saya nak baca ..

MUKA HADAPAN


ARKIB : 01/04/2010

Guna pengangkutan awam - PM


Najib Tun Razak meninjau salah sebuah gerabak Tren4-Gerabak 1Malaysia RapidKL semasa pelancaran kereta api tersebut di Depot RapidKL di Subang Jaya, Selangor, semalam. Turut mengiringi beliau Ong Tee Keat, Idrose Mohamed (kiri) dan Izzudin Dali (dua dari kanan). - UTUSAN/Mohd Naim Aziz


KUALA LUMPUR 31 Mac - Kerajaan hari ini melahirkan komitmennya untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang mampu memenuhi keperluan rakyat dalam usaha menjadikannya sebagai pilihan utama masyarakat khususnya penduduk ibu kota.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa sama pihak kerajaan juga akan berusaha mengubah cara pemikiran rakyat serta persepsi bahawa pengangkutan awam hanya untuk golongan berpendapatan rendah atau golongan bawahan.

Beliau yakin dengan tumpuan yang diberikan kepada dua perkara tersebut, ia mampu membantu kerajaan mencapai sasaran jumlah pengguna pengangkutan awam daripada 16 peratus ketika ini kepada 25 peratus menjelang 2012.

"Hakikatnya usaha ke arah menjayakan peningkatan penggunaan pengangkutan awam ini menuntut anjakan minda secara ketara di kalangan pengguna. Paling utama keperluan mengubah persepsi bahawa pengangkutan awam hanya untuk golongan berpendapatan rendah.

"Saya kadang-kadang tersenyum sendiri mengenangkan ada pihak yang tidak bermasalah untuk menggunakan pengangkutan awam bila berada di luar negara tetapi apabila berada di negara sendiri tidak sanggup menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) atau bas kerana menganggap ia kurang glamor,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Tren4-Gerabak 1Malaysia RapidKL untuk laluan Kelana Jaya di Depot Rapid KL di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, Pengerusi Prasarana Negara Berhad, Tan Sri Izzuddin Dali dan Pengarah Urusan, Kumpulan Prasarana Negara Berhad, Datuk Idrose Mohamed.

Najib berkata, antara kaedah berkesan untuk mengubah persepsi tersebut adalah melalui kenyataan serta sebaran umum secara berkala supaya rakyat sedar bahawa pengangkutan awam adalah pilihan terbaik.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan akan memberi fokus kepada empat bidang utama di dalam sektor pengangkutan awam di negara ini agar kepercayaan masyarakat terhadap kemudahan tersebut meningkat.

"Pertama, meningkatkan kebolehpercayaan dengan memberi fokus kepada ketepatan masa; kedua, meningkatkan kualiti perjalanan pengangkutan awam; ketiga, memastikan rakyat mendapat akses mudah pengangkutan awam.

''Keempat, menyediakan kapasiti pengangkutan mencukupi bagi memenuhi keperluan penumpang sedia ada dan penumpang baru,'' katanya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, beliau berkata, pertimbangan untuk membina atau memanjangkan laluan perkhidmatan LRT baru adalah mengikut keutamaan.

Beliau berkata, kerajaan tidak mampu melakukan pembinaan laluan LRT di semua tempat secara serentak walaupun ada permintaan kerana setiap laluan baru membabitkan kos yang tinggi.

"Oleh itu, kita kena pilih kawasan mana yang perlu didahulukan. Tapi kita boleh pertimbangkan,'' katanya.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang memulihkan semula projek LRT di Putrajaya, Najib berkata: "Kita tengok dahulu. Belum ada keputusan.''

Berhubung rungutan orang ramai bahawa perkhidmatan bas RapidKL tidak memuaskan terutama daripada segi ketepatan masa, Najib berkata, perkhidmatan ini akan terus dipertingkatkan dengan penambahan sebanyak 450 buah bas lagi.

''Banyak lagi bas telah ditempah dan akan diperoleh secara berperingkat dan ini akan dilaksanakan demi kepuasan pengguna," katanya.

Terdahulu, Najib diiringi Tee Keat menaiki LRT dari stesen LRT Bangsar ke depot berkenaan pada pukul 3.25 petang dan sampai kira-kira 20 minit kemudian.

''Saya telah sampai dengan selamat dan merasai satu pengalaman manis,'' katanya dalam ucapan pelancaran.

Ketika dalam tren, Perdana Menteri turut meninjau segala kemudahan dan ciri-ciri keselamatan yang terdapat dalam tren itu.

Tren4-Gerabak 1Malaysia RapidKL ini adalah versi terbaru tanpa pemandu Bombardier Transportation Advance Rapid Transit Mark II yang direka di Kanada dan dipasang di Mexico serta sebahagiannya di Malaysia.

Selain gerabak berganda, ciri-ciri tambahan yang terdapat pada gerabak ini adalah ruang khas untuk penumpang berkerusi roda yang dilengkapi tali pinggang keselamatan.

Terdapat juga lampu amaran di pintu untuk golongan kurang upaya pendengaran serta tingkap kecemasan.

Tren tersebut juga adalah mesra bagi pengguna kurang upaya.

Tren LRT 1Malaysia ini adalah interpretasi Kumpulan Prasarana dalam merealisasi sokongan terhadap gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

Ia turut memaparkan ilustrasi petugas RapidKL daripada pelbagai peringkat dan kaum.

Kongsi Konten di :

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:01
Zohor 1:23
Asar 4:27
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.