saya nak baca ..

KOTA


ARKIB : 07/04/2010

Tidak lagi berlapar


DUA sukarelawan Pertiwi mengedar makanan kepada orang tidak berumah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur baru-baru ini. – UTUSAN/ Asmaruddin Jamaluddin


KUALA LUMPUR 6 April – “Bersyukur sangat-sangat. Walaupun ia sekadar nasi dan telur. Sekurang-kurangnya ia menjadi pengalas perut dan tidur kami lebih lena malam ini.”

Itulah luahan Mohd. Hashim Ujang, 50, salah seorang insan yang dikategorikan sebagai hidup merempat di ibu negara.

Dia yang ditemui semasa berbaris mendapatkan makanan percuma daripada sukarelawan Projek Dapur Mesra Pertubuhan Tindakan Perempuan Islam (Pertiwi) di sebuah lorong di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini berkata, melelapkan mata dalam keadaan perut kosong bukan perkara luar biasa kepadanya.

Bagaimanapun, sejak beberapa badan bukan kerajaan yang terdiri daripada pengendali rumah kebajikan, pusat komuniti, dan pihak pengurusan rumah ibadat tampil membantunya dan golongan senasib beberapa bulan lalu, kehidupannya lebih ceria.

Bapa kepada tiga anak berusia enam, 14 dan 20 tahun itu memberitahu mula berhijrah ke ibu kota selepas kematian isterinya pada tahun 2007.

“Saya tidak mempunyai rumah. Biasanya saya akan tidur di tepi-tepi bangunan lama dan juga di gereja berhampiran,” ujarnya, sambil mengakui pendapatannya sebagai pengawal keselamatan sebanyak RM900 sebulan di salah sebuah syarikat keselamatan di bangunan berhampiran tidak mencukupi.

Ditanya mengenai anak-anak, kata Mohd. Hashim, ketiga-tiganya kini ditempatkan di salah sebuah pusat perlindungan anak-anak yatim dan miskin di ibu kota.

Nyata tidak sukar melihat insan terbiar seperti Mohd. Hashim, yang hidup bergelandangan, terpaksa tidur berbantalkan lengan dan berbumbungkan langit di ibu kota.

Tidak percaya, pergi sahaja ke Puduraya, Chow Kit, Jalan Petaling dan Hentian Bas Klang yang menjadi lokasi kegemaran mereka.

Utusan Malaysia yang turut berpeluang mengikuti sukarelawan Pertiwi melakukan kerja-kerja mengedarkan makanan percuma kepada golongan itu di beberapa lokasi di ibu negara mendapati jumlah kutu rayau di ibu kota sebenarnya bukan sahaja diisi golongan penagih dadah, tetapi juga golongan miskin dan berpendapatan rendah seperti Mohd. Hashim.

Usaha Pertiwi, sebuah organisasi yang berorientasikan projek amal bakti khusus menangani hal-hal kebajikan dan keperluan wanita dan kanak-kanak yang paling lama di negara ini turut mengambil inisiatif membantu golongan memerlukan.

Seperti dijanjikan, sebuah kenderaan Nissan Vanette C22 yang disumbangkan oleh Kelab Rotary Diraja Kuala Lumpur sampai di lokasi di belakang sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman tepat pukul 9 malam.

Walaupun sedikit lewat memandangkan keadaan cuaca hujan, ia tidak menghalang beberapa sukarelawan Pertiwi melakukan tugas mereka.

Bagaikan sudah mengetahui jadual dan lokasi, sebaik kenderaan diletakkan, beberapa orang kelihatan menuju ke kenderaan tersebut dan beratur mendapatkan makanan.

Dalam tempoh kurang 20 minit kerja-kerja pengagihan dilakukan, masing-masing sudah beredar ke lokasi masing-masing untuk menikmati makanan yang disediakan.

Munirah Abdul Hamid, 59, yang mengetuai operasi pada malam itu berkata, ia merupakan minggu kedua operasi pengagihan dijalankan sejak projek berkenaan dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada awal Mac lalu.

Katanya, walaupun ramai melihat usaha itu seperti menggalakkan lagi golongan kutu rayau muncul, Pertiwi mempunyai pendirian tersendiri mengenainya.

“Walaupun ramai yang memandang sinis kepada golongan ini, membiarkan mereka mengemis atau merempat di jalanan tidak akan memberi apa-apa manfaat,” ujarnya, yang sudah melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan sejak remaja lagi.

Usaha Pertiwi menyediakan makanan asas kepada yang kelaparan, kata Munirah, bukan kerana mereka malas atau hanya mengharapkan bantuan tetapi lebih kepada tidak dapat makanan yang cukup dan pemakanan yang sesuai.

Menerangkan lebih lanjut mengenai projek itu, kata Munirah, makanan asas berkhasiat yang siap dibungkus berserta air minum akan diagihkan empat malam setiap minggu di kawasan bandar raya yang terdapatnya kelompok penerima.

“Buat permulaan, kami akan mengagihkan makanan kepada 150 orang dalam satu malam. Kami menyediakan makanan berkhasiat berharga tidak melebihi RM2 mengandungi nasi, satu lauk misalnya dal, stew, telur dan lauk-pauk mudah hadam dan minuman.

“Apa yang diharapkan projek ini akan memberi khidmat kemanusiaan melalui bantuan makanan kepada golongan miskin tegar tanpa mengira kaum dan agama.

“Melalui interaksi secara tetap dengan pelbagai kelompok masyarakat yang melarat di bandar raya ini, mungkin beberapa program tambahan dapat diatur bagi menolong mereka yang bersedia untuk berdikari,” ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.