saya nak baca ..

REKREASI


ARKIB : 03/04/2010

Diganggu suara menakutkan


Para peserta di puncak Gunung Bujang Melaka.


"Macamni ke trek Bujang Melaka. Boleh tahan juga," bisik hati yang kepenatan menerjah bukit bukau sepanjang pendakian ke Kem Lebah sebaik sahaja melepasi kawasan kebun buah-buahan dan getah.

Kem Lebah adalah tapak perkhemahan yang terletak kira-kira satu jam pendakian dari puncak Gunung Bujang Melaka di Kampar, Perak. Biasanya, ia menjadi tempat pendaki melepaskan lelah sebelum mendaki ke puncak dan berpatah balik ke kem tersebut untuk bermalam.

Pilihan lain adalah mendaki ke puncak pada keesokan pagi dan berpatah balik ke Kem Lebah sebelum turun semula ke tempat mula mendaki di Air Terjun Batu Berangkai.

Melihat bentuk muka bumi yang sedemikian, terasa macam tertipu pula dengan maklumat daripada Internet yang menyatakan pendakian ke Gunung Bujang Melaka agak santai.

Memang denai yang dilalui tidak sukar pada awal pendakian sehinggalah melepasi kawasan kebun.

Pendakian awal terasa santai kerana denai yang ditempuh merupakan laluan Orang Asli dan orang kampung untuk ke kebun masing-masing.

Namun sebaik sahaja melepasi kawasan tersebut, denai yang terpampang di hadapan mata tidak lagi rata. Sebaliknya terus mencanak sehingga ke Kem Lebah.

Ketinggian cerun yang didaki adalah antara 45 darjah sehingga hampir 65 darjah yang berterusan sehingga tiba ke Kem Lebah.

"Ini bukan lagi santai…,pewai," kata seorang peserta, Rozalina Mohamadin atau Kak Gee. Pewai adalah bahasa orang gunung merujuk kepada penat melampau.

Kak Gee yang sudah lama 'gantung beg' menerima pelawaan untuk mendaki gunung yang puncaknya terletak di ketinggian 4,048 kaki (1233 meter) dari paras laut.

Seramai 11 pendaki terlibat dalam ekspedisi itu dan ia merupakan sebahagian daripada latihan kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk menakluk puncak Gunung Kinabalu pada 6 April ini.

Pendakian dimulakan dari kawasan perkelahan Air Terjun Batu Berangkai pada pukul 9.15 pagi, 20 Mac lalu.

Penunjuk arah, Mat Som dan seorang kakitangan MPSJ yang dikenali sebagai Kamal sampai dahulu di Kem Lebah pada pukul 1.50 petang, diikuti peserta lain pada pada pukul 2.39 petang.

Melihat ketinggian gunung itu, diakui ia tidaklah berapa tinggi berbanding gunung-gunung lain yang biasa didaki oleh peminat aktiviti lasak itu.

Namun, ia tidak semudah yang disangka.

Denai yang rata di sepanjang kebun buah-buahan bertukar menjadi laluan yang dipenuhi dengan akar berselirat, tanah runtuh, pokok tumbang dan laluan celah batu yang memaksa pendaki melakukan aksi rock climbing.

"Ehhh… tak boleh lepas ni. Tak ada tempat nak pegang. Beg berat ni macam 'menarik' aku ke belakang. Silap haribulan, terlentang aku dibuatnya," kata Aznan Ramli ketika mahu melepasi laluan di celah batu yang sempit dan tidak mempunyai akar yang boleh dipegang.

Namun, berkat kerjasama rakan-rakan pendaki, segala kesukaran yang dihadapi dapat dilepasi tanpa masalah besar.

Cabaran lebih terasa memandangkan musim sekarang adalah musim panas yang agak melampau.

Lebih memburukkan keadaan apabila tiada angin sepoi-sepoi bahasa menyapa peserta yang kepenatan.

Jika ada angin bertiup, terasa segarlah sedikit badan yang basah kuyup dek peluh yang mencurah keluar seolah-olah tidak mahu berhenti.

Bahang di persekitaran membuatkan cepat berasa penat. Ini memaksa peserta berhenti di beberapa lokasi untuk meneguk air bagi membasahkan tekak.

Antara lokasi berhenti untuk melepaskan lelah adalah di kawasan berbatu besar, Pasir Berdengung dan dekat Kedai Kopi. Mungkin nama-nama tempat tersebut diperoleh daripada peristiwa yang pernah berlaku di situ.

"Tak tahu pulak kenapa ia dinamakan Pasir Berdengung. Tapi yang Kedai Kopi itu…biasanya pendaki singgah di situ, masak air untuk bancuh teh atau kopi sambil berehat sebelum meneruskan pendakian.

"Di situ terdapat sebatang anak sungai yang jernih," kata Ringgo yang merupakan rakan kepada Mat Som.

Seronoknya mendaki gunung ialah adalah terdapat banyak anak sungai di sepanjang pendakian ke Kem Lebah.

Sebaik sahaja sampai di Kem Lebah, peserta berehat sebentar sebelum turun ke sungai untuk membersihkan diri.

Melihat langit yang semakin gelap, kerisauan melanda memandangkan misi ke puncak belum dicapai.

"Esok pagi la…kita ke puncak. Petang ni…kita rehat," kata beberapa kakitangan MPSJ.

Namun, pendakian ke puncak perlu dilakukan pada petang itu juga kerana jika ditangguhkan keesok ia akan tergesa-gesa untuk ke puncak.

Ini kerana pada tengah hari keesokan harinya, peserta akan memulakan perjalanan turun ke Air Terjun Batu Berangkai.

Tanpa melengahkan masa dan selepas menikmati nasi lemak, perjalanan disambung semula untuk ke puncak pada pukul 4.30 petang.

Perjalanan ke puncak tidak sesukar perjalanan ke Kem Lebah. Terdapat beberapa anak bukit yang perlu didaki, menempuh kawasan permatang dan melalui kawasan yang dilitupi lumut pada batang-batang pokok di kiri dan kanan laluan.

Kumpulan pertama tiba di puncak pada pukul 5.35 petang.

Suasana di puncak diselimuti kabus nipis dan tiada panorama indah pergunungan dapat dinikmati.

Memandangkan masa yang terhad dan perlu sampai ke Kem Lebah sebelum waktu Maghrib, maka tepat pukul 6 petang, peserta bergegas turun.

Perjalanan tanpa rehat dan henti ini berakhir tepat pukul 7.05 malam. Memandangkan waktu Maghrib hampir masuk, peserta dinasihatkan tidak turun ke sungai.

"Jangan mandi masa ini. Tunggu lepas Maghrib," pesan Mat Som.

Menurutnya, waktu Maghrib dikatakan waktu puncak makhluk-makhluk ghaib berada di sekitar kawasan sungai.

Sekitar pukul 8.15 malam, barulah saya dan Kak Gee turun ke sungai yang agak ke bawah cerun.

Suara misteri

Berbekalkan lampu suluh, kami terus menuju ke sebuah kolam kecil untuk mandi. Namun, tidak disangka terdapat seekor labi-labi berendam di dalamnya.

Oleh kerana tidak mahu menganggunya, saya mengajak Kak Gee mandi di air terjun kecil yang terletak kira-kira 10 meter dari kolam tadi.

Tidak disangka keputusan untuk mandi di situ memberikan satu pengalaman menakutkan.

Ketika sedang mandi, tiba-tiba terdengar satu suara asing yang menakutkan.

Pada mulanya, disangkakan ia bunyi haiwan tetapi setelah mengamatinya, tiba-tiba sahaja bulu roma meremang.

Beberapa kali suara misteri itu kedengaran dan apabila saya pasti bahawa ia bukan bunyi haiwan, sepantas kilat saya berhenti mandi dan meninggalkan tempat itu untuk naik balik ke Kem Lebah.

Tercungap-cungap dibuatnya dan sebaik berada dalam khemah, barulah saya bertanya kepada Kak Gee; "Dengar tak apa yang saya dengar tadi?"

"Dengar … tapi tak mampu bersuara nak bagi tau. Jadi, bila diajak balik, terus saya jalan dulu," katanya yang masih ketakutan.

Kami menceritakan peristiwa seram itu kepada kawan-kawan lain ketika menyediakan hidangan makan malam iaitu nasi ayam dan sup kentang.

Tiba-tiba Ringgo yang biasa dengan gunung tersebut berkata: "Kenapa mandi kat situ … itu memang tempat 'dia'."

'Dia' yang dimaksudkan adalah penunggu di situ.

Kejadian seram tidak berakhir di situ sahaja kerana sepanjang malam, kesemua rakan-rakan pendaki yang tidur di bawah ersedar dari tidur dalam pukul 3 pagi.

Seorang rakan pendaki lain, juga diganggu apabila tiba-tiba sahaja bantalnya disentap oleh 'seseorang', sedangkan tidak ada sesiapa tidur di sebelahnya.

Kamal pula menceritakan bagaimana telinga kirinya ditarik beberapa kali oleh 'sesuatu'.

Ketakutan yang menguasai diri menyebabkan kesemua rakan-rakan buat tak tahu dengan apa yang sedang berlaku dan terus 'mematikan' diri sampai ke pagi.

Menyedari betapa misterinya tempat itu, maka sebaik sahaja selepas sarapan pada 21 Mac 2010 yang lalu, peserta terus berkemas dan tepat pukul 11.50 pagi, memulakan langkah pulang menuju ke Air Terjun Batu Berangkai.

Ekspedisi itu tamat tepat pukul 3.05 petang dan meninggalkan kawasan perkelahan Air Terjun Batu Berangkai menjelang waktu Asar untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.