saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 21/04/2010

Gunung Kinabalu dan keazaman; Syabas Mohd. Noor!

TINGGAL sebentar hiruk-pikuk Kuala Lumpur dan Hulu Selangor yang sedang berperang dengan strategi, taktikal dan muslihat. Pilihan raya di Malaysia bukan lagi sesuatu yang 'straight forward' macam dulu, ia semakin matang.

Saya kini sedang berada di satu tempat yang paling segar udaranya di Malaysia.

Tepat pukul 12.15 tengah malam semalam dalam sebuah van bernombor pendaftaran SB9169A, berplat Sabah, kami bergerak dari Kolopis, di kaki Gunung Kinabalu. Semua yang berada di dalamnya senyap sepi. Tiada kata-kata yang diucapkan. Hanya lagu dari radio yang bunyinya dengar tak dengar, berkemundang.

Van itu menyusuri perlahan di kaki gunung menuju ke Timpohon Gate - gerbang untuk ke puncak yang pernah didaki dan diterokai oleh bekas residen British, Sir Hugh Low, lebih 100 tahun lalu.

Dalam van itu, termasuk saya ialah seorang badang. Seorang yang di Semenanjung mengatakan beliau ''orang gila." Seorang yang di Sabah ini dikatakan mengalami ''kegilaan luar biasa." Seorang yang malim gunung tidak berapa hirau dulu - kini memberi penghormatan yang cukup tinggi.

Beliau ialah Mohd. Noor Mat Amin. Insan berusia 43 tahun. Perjalanan bersiur itu ialah untuk membawa Mohd. Noor ke destinasi terakhirnya menakluki gunung itu sebanyak 111 kali, dalam masa 111 hari.

Misi itu yang dimulakan pada 31 Disember 2009 berakhir semalam, 20 April 2010. Memang Mohd. Noor gila. Tumit kakinya sudah pecah. Kakinya hitam. Mukanya gelap. Pernah mengalami cuaca paling panas hingga 43 darjah selsius sehingga tak terperi panasnya. Dipercayai itulah fenomena El-Nino. Air di takungan atas puncak Kinabalu kering. Pada ketika itulah seluruh Malaysia cukup panas. Malah di Semenanjung, kerajaan negeri bimbang air di empangan mulai surut.

Pada masa itu, Mohd. Noor berada di kedudukan yang cukup dekat dengan matahari. Kulitnya terbakar.

Beliau sakit, tapi hanya hatinya sahaja yang menjerit. Mohd. Noor tidak menuturkannya dengan kata-kata, bisik fisioterapi Mohd. Noor, S. Mohd. Salim S. Ibrahim. Salimlah yang mengurut pendaki itu setiap kali turun dari gunung itu.

Awal pagi semalam, beberapa minit sebelum Mohd. Noor mengakhiri pendakian itu, Salim membuka mulut mendedahkan apa yang Mohd.Noor alami.

''Saya tahu dia sakit, tapi dia tak mahu cakap," kata Salim sambil tangannya mengurut betis Mohd. Noor. Mohd. Noor memandang ke muka saya. Dia hanya senyum. ''Itulah cabaran. Jika inilah keputusan saya, saya tidak boleh merungut," kata Mat Noor perlahan.

Itulah sebenarnya sikap seorang juara. Beliau tidak merungut. Beliau tidak cakap banyak. Cakapnya cukup bersopan - berhemah. Mungkin beliau tidak mahu cakap besar. Sesiapa yang mendaki gunung keramat seperti Gunung Kinabalu tidak boleh cakap besar, mungkin? Itulah disiplin yang diajar kepadanya ketika mula mendaki gunung - termasuklah ke Everest.

Tapi jika dilihat kepada mana-mana malim gunung yang ditemui, semua mereka tidak cakap banyak. Malim gunung ialah juruiring pendaki ke gunung. Merekalah yang menjadi pandu arah. Mereka jugalah yang akan membantu 'tuan'nya jika pendaki itu menghadapi masalah.

Di Nepal mereka ini dipanggil sebagai Sherpa. Di Gunung Kinabalu setinggi 8.72 kilometer atau lebih 4,095.2 meter dari paras laut itu, mereka dipanggil sebagai malim gunung atau guide atau porter dalam bahasa Inggeris.

Yang mengiringi Mohd. Noor tepat pukul 12.30 tengah malam semalam untuk pendakian terakhirnya ialah Safrey Sumping. Safrey, ialah pemuda malim gunung yang bukan calang-calang orang.

Ditanya kepada Mohd. Noor mengapa beliau pilih Safrey untuk mengiringinya bagi misi akhir itu, katanya, Safrey dicadangkan oleh pihak Sabah Park, pihak yang mentadbir gunung itu. Safrey memang layak mengiringi Mohd. Noor. Pemuda Dusun itu ialah peserta larian panjat gunung itu (Climbathon) yang diadakan saban tahun. Lariannya menuju puncak hanya memakan masa cuma sekitar dua jam. Turun pula beliau mencatat masa 58 minit!

Safrey ialah yang terbaik untuk Mohd. Noor yang terbaik. Safrey pun berkata Mohd. Noor ini 'gila'. Dalam pengalamannya mendaki gunung itu turun naik sebanyak kira-kira 700 kali sejak 2005 - awal malam semalam dia juga membuat kerja gila. Dia mengiringi Mohd. Noor mendaki tengah malam. ''Inilah pertama kali saya mendaki tengah malam."

Beliau terpaksa mengikut masa Mohd. Noor bagi memastikan beliau menamatkan misinya tengah hari 20 April (semalam).

Terlalu pekat kegelapan. Tengah malam tadi Mohd. Noor dan malim gunungnya itu memulakan misi terakhirnya tepat pukul 12.30 malam. Hanya lampu suluh yang diikat di kepala mereka menerangi jalanan. Di atas kepala mereka, di angkasa bintang-bintang berkerlipan.

Sesiapa yang pernah mendaki gunung itu sahaja yang tahu bagaimana permukaan gunung itu. Ia dipenuhi dengan batu-batuan yang jika salah pijak akan terpelecok kaki. Permukaan jalan cukup licin. Mohd. Noor hanya memakai capal berikat. Kasut gunungnya terpaksa digantung. Kakinya terlalu perit untuk memakai kasut.

Ramai yang cedera dan gagal sampai ke puncak Low. Semasa tulisan ini ditulis pukul 7 pagi semalam, Mohd. Noor sudah sampai ke puncak Low, puncak tertinggi gunung itu 20 minit kemudiannya.

Di kem kaki bukit yang menempatkan bilik operasi misi Mohd. Noor, para pembantunya yang diketuai oleh Ku Muhammad Zulzairi Ku Zulkiffli mengikuti pergerakan Mohd. Noor dengan teliti. ''Beliau sudah sampai ke puncak jam 7.20 pagi," kata Ku Muhammad yang digelar oleh teamnya sebagai Kupai. Kupai, budak Pendang, Kedah berusia 22 tahun ini ialah pelajar Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak dua tahun lalu. Dia kini bercuti belajar dan membantu Mohd. Noor sepenuh masa.

Dialah yang memastikan apa yang ada dalam beg galas Mohd. Noor diisi. Bendera, kain rentang, payung, ubat-ubatan, telefon, sedikit makanan dan minuman. Beg itu sekitar berat 1.5kg. Selain Salim, Mohd. Noor juga dibantu oleh beberapa orang pelajar UMS, selain adiknya, Alias Amin yang menjadi setiausaha ekspedisi. Semua dalam kumpulan itu cukup komited.

UMS menjadi penaja terbesar ekspedisi Pendakian Solo 1Malaysia ini. Merekalah yang menyediakan semua kemudahan. Para pelajar itu juga bukan sekadar menjaga Mohd. Noor, tapi juga menjalankan kajian mengenai ketahanan, fisiologi dan pelbagai aspek lagi membabitkan sains sukan ke atas diri Mohd. Noor.

Syabas UMS. VCnya Brig. Jen. Prof. Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Ampon mengikuti secara peribadi perkembangan misi itu. Malah pernah mengiringi Mohd. Noor ke puncak semasa pendakian ke-50 kali.

Pihak Sabah Park pula menyediakan segala kemudahan di kaki gunung itu. Base camp itu terletak di Kolopis, iaitu kuarters kakitangan taman itu, yang salah satu unitnya ditukar menjadi pusat operasi ekspedisi dan tempat Mohd. Noor melelap mata, seketika.

Sejak 111 hari lalu, Mohd. Noor mengambil masa purata kira-kira lapan jam untuk naik dan turun. Orang biasa akan mengambil masa dua hari untuk turun dan naik. Turun lebih cepat dari naik. Tapi tekanan untuk turun lebih getir dari naik. Kaki harus kuat. Bagi yang baru mahu mencuba, latihan yang diperlukan ialah sekurang-kurangnya tiga bulan. Jika tidak, boleh juga naik tapi kata-kata terakhir yang akan diucapkan ialah ''inilah yang pertama dan terakhir - terlalu azab."

Nama Mohd. Noor kini mula menjadi percakapan dan peminatnya mengikuti melalui Facebook beliau. Yang paling meminati dan mengkaguminya juga mat-mat salleh yang datang ribuan batu untuk menawan gunung itu. Beliau seperti selibriti di gunung itu setiap kali berselisihan dengan mereka. Namun beliau tetap merendah diri.

Mereka cukup teruja dengan kegigihan Mohd. Noor. Insya-Allah namanya akan tercatat dalam Malaysian Book of Records. ''Dulu malim gunung tidak menegur saya, tapi selepas melepasi 50 kali, setiap kali berselisih atas gunung mereka akan berbisik memberi semangat kepada saya 'teruskan…teruskan…" kata Mohd. Noor.

Semalam, Mohd. Noor mengakhiri cabarannya. Mulai 8 hingga 14 Mei, selama seminggu Mohd. Noor akan membuat satu lagi kerja gila. Beliau akan mendaki 111 kali tangga Menara Kuala Lumpur pula. Itu akan melayakkan beliau mencatat nama dalam Guinness Book of Records.

Itu adalah sebagai sebahagian daripada program pendakian solonya. Saya bertanya mengapa perlu mendaki menara itu pula, kata Mohd. Noor perlahan, ''Kinabalu di Sabah, Menara KL di Semenanjung…" Itulah maksub beliau apabila menamakan Pendakian Solo 1Malaysia.

Setibanya di Timpohon Gate menamatkan misi 111 itu tepat pukul 11.50 pagi semalam, perkara pertama yang diucapkan ialah ''Alhamdulillah."

''Kejayaan ini bukan datang dari saya, tapi restu dari Allah. Kejayaan ini untuk Malaysia, jika saya boleh, kita semua pun boleh," kata jurugambar Utusan Malaysia itu di majlis merainya.

Syabas Mohd. Noor. Syabas kumpulan sokongannya. Syabas UMS yang menjadi penaja utama dan penaja-penaja lain. Kepada penaja yang ''kurang yakin" dan pandang sebelah mata serta ada yang menolak untuk menaja Mohd. Noor - bukalah kedua-dua belah mata anda.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.