saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 21/04/2010

'Angin perubahan' dalam politik Britain?

KETIKA politik Malaysia bakal 'panas' dengan pilihan raya kecil di Hulu Selangor hujung bulan ini, politik di Britain juga turut sama merasa 'bahang' kehangatan pilihan raya. Menjelang 6 Mei depan, rakyat Britain bakal menghadapi pilihan raya umum untuk menentukan parti manakah yang bakal menerajui negara tersebut untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Sehubungan dengan itu, satu daripada tiga siri perdebatan politik secara terbuka antara ketiga-tiga pemimpin parti politik utama yang akan bertanding, Gordon Brown (Buruh), David Cameron (Konservatif) dan Nick Clegg (Liberal Demokrat), telah disiarkan secara 'live' selama kira-kira 90 minit oleh sebuah stesen TV tempatan yang beribu pejabat di Yorkshire, ITV1.

Keputusan instant poll yang dilakukan oleh ITV, YouGov/The Sun, Channel Four, dan Sky News menunjukkan satu 'kejutan' yang tidak dijangka sama sekali. Pemimpin Parti Liberal Demokrat, Nick Clegg, telah diisytihar sebagai 'pemenang' dalam program debat politik tersebut, 'menewaskan' Gordon Brown dan David Cameron.

Persoalannya di sini ialah bolehkah keputusan berdasarkan kepada instant poll ini yang mengisytiharkan kemenangan Clegg dalam debat politik tersebut diterjemahkan sebagai satu petanda meningkatnya peratusan sokongan rakyat Britain kepada Parti Liberal Demokrat?

Jika ia benar, persoalan seterusnya ialah dari mana sokongan ini datang? Manakala persoalan terakhir pula ialah bersediakan rakyat Britain menolak dua parti politik 'veteran' yang sudah sekian lama menerajui tampuk kerajaan di negara tersebut dan 'beralih angin' kepada parti yang agak 'baru' dalam pilihan raya umum Britain akan datang tapi 'sudah lama' dari segi pengaruhnya dalam sejarah politik Britain.

Walaupun ini hanya tiga siri perdebatan politik terbuka menjelang pilihan raya umum awal Mei depan, keputusan 'instant poll' ini boleh disifatkan sebagai satu petanda bahawa 'angin perubahan' bakal melanda politik tempatan Britain kelak.

Hujah ini ada kebenarannya. Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, kemelut politik-ekonomi-sosial yang melanda Britain telah menyedarkan rakyat Britain. Mereka kini semakin berani mempersoalkan peranan yang dimainkan oleh kedua-dua parti politik 'veteran' negara tersebut, sama ada Parti Buruh atau Parti Konservatif, yang pada pandangan mereka telah gagal dalam menguruskan hal ehwal negara dengan berhemah dan bijaksana hinggakan pada satu ketika Britain pernah dianggap sebagai sebuah negara yang hampir 'bankrap'.

Pun begitu, rakyat Britain kini masih mempunyai satu lagi pilihan iaitu Parti Liberal Demokrat yang disifatkan oleh banyak pihak mampu untuk berfungsi dan berperanan dengan lebih baik dalam mengurus Britain dan sekiranya ia diberi peluang, mungkin lebih baik berbanding dengan Parti Buruh dan Parti Konservatif yang sedia ada.

Oleh kerana politik Britain sudah lama 'berpaksikan' sistem politik demokrasi yang menjamin aspek kebebasan berpolitik, andaian bahawa Britain mungkin akan diterajui oleh parti politik selain dari parti Buruh dan Konservatif tidak boleh diketepikan sama sekali.

Sejarah pernah membuktikan bahawa kerajaan Britain pernah diterajui oleh selain dari kedua-dua parti tersebut seperti Whig, Canningites, Peelite, Liberal, Unionists, dan kerajaan campuran. Parti Liberal pernah memerintah Britaih sekitar tahun 1905 hingga 1915 yang pada ketika itu diterajui oleh Sir Henry Campbell-Bannerman dan Herbert Henry Asquith. Parti Liberal Demokrat pula ialah gabungan antara Parti Liberal dan Parti Sosial Demokrat yang ditubuhkan pada tahun 1988.

Sekiranya ini benar-benar berlaku, Parti Liberal Demokrat mungkin terpaksa berhadapan dengan pelbagai kemungkinan kecuali ia berjaya mencapai kemenangan majoriti dalam pilihan raya umum akan datang. Kemenangan secara majoriti mudah bakal menimbulkan masalah besar kepada parti baru tersebut untuk memerintah Britain.

Masalah-masalah ini dikatakan akan datang daripada parti-parti utama yang menguasai politik tempatan di Scotland, Wales dan Ireland Utara, dan mungkin juga British National Party dan UK Independence Party. Pada ketika ini, sudah kedengaran suara-suara dari parti-parti tersebut yang secara terang-terangan mengkritik kredibiliti dan dasar parti Buruh, Konservatif dan Liberal Demokrat yang dikatakan hanya membawa 'kepentingan' rakyat England semata-mata dan mengabaikan kepentingan rakyat di Scotland, Wales dan Ireland Utara yang juga merupakan sebahagian daripada Britain.

Ataupun, mungkin agal terlalu awal untuk berpendapat sedemikian. Ini kerana terdapat dua lagi program perdebatan politik secara terbuka yang bakal disiarkan oleh stesen-stesen TV di Britain. Siri perdebatan kedua bakal disiarkan oleh Sky News pada 22 April depan memfokuskan mengenai isu hal ehwal dasar luar negara manakala siri perdebatan terakhir pula bakal disiarkan oleh BBC pada 29 April yang akan memfokuskan mengenai isu ekonomi. Siapakah 'pemenang' mutlaknya, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Walau apa pun, kita juga harus akur bahawa keputusan berdasarkan kepada instant poll ini sebenarnya sangat tidak mencerminkan sokongan sebenar rakyat Britain terhadap mana-mana parti politik yang bertanding. Ini kerana perjalanan menuju ke tarikh pilihan raya umum Britain masih lagi jauh dan dalam hal ini, macam-macam perkara boleh berlaku yang boleh mengubah persepsi dan 'mood' rakyat Britain terhadap parti pilihan mereka untuk menerajui negara.

Penulis ialah pensyarah sains politik di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.