saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/04/2010

siapa edar risalah penguatkuasaan? lpkp atau orang ketiga?

TERIMA kasih terhadap respons positif yang diberikan oleh pemandu-pemandu teksi melalui tulisan minggu lalu bertajuk Siapa peduli apabila Pak Lang dan Pak Long ditipu penumpang. Mereka kini menantikan reaksi pihak berkuasa khususnya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Apakah akan ada sesuatu perkembangan bagi menjaga kebajikan termasuk keselamatan mereka? Atau tidak ada sebarang perubahan dan reaksi. Dan ekoran tulisan penulis mengenai banyaknya 'pelekat' yang ditampal di dalam dan di luar teksi bagaikan papan iklan, seorang pemandu menggelarkan teksi sebagai papan iklan bergerak hinggakan teksi Malaysia hodoh! Pada masa yang sama beliau menghulurkan kepada penulis mengenai satu risalah yang agak meragukan seperti yang ditulis minggu lalu.

Ketika kali pertama penulis ternampak risalah itu digantung di belakang bahagian tempat duduk depan penumpang (bagaikan anjing digantung lesen), penulis tidak sempat membacanya. Cuma yang terlintas di fikiran ketika itu, risalah yang terhoyong hayang dalam teksi itu mengganggu penumpang. Kalaulah begini caranya, mungkin lebih elok LPKP mengeluarkan peruntukan kepada teksi untuk memperkenalkan maklumat secara elektronik supaya penumpang hanya tertumpu kepada satu skrin yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai teksi. Maka teksi 'tidak kotor' dengan pelbagai pelekat termasuklah tekanan angin tayar.

Kembali kepada risalah berkenaan, penulis diberi dua salinan mengenainya - satu berbahasa Inggeris dan dua dalam bahasa Melayu.

Risalah itu hanya tertera logo 1Malaysia bersama sebuah teksi serta perkataan PENGGUNA dan PENGUATKUASAAN. Tajuk risalah itu dalam bahasa Melayu - LAPORKAN ADUAN ANDA SEKIRANYA TEKSI DAN PEMANDU MELANGGAR PERATURAN- PERATURAN BERIKUT.

Sementara dalam bahasa Inggerisnya pula LODGE YOU COMPLAINTS OF ANY TAXI AND DRIVER CONTRAVENES RULES BELOW.

Tidak dicatatkan siapakah pengeluar dan pencetaknya. Tidak pasti adakah risalah itu wajib digantung di dalam teksi. Setelah menelitinya, penulis tersenyum sendirian. Satu persatu dibaca. Memang menarik. Cuma apabila dibaca tajuknya, penulis terkejut dengan bahasa yang digunakan. Lucu pun ada.

Apakah reaksi anda apabila tajuknya meminta anda membuat aduan sekiranya teksi dan pemandu MELANGGAR (saya ulangi MELANGGAR) peraturan-peraturan berikut:

l Mempamerkan kad pemandu di dashboard kenderaan;

l Berkelakuan baik dan beradab;

l Berpakaian sopan, kemas dan bersih (berpakaian seragam-baju kemeja, berwarna putih, berseluar gelap dan berkasut hitam);

l Tidak merokok dalam kenderaan semasa dalam perjalanan atau apabila penumpang sedang berada di dalam kenderaan;

l Tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit atau sebarang alat komunikasi melainkan peralatan yang tidak menggunakan tangan;

l Kenderaan dijaga dalam keadaan baik dan boleh digunakan (bersih, kemas);

l Pelekat jadual tambang dan piagam pelanggan dipamerkan pada kedua-dua sisi cermin belakang;

l Menggunakan meter;

l Tidak mengubahsuai meter;

l Meter teksi tidak ditutup dan dihadang;

l Tidak boleh meninggalkan tempat duduk pemandu;

l Dilarang melanggan penumpang;

l Tidak menetapkan bayaran dan tawar menawar sebelum bersetuju memberikan perkhidmatan;

l Tidak membawa penumpang berlebihan, teksi bajet: 6 orang termasuk pemandu, teksi eksekutif: 7 orang termasuk pemandu;

l Tidak boleh membawa penumpang tanpa keizinan penyewa;

l Membawa penumpang menuju ke destinasi yang dikehendaki penumpang dengan menggunakan jalan yang paling lurus dan pendek;

l Mengenakan tambang seperti tertera di meter teksi; dan

l Kemukakan resit tambang bagi setiap sewaan yang telah selesai.

Jika diamati tajuk risalah ini, maknanya anda perlu melaporkan jika pemandu teksi mengguna meter! Lucukan? Satu perkara lagi apakah maksud dilarang melanggan penumpang? Bagaimana pula tidak boleh meninggalkan tempat duduk pemandu? Banyak yang mengelirukan.

Pada bahagian kanan risalah itu pula tertera Bagaimana anda boleh memberi maklumat?

Salah satu ayat berbunyi "Surat boleh dijalankan ke...." Sepatutnya "dialamatkan". Tetapi pemandu lain pula menunjukkan risalah yang mengandungi perkara yang sama tetapi sudah diperbaiki iaitu dialamatkan. Cuma bezanya LPKP dieja Perlesenan dan satu lagi Pelesenan. Lebih melucukan, ada risalah yang menulis di bawah perkara teksi bajet: 6 orang manakala satu lagi risalah 5 orang. Sebetulnya ialah 5.

Jelas sekali risalah itu dibuat dalam keadaan kelam-kabut atau tergesa-gesa. Jika LPKP yang mengeluarkannya maka ia adalah sesuatu yang amat memalukan. Tetapi jika bukan LPKP, adakah layak risalah seperti itu diletakkan di dalam teksi untuk menambah lagi pelbagai pelekat yang ada? Satu perkara lagi, jika LPKP tidak merestui pengeluaran risalah itu kenapa dibiarkan syarikat membekalkan kepada pemandu? Dan bagi pemandu permit persendirian pula, mereka serba salah apabila pekerja warga Bangladesh di stesen minyak menjual risalah berkenaan pada harga RM6. Kebanyakan pemandu teksi amat sensitif dengan peraturan-peraturan seperti ini dan tanpa usul periksa terpaksa membelinya.

Pemandu tidak boleh dipersalahkan. Begitu juga LPKP. Pemandu mungkin seperti Pak Lang dan Pak Long terlalu 'takut' dengan peraturan dan mahu mematuhinya. Apa saja peraturan yang dikaitkan dengan LPKP sama ada suka atau tidak terpaksa dipatuhi. Itu sikap pemandu jujur seperti Pak Lang dan Pak Long sehingga mereka dirompak dan ditipu penumpang. LPKP pula mungkin tidak 'turun padang' atau 'turun padang' tetapi tidak terserempak dengan risalah berkenaan. Akhirnya pemandu teksi menjadi mangsa dan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas 'kesetiaan dan kejujuran' pemandu mahu mematuhi peraturan. Maka siapakah harus dipersalahkan? Mungkin penumpanglah yang bertanggungjawab kerana berdasarkan bermacam pelekat dan risalah yang ada, penumpang adalah penguat kuasa sebenar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.