saya dapat kerana saya ini adik Siti Nurhaliza.

"Tetapi, saya mahu tonjolkan bakat saya yang sebenar kepada umum dan kalau boleh, biarlah saya berdiri dengan bakat saya sendiri tanpa bergantung kepada populariti Siti.

"Bukan itu sahaja, kelahiran Apresiasi bagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah lelah memberi peluang kepada saya," kata Sairah atau nama sebenarnya, Siti Nursairah panjang lebar.

Sairah yang dilahirkan pada 15 Mei 1983 bersyukur kerana single pertamanya, Hero Wayang telah mendapat respon positif daripada masyarakat yang akhirnya dapat menilai bakatnya yang sebenar.

Kini, dia sudah bersedia dengan single kedua, Akhir Cinta yang menonjolkan sisi lain dalam menyampaikan lagu ciptaan Sharon Paul manakala lirik pula oleh PSNN.

"Memang sedikit berbeza dengan lagu Hero Wayang di mana lagunya merupakan dance music yang disuntik dengan elemen hip hop.

"Tetapi, Akhir Cinta menonjolkan bakat saya dalam menyampaikan lagu balada yang berpaksikan muzik rock yang saya kira agak mencabar juga untuk merakamkannya," ujarnya yang benar-benar serius mahu menjadikan nyanyian sebagai karier.

Album Apresiasi turut memperlihatkan Saida dan Sairah bergabung vokal menerusi lagu Tinta Bukan Luka yang dicipta oleh Alim manakala lirik nukilan AD Samad.

Istimewanya album terbitan SNP ini apabila ia memuatkan sebuah lagu khas, Kini Dikau Jauh yang ditujukan khas buat ayahanda tercinta, Allahyarham Tarudin Ismail yang meninggal dunia 15 Februari tahun lalu.

Menerusi lagu ciptaan Aidit dan AD Samad itu, Saida dan Sairah berpadu suara bersama-sama tiga lagi adik beradik mereka iaitu Ayie, Ali dan juga Siti Nurhaliza.

Album Apresiasi yang diedarkan Suria Records itu sudah pun berada di pasaran sejak sebulan yang lalu dan dijual dengan harga RM19.90.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.