saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 07/05/2010

Rozita kongsi semangat dengan anak


Dua beranak yang sama-sama berkebolehan dalam dunia perniagaan.


SEJAK disahkan mengandung kira-kira 26 tahun yang lalu, Rozita Ibrahim, pengasas Sendayu Tinggi Corporation sudah merangka kehidupan zuriat sulungnya untuk masa depan.

Beliau bertekad, anaknya itu tidak akan mewarisi kehidupan serba kekurangan yang dilaluinya sejak kecil.

Rozita bukan sekadar berangan-angan, demi anak tersebut dia meniti langkah demi langkah bangun cabaran pahit getir dalam kehidupan supaya anak-anaknya kelak tahu erti dan menghargai kehidupan sebenar.

Kini Rozita boleh berbangga dengan anak sulungnya, Noorhayati Kamarzan, 26, yang berjaya memahami maksud dan pengharapan sebenar si ibu terhadap anak.

"Ketika mengandungkan Yati (panggilan buat anak sulung) saya sedang bekerja sebagai pegawai hartanah.

"Saya memang letakkan cita-cita saya pada nama anak, Noorhayati yang bermaksud 'cahaya hidupku'. Alhamdulillah Yati seorang anak yang bijak dan matang sebelum usianya," cerita Rozita membuka bicara tentang anak sulungnya yang kini menyandang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) di Sendayu Tinggi Corporation.

Kini, Noorhayati bukan sahaja mewarisi kecantikan wajah ibunya, malah dia kini menerajui syarikat yang diasaskan Rozita.

Pun begitu, Noorhayati yang telah diasuh ibunya agar tidak bermegah dengan kedudukannya, mengakui tidak selesa dengan perkataan 'menerajui' syarikat sebagaimana yang penulis ungkapkan.

Kata ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia setahun lapan bulan itu, dia sering menganggap dirinya sebagai 'pekerja' ibunya.

Budaya itulah juga yang diterapkan si ibu dengan niat agar anak-anak tidak mudah lupa diri, bersikap sombong dan bangga dengan kemewahan yang dikecapi.

"Bukan untuk menidakkan kenyataan, tapi saya mahu setiap anak saya lebih menghargai kehidupan dan bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada keluarga ini.

"Sebenarnya, Yati memang banyak menolong saya sejak dari usianya lima tahun. Pada saat saya sedang bertarung mencari rezeki untuk kehidupan, Yati yang menjaga adik-adik termasuk seorang adiknya yang cacat sewaktu saya keluar mencari rezeki.

"Malah ketika Yati berusia 14 tahun dia sudah mula membantu saya berniaga di kedai runcit dan di pasar malam," imbas Rozita tentang anak sulungnya itu.

Selain Noorhayati, Rozita mempunyai tujuh lagi anak termasuk anak keduanya Nur Aini yang meninggal dunia kerana lemas pada usianya 11 tahun.

Anak ketiga, Aliff Syukri kini telah berkahwin, seterusnya Aiman Hazeem, 14, yang sedang mengikuti pengajian tahfiz di Kuala Lumpur, Nur Azizah, 13, Nur Ain Sufiah, 4, dan Maryam Nur Amani, 2 bulan.

Cabaran mendidik jiwa anak

Rozita mengakui berasa puas menjadi seorang ibu. Tidak rugi bersengkang mata agar anak-anak dapat dididik menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain.

"Kata-kata Rasulullah SAW saya pegang dalam mendidik anak-anak. Saya amat takut anak-anak menjadi pemalas dan tak tahu agama. Saya terapkan setiap anak mesti bangun solat subuh dan tidak boleh tidur semula selagi belum pukul 11 pagi, itu penting untuk minda dan otak yang cergas," katanya.

Untuk Noorhayati pula, Rozita mahukan dia menjadi majikan yang prihatin dan memahami jiwa pekerja sebelum betul-betul bersedia memikul tanggung jawab besar.

Jujur Rozita mengakui, anak sulongnya itu tidak terus diberi jawatan seperti sekarang sebaliknya dia bermula sebagai tukang sapu di pejabatnya dengan dengan gaji sebanyak RM350 sebulan.

Bukan bertujuan merendahkan si anak tapi semata-mata untuk mempersiapkan minda anak agar tahu yang dia adalah seorang pekerja bukannya majikan.

"Sebenarnya untuk mendidik anak pertama dan kedua memang mudah kerana mereka membesar dalam keadaan saya susah.

"Tapi lebih mencabar untuk mendidik anak-anak kecil kerana mereka lahir dikelilingi kemewahan. Depan saya memang mereka ambil makanan sendiri, tapi di belakang semuanya pembantu rumah yang uruskan, itu yang saya takut sebenarnya," katanya yang sejak setahun lalu menukar imej dengan mengenakan purdah.

Namun khusus untuk fotografi sempena Hari Ibu ini, Rozita bersedia untuk membukanya seketika.

"Saya berpurdah sebagai satu hijrah peribadi di samping mahu mengelakkan fitnah. Saya sedar apabila saya tampil sebegitu ada cerita-cerita negatif yang mengatakan muka saya rosak, cucuk botox dan sebagainya. Terserahlah pada anggapan mereka selagi sayu tahu niat saya," katanya..

Pandangan anak terhadap ibu

Bagi Noorhayati pula, dia memang mengagumi ibunya luaran dan dalaman selain memandangnya sebagai seorang ibu yang mempunyai pakej lengkap.

"Jika seorang ibu yang tidak mempunyai visi dan misi untuk anak dia hanya tahu melahirkan dan membesarkan tanpa meletakkan satu sasaran kepada anak-anak mereka.

"Sebab itu sampai satu peringkat umur, anak-anak dilepaskan kerana ibu mereka yakin yang mereka boleh membuat keputusan sendiri, padahal sebenarnya ibu perlu membimbing anak sampai bila-bila.

"Pada saya pula, ketika berusia 11 tahun saya tidak begitu bersifat feminin, tapi ibu mengajar saya agar hargai diri sebagai perempuan dan perlu menjaga tingkah laku sebagai perempuan. Dia memang tegas dan setiap inci kehidupan saya diatur dengan sebaiknya agar saya dapat jadi seorang wanita yang berdikari dan berjaya.

"Mak juga sering mengingatkan bahawa setinggi mana pun taraf seorang perempuan, dia perlu tahu asas dan tanggung jawab sebagai isteri, anak dan ibu," jelas ibu kepada Noor Uzma Raisah ini penuh bersemangat.

Noorhayati juga kagum dengan pendekatan ibunya mendidik anak di mana ibunya akan bercakap secara terus terang tanpa berkias.

" Sebagai wanita, mak berpesan kekuatan mental adalah yang paling utama.

"Mak juga sering mengingatkan saya bahawa hidup ini akan lebih gembira jika kita berpegang kepada cara Islam dan ajaran Rasulullah.

"Saya percaya apabila asas agama kuat maka ikatan kekeluargaan juga akan kuat secara tidak langsung," ungkap Noorhayati.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:27
Maghrib 7:01
Isyak 8:15



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.