saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 05/04/2010

Fasha enggan khianati hikmah


INGIN mulakan hidup baru... Itu azam Fasha Sandha setelah menginjak usia 26 tahun pada tanggal 28 Mac lalu.


SI jelita, Fasha Sandha ini lewat dua tahun lalu bagaikan tidak putus-putus dilanda kontroversi. Daripada gosip remeh-temeh sehinggalah dikatakan suka mengganggu rumah tangga orang dilambakkan kepadanya.

Mungkin inilah harga yang perlu dibayar olehnya sementelah diri bergelar selebriti.

Atau mungkin juga segala yang melanda dirinya merupakan pengajaran yang cukup mematangkan dirinya yang telah memasuki tahun kelima bergelar anak seni.

Apa yang pasti, tanggal 28 Mac lalu, genaplah usia 26 tahun bagi pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan ini.

Seiring dengan pertambahan usia, Fasha mengakui, segala yang dilalui olehnya semakin mematangkan diri.

Malah, harapannya kalau boleh biarlah tahun 2010 ini menjadi titik mula yang menampakkan sirna dalam soal kehidupan mahupun kerjaya seninya.

"Segala kontroversi yang melanda saya sebelum ini sudah saya anggap sebagai asam garam individu yang terlibat dalam seni.

"Macam mana cuba dielakkan, akan tetap ada kontroversi. Mungkin inilah 'warna' dalam kehidupan dan harga yang perlu saya bayar untuk bergelar selebriti.

"Kalau dahulu memang saya akui saya kuat melenting bila orang tuduh saya macam-macam. Saya jadi pemarah dan memberontak.

"Namun saya bersyukur dan berterima kasih kepada para peminat saya kerana mereka banyak menyedarkan saya.

"Apa yang saya harapkan tahun 2010 ini adalah tahun yang terbaik buat saya dan saya ingin mulakan hidup sebagai Fasha yang baru," kata Fasha yang ditemui pada sesi sidang akhbar siri Spa Qistina yang berlangsung di Hotel Maya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak meraikan secara besar-besaran, sebaliknya, ulang tahun kelahiran ke-26 disambut secara sederhana oleh artis itu dengan membawa keluarga keluar makan bersama.

Pada masa yang sama, dia berikrar untuk memberi tumpuan pada keluarga tercinta memandangkan sebelum ini, kebanyakan masa dihabiskan bersama rakan-rakan.

Apa yang lebih penting, masa untuk berfoya-foya juga tiada lagi dalam agenda peribadi pelakon muda berjiwa besar itu.

Selain masa yang dihabiskan bersama keluarga, pada setiap kali masa senggang, Fasha lebih selesa menonton filem di rumah.

Paling utama juga, Fasha sedang berusaha untuk melupakan segala noda hitam yang pernah t mencalar maruah dan kerjaya seninya sebelum ini.

Tidak menafikan dia pernah melewati gaya hidup yang tidak sewajarnya, Fasha kini mahu menjenamakan semula namanya.

Azam yang sudah dipasang dalam dirinya ialah memperkasakan semula kedudukannya di persada seni.

"Saya bersyukur biarpun ketika banyak cerita negatif mengenai saya diperkatakan, namun peminat masih sudi mencalonkan nama saya dalam pelbagai anugerah. Saya mahu lupakan apa yang telah berlaku," katanya dalam nada keazaman penuh jujur.

Sesungguhnya ikrar Fasha ini menjanjikan hikmah yang bukan kecil.

Ini kerana, dalam masa terdekat ini saja, dia sudah menerima pelbagai tawaran dan kerana itu Fasha berkali-kali menegaskan, dia tidak mahu lagi mengingkari segala kebaikan yang diterimanya itu.

Apa yang boleh saya janjikan ialah melakukan yang terbaik selepas ini dan menjaga disiplin saya terutamanya dalam lakonan," kata anak kedua daripada empat beradik itu lagi.

Semakin memilih?

Untuk ke sekian kali, setiap kali bercerita tentang kerjaya lakonan, keceriaan jelas terpancar di wajah bujur sirih miliknya.

Selain lakonan, dia yang telah melangkah ke dunia glamor sejak berusia 19 tahun turut terlibat dalam bidang peragaan serta jurucakap pelbagai produk kecantikan.

Mula dikenali menerusi filem Black Maria pada tahun 2003, antara filem yang pernah dijayakannya sebelum ini termasuklah Berlari Ke Langit, Anak Mami Kembali, Bujang Senang, Cinta, Cicak-Man, Anak Halal dan Evolusi KL Drift.

Antara drama mahupun rantaian televisyen yang pernah dilakonkannya ialah Natasha dan Natasha 2, Rumah Itu Duniaku, Mentari Jingga, Sutera Maya dan Kehangatan Lantana.

Adakalanya, akui Fasha perasaan malu terbit dalam diri apabila menonton aksi sendiri di kaca televisyen.

"Apa yang buat saya malu dan ralat melihat lakonan saya yang terdahulu ialah apabila saya rasakan karakter yang saya bawa sepatutnya boleh buat lebih baik daripada apa yang telah saya lakonkan.

"Saya tidak salahkan komen-komen orang tentang lakonan saya sebelum ini sebab bila saya lihat semula memang ada kebenarannya. Sebab itu, saya rasa jika karakter saya dahulu diberikan sekarang sudah tentu saya akan berikan yang terbaik," kata Fasha lagi.

Menganggap pengalaman berlakon empat tahun lalu sebagai proses pembelajaran buatnya, kali ini Fasha ingin memastikan tawaran yang diterimanya lebih berkualiti dari segi lakonan berbanding kuantiti.

"Setelah lima tahun berlakon barulah saya rasa saya 'lulus' sebagai pelakon. Malah pengarah dan penerbit lebih banyak memuji lakonan saya kini.

"Sebab itu, kini saya mahu pastikan tawaran yang saya terima saya teliti terlebih dahulu dari segi skrip sebelum membuat keputusan untuk menerima.

"Saya ada harga saya sendiri dalam lakonan. Selepas ini saya tidak kisah jika orang nak kata saya demand sebab dalam lakonan saya akan pastikan beri 100 peratus komitmen," katanya.

Tentang projek lakonan terbaru, kata Fasha dia bakal ke set Cuci-Cuci The Series yang bakal ditayangkan di RTM pada penghujung Mei ini.

Watak antagonis dalam Spa Qistina

Melakonkan watak antagonis, seorang pendendam yang secara tidak langsung mengganggu keharmonian rumah tangga Qistina dalam Spa Qistina yang bersiaran di Astro Box Office Tayangan hebat (saluran 952 Astro) bermula 5 April ini sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan buat dirinya.

Apatah lagi, sebelum ini dia sering dilabel sebagai selebriti yang suka menimbulkan kontroversi, suka mengganggu rumah tangga orang dan pernah juga dilabelkan sebagai perampas.

Menyedari tanggapan negatif masyarakat, akui Fasha, dia tidak mahu lagi dilihat terlalu klise dengan watak wanita malang yang sering tertindas dan berendam air mata.

"Jika orang melihat lakonan dan masih melabelkan saya sebagai perampas, bagi saya itu hanya persepsi kerana lambat laun orang akan tahu juga kebenarannya.

"Saya tidak boleh bercerita atau menerangkan kepada setiap orang apa kebenaran sebenar yang berlaku dalam kehidupan saya.

"Isu perampas bagi saya sudah basi sangat. Watak Frieda dalam Spa Qistina yang kebetulan seorang yang suka mengganggu rumah tangga orang saya ambil kerana ini merupakan kerja saya sebagai pelakon dan terima sebagai menghargai kepercayaan penerbit terhadap bakat lakonan saya.

"Apa yang saya harapkan, penonton dapat menerima lakonan saya dan tidak membenci saya selepas ini," kata Fasha sebelum mengakhiri perbualan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.