saya nak baca ..

POLITIK


ARKIB : 12/05/2010

Lagi pemimpin keluar PKR


Fauzi Muda menunjukkan surat penggantungan status perwakilan beliau semasa sidang media mengumumkan dirinya keluar dari PKR di Ipoh, semalam. – utusan/Mohd. Najib Mohd. Nor


IPOH 11 Mei – Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda, 51, hari ini meletakkan semua jawatan dan mengisytiharkan keluar dari parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Serentak itu, beliau mengumumkan PKR Ipoh Barat akan dibubarkan kerana lebih daripada dua pertiga Ahli Jawatankuasanya termasuk sayap Wanita, mengambil tindakan serupa.

Katanya, buat permulaan, sekurang-kurangnya 500 daripada 2,000 ahli dari 22 cawangan cabang itu akan menurut jejaknya.

‘‘Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya meninggalkan parti kerana PKR sekarang mempunyai terlalu banyak masalah yang tidak mampu dibendung dan diatasi oleh kepimpinan.

‘‘Saya dapati PKR sekarang sudah hilang arah perjuangan asal kerana terdapat ‘syaitan-syaitan besar’ dan ‘petualang-petualang’ yang sedang bermaharajalela dalam parti khususnya di Perak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Fauzi sebelum ini pernah membuat dakwaan bahawa dia telah ditawarkan RM50 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menarik ahli dewan undangan negeri (ADUN) pakatan pembangkang di negeri ini melompat parti.

Kenyataan itu dibuat ekoran tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu meletak jawatan dan keluar dari PKR.

Fauzi juga dituduh oleh penyokong pakatan pembangkang sebagai individu yang bertanggungjawab dalam memujuk Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri meninggalkan PKR pada Mac lalu.

Menurut Fauzi yang sudah 10 tahun berjuang dalam PKR, dia mula memikirkan untuk mengambil keputusan tersebut selepas menjadi mangsa fitnah, umpat keji serta penghinaan termasuk dituduh sebagai ‘ejen UMNO’ dan ‘muka tembok’ oleh kumpulan ‘syaitan-syaitan besar’ yang cuba menyingkirnya dari parti.

Katanya, kemuncak penentangan itu apabila dia dihalang dari menghadiri Kongres Nasional Tahunan PKR di Kelantan pada 29 Mei ini sebagai perwakilan atas alasan mengeluarkan kenyataan akhbar mengkritik kepimpinan parti.

‘‘Saya telah dihasut untuk mengeluarkan kenyataan meminta Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuat sesuatu pada parti di Perak ekoran pelbagai masalah yang timbul.

‘‘Mereka hendak buang saya secara demokrasi tidak boleh kerana saya mendapat sokongan padu daripada ahli PKR Cabang Ipoh Barat dan oleh itu, mereka meminta PKR Pusat mengambil tindakan disiplin ke atas saya,” katanya.

Ditanya mengenai kumpulan ‘syaitan-syaitan besar’ itu, Fauzi berkata, kumpulan tersebut juga yang menyebabkan Jamaluddin dan Mohd. Osman bertindak keluar dari parti sebelum ini.

Katanya, gerakan kumpulan ‘syaitan-syaitan besar’ untuk menguasai PKR di Perak sudah bermula pada 2002 tetapi cubaan mereka gagal selepas tewas pada pemilihan parti.

‘‘Namun apabila Osman Abdul Rahman dan Ismail Yusof meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PKR negeri, bermulalah pelbagai masalah dan budaya politik dalam parti juga sudah berubah.

‘‘Kumpulan ‘syaitan-syaitan’ ini mendapat sokongan pimpinan pusat, jadi seolah-olah mereka ini mendapat restu dari pusat,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau tidak bimbang dituduh menerima ganjaran untuk keluar parti, Fauzi berkata, ia sudah dijangkakan.

‘‘Saya hendak tunggu apa mereka hendak cakap dan akan berhujah balik serta mendedahkan kepada rakyat satu persatu mengenai siapa mereka yang berada dalam PKR Perak sekarang,” katanya.

Ditanya sama ada akan menyertai UMNO selepas ini, Fauzi memberitahu, beliau tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini tetapi akan terlibat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

‘‘Saya akan teruskan karier politik melalui Pertubuhan Kebajikan Tindakan Suara Rakyat Negeri Perak yang akan saya tubuhkan dalam masa terdekat,” katanya.

Difahamkan, Fauzi akan mengadakan satu lagi sidang akhbar pada Jumaat ini untuk mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai AJK PKR Cabang Ipoh Barat dan pembubaran cabang tersebut.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:18
Asar 4:44
Maghrib 7:27
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.