saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 03/05/2010

Ebby Saiful terkilan sikap TV


EBBY Saiful, Azmil Mustapha dan Ogy Ahmad Daud dalam satu babak filem Ali Setan.


WALAUPUN memulakan 'kariernya' sebagai pelakon ketika berusia sembilan tahun dalam filem Asmara Kirana yang diterbitkan pada 1968, namun filem Ali Setan benar-benar melonjakkan namanya sebagai pelakon yang diminati.

Memegang watak sebagai Latif, kawan baik kepada Ali Setan lakonan Azmil Mustapha, Ebby Saifullah Ali atau lebih dikenali Ebby Saiful,51, berjaya mencuri hati para peminat filem ketika itu.

Sebagai siswa sebuah universiti, Latif lakonan Ebby Saiful benar-benar mewarnai filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin dan membuktikan bakat yang dimilikki cucu Minah Yem ini.

"Sebenarnya saya sudah mula berlakon ketika umur tiga tahun sebagai pelakon ekstra kanak-kanak dalam filem Raja Bersiong pada awal 1960an.

"Tetapi pada 1969, melihat sifat saya yang tidak mengenal takut pada orang ketika mengikut arwah nenek atau mak ke lokasi, pengarah Nas Ahnaz menawarkan saya watak Jantan dalam filem Asmara Kirana bersama AllahyarhamEd Osmera," cerita Ebby Saiful dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Bak kata pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, walaupun Asmara Kirana filem pertama yang memberikannya watak, namun Ebby berjaya menjiwai watak Jantan sebagai anak kepada Allahyarham Ed Osmera.

Walaupun filem berkenaan dikatakan telah menampilkan bakat anak pemuzik Allahyarham Ali Ahmad, (pencipta lagu Si Dia nyanyian Allahyarham Datin Rafeah Buang) dan Allahyarham seniwati Norsiah Yem, namun Ebby tidak meneruskan kerjaya itu.

"Entah kenapa apabila meningkat dewasa saya tidak meminati bidang lakonan. Sebaliknya minat saya lebih ke bidang muzik.

"Apabila usia saya 19 tahun bersama rakan-rakan seusia, saya menubuhkan kumpulan The Beez kemudian dikenali New Breed. Kami bermain di Hotel Merlin selama tujuh tahun mulai 1978," kata Ebby.

Bakatnya sebagai pemuzik bukan sahaja menjadi sumber rezeki Ebby, malah ia memberi peluang kepada Ebby menjadi artis rakaman apabila dia muncul dengan dua album dibawah syarikat rakaman SRC iaitu Pahlawan Cangkul (1980) dan Untuk Anita (1983).

Kemudian Ebby muncul dengan album ketiganya Kisah Cinta. Album tersebut yang mengandungi lagu hits Bila Bunga Berguguran diterbitkan dibawah syarikat Polygram pada tahun 1986.

Bagaimanapun kata Ebby, penampilannya dalam drama purba Demang Lebar Daun bersama Idris Hashim telah membuatkannya meninggalkan bidang muzik dan nyanyian.

"Drama purba arahan Hasiah Ariffin untuk RTM benar-benar membuka pintu hati saya untuk berlakon semula, walaupun sebelum ini saya buang jauh-jauh minat dan bakat itu," kata Ebby sambil tersenyum mengingatkan bagaimana kerjayanya sebagai pelakon disambung semula.

Bermula daripada drama itulah, Ebby terus ditawarkan berlakon dalam filem Ali Setan (1986) diikuti Marah-Marah Sayang, Balik Kampung, Hantu Siang, Suara Kekasih, Perempuan, Sumpahan Mahsuri, Rentak Desa dan filem terakhirnya Azizah The Legend (1993).

Selain berlakon, Ebby juga berbakat mencipta lagu. Ini terbukti kesemua lagu untuk filem Marah-Marah Sayang dicipta olehnya.

Filem tersebut diterbitkan pada tahun 1986 oleh Feugo Production Sdn. Bhd., dengan menampilkan para pelakon Ebby Saiful, Norlida Ahmad, Shah Reza, Liza Abdullah, Isma Alif dan Suhaina Yahya.

Bukan itu sahaja, malah lagu Bunga-Bunga Berguguran yang pernah mencipta populariti penyanyi Fauziah Ahmad Daud dalam filem Suara Kekasih, adalah ciptaannya.

Selain mencipta lagu untuk filem, Ebby juga turut mencipta lagu untuk penyanyi lain antaranya, Flora Santos dengan lagu Melodi Kasih.

Menurut Ebby, walaupun lebih daripada 30 filem dilakonkan namun Ali Setan tetap momen indah dalam diari seninya.

Betapa tidak, watak nakal dan gila-gila lakonannya bersama Azmil banyak meninggalkan kesan di hati para peminat filem Melayu.

"Selepas berlakon filem itu, bila saya pergi ke mana-mana, peminat panggil saya kawan Ali Setan," cerita Ebby, ayah kepada Erin Adrina Salsatila,3, Endra Edrian Saifullah, 1 tahun 10 bulan dan suami kepada, Marini Ahmad,30 tahun.

Sementara Sumpahan Mahsuri yang diterbitkan oleh syarikat milik Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1989, menonjolkan sisi Ebby sebagai penolong pengarah.

Filem yang diarahkan oleh Datuk Jamil Sulong, bukan sahaja meletakkan isterinya, Datin Rosnani sebagai penolong pengarah, malah Ebby turut dilantik sebagai penolong pengarah kedua.

"Penggambaran filem itu memakan masa lebih sebulan. Berkampung di Kedah dan Langkawi sepanjang penggambaran memberi banyak pengalaman dan pendekatan kepada saya dalam bidang pengarahan.

"Walaupun saya tidak ada pengalaman sebagai pengarah ketika itu, tetapi kepercayaan Pak Jamil dan Mak Nani memberi keyakinan kepada saya.

"Saya bersyukur sangat-sangat, walaupun pada mulanya saya anggap ia tugas yang berat, namun ia membuka era baru dalam karier seni saya," cerita Ebby.

Sejak itulah, Ebby Saiful meneruskan kerjayanya sebagai penolong pengarah apabila Anwardi Jamil menawarkannya jawatan itu.

"Sebagai penolong pengarah untuk sebuah filem purba memang belum memberi makna yang total bagi saya. Jika ingin maju dan menyusuri kerjaya yang kekal saya perlu mengarah pelbagai genre filem atau drama.

"Menyedari itulah saya mengambil peluang pada tahun 1990 apabila Anwardi mengarah drama komedi Gado-Gado dan melantik saya sebagai penolong pengarah.

"Bermula dengan Gado-Gado terbitan Double Vision, kemudian Anwardi memberi saya peluang mengarah drama bersiri Melaka sebanyak 13 episod dan 13 episod lagi diarahkan oleh Pak Jamil," kata Ebby Saiful.

Sejak itulah, Ebby mula mengorak langkah sebagai pengarah drama tanpa menoleh ke belakang dan sehingga kini lebih daripada 100 drama telah diarahkannya.

Selain mengarah, Ebby juga sering mencipta lagu tema untuk drama arahannya antaranya Dengan Nama Tuhan untuk drama Antoganis.

Menurut Ebby, pengalaman sekian lama sebagai pengarah drama, sedikit demi sedikit menggamit hatinya untuk mengarah filem juga.

Dan dari pengalaman yang tidak perlu dipertikaikan lagi, Ebby memang boleh menlaksanakan tugas itu, cuma katanya;

"Memang sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya teringin sangat mengarah filem dan saya tahu saya boleh.

"Tetapi seperti yang kita tahu, di Malaysia kalau kita bukan kroni, tidak pandai mengampu dan tidak sanggup tikam orang dari belakang, peluang mengarah filem itu memang susah nak dapat.

"Menyedari itulah saya lupakan terus hasrat saya untuk mengarah filem. Jika berpeluang saya ingin mengarah drama bercorak keagamaan yang lebih mendalam.

"Cuma masalahnya di Malaysia ini, jika kita buat drama agama yang menyentuh begitu mendalam, pihak stesyen akan kata kita sebarkan ajaran sesat dan nama kita digam.

"Tetapi saya musykil apabila drama Indonesia bolehlah pula ditayangkan. Melihat drama-drama itu, seolah-olah pengarah kita cetek dalam soal agama.

"Begitulah sikap double-standard pihak TV yang membuatkan pengarah kita tak boleh berkembang," kata Ebby Saiful penuh kesal.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.