saya nak baca ..

SASTERA


ARKIB : 16/05/2010

Kesan Natrah pada politik masa kini

Biografi Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata daripada tangan Fatini Yaacob dapatlah dianggap salah sebuah yang terbaik daripada sekian banyak biografi dan memoir yang terbit kebelakangan ini. Baiknya biografi ini kerana sumbangan penulisnya dalam mendokumentasikan salah satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan pelbagai kaum negara ini.

Bagusnya biografi ini sebab kita sedang berdepan dengan senario yang sama pada masa ini. Moleknya buku ini kerana penulisnya dapat mendampingi subjek utama dalam kisah yang penting ini.

Peristiwa Natrah bukanlah sesuatu yang baru kepada kebanyakan daripada kita. Sebahagian orang menganggapnya suatu kisah lapuk yang sudah tidak lagi dikenang orang. Namun Fatini mengubah persepsi ini dengan membuktikan bahawa peristiwa Natrah adalah suatu kisah besar, krisis antarabangsa dan wajar dibaca oleh setiap daripada kita. Cuma, apakah setelah diterbitkan, buku ini mampu menarik perhatian pembeli? Khalid Mazlan, penerbit buku ini mengesahkan biografi Natrah ini terjual 7,000 naskhah hanya beberapa bulan selepas diterbitkan. Nyatalah bahawa kes Natrah masih mampu dijual kepada masyarakat selepas enam puluh tahun berlalu. Dan ini suatu kejayaan bagi penulis dan penerbit buku ini!

Seluruh buku ini mengisahkan liku-liku kehidupan yang ditempuhi oleh Natrah. Beliau lahir di Bandung, Indonesia dalam keluarga Belanda. Ayahnya Andrianus Petrus Hertogh manakala ibunya bernama Adeline Petrus Hertogh.

Menurut Fatini, kes Natrah berprofil tinggi dan mendapat perhatian masyarakat antarabangsa apabila pada usia 13 tahun beliau dikahwinkan dengan Mansor Adabi yang berusia 22 tahun dalam suatu pernikahan secara Islam. Dalam penghakiman itu, tiga aspek penting dalam kes ini ialah isu domisil, hak penjagaan anak dan soal murtad. Kepada masyarakat pula ada dua perkara yang membuat suratkhabar jadi laris macam pisang goreng: penghakiman dan rusuhan akibat kemarahan rakyat khususnya orang Melayu. Kerana Natrah dan Mansor yang disatukan dalam perkahwinan kulit putih dengan kulit berwarna, penjajah dan negara yang dijajahnya bertembung, penganut Islam dan Kristian bertarung, budaya Timur dengan Barat bersabung. Semua ini menjadi ramuan yang cukup untuk melariskan akhbar dan mengajak orang berarak dan merusuh di jalan raya Singapura pada 11 dan 12 Disember 1950. Apatah lagi ketika itu semangat nasionalime sedang memuncak di kebanyakan negara yang dijajah khususnya di Asia Tenggara.

Mahkamah yang melaksanakan undang-undang sivil Inggeris telah memisahkan Natrah daripada ibu angkat dan suaminya. Penghakiman yang dibuat telah memulangkan gadis sunti bernama Maria ini kepada keluarga kandungnya dan bermulalah rusuhan kaum di Singapura. Masyarakat menjadi marah apabila mandapat tahu Natrah dikristiankan semula dan akhbar propenjajah khususnya The Straits Times dan Singapore Standard menghina agama Islam. Cinta peribadi dua manusia Natrah-Mansor kemudian menjadi cinta milik seluruh masyarakat Islam di Tanah Melayu. Rusuhan yang berlaku adalah kemuncak pembelaan masyarakat Islam bagi mempertahankan iman dan keislaman Natrah yang dianggap saudara seagama, dan juga demi membela maruah agama Islam.

Kekuatan biografi ini disebabkan penulisnya dapat menemui lapan daripada sepuluh orang anak-anak Natrah selain dapat juga bertemu kedua-dua suami Natrah, Mansor Adabi dan kemudiannya Johannes Gerardus Wolkenfelt serta ramai lagi manusia yang mengelilingi kehidupan Natrah. Fatini juga mendapat capaian langsung ke atas surat-surat peribadi yang penting bagi penulisannya. Salah satu bahan bacaan yang penting ialah tulisan Dr. Tom Eames Hughes, pegawai kebajikan Inggeris yang bertanggungjawab menjaga kebajikan Natrah ketika ditempatkan sementara waktu di Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura. Beliau menerbitkan pengalamannya dengan Natrah dan Che Aminah dalam bukunya berjudul Tangled Worlds - The Story of Maria Hertogh. Sebuah lagi buku yang turut membantu Fatini menggarap kisah Natrah dengan lebih melebar dan meluas ialah Tragedi Natrah oleh Haja Maideen, ahli perniagaan yang kenal baik dengan Mansor Adabi.

Suatu aspek penting yang telah diangkat oleh penulis dalam biografi ini ialah sikap pemimpin Melayu yang bersatu memperjuangkan kesucian Islam tanpa mengira sama ada mereka datang daripada sebelah kiri atau pun kanan. Orang UMNO menyanggah seruan dan membelakangkan keputusan Dato' Onn agar jangan terlibat dalam isu Natrah. Ahli UMNO meletakkan agama Islam melebihi kepentingan politik dan pemimpin. Dengan itulah menjadi salah satu sebab Dato' Onn kehilangan pengaruh sehingga terpaksa meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO.

Walaupun perjuangan untuk Natrah diterajui oleh Dr. Burhanuddin Helmy dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dianggap sebagai parti kiri semasa itu, namun ahli-ahli UMNO semasa itu seperti Sardon Jubir, Darus Sharrif yang juga jawatankuasa UMNO Johor dan Geylang Singapura turut sama berada dalam Jawatankuasa Tindakan Natrah (JKTN). Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn kemudian meneruskan usaha perjuangan membebaskan mereka yang dijatuhi hukuman gantung kerana merusuh selepas semua JKTN dipenjarakan.

Tunku Abdul Rahman yang mengambil alih kepimpinan UMNO kemudian bergabung tenaga dengan Dr. Burhanuddin Helmy, Yang Dipertua PAS bagi membela Islam dalam isu Natrah. Sikap dua pemimpin parti Melayu terbesar ini yang mengetepikan kepentingan politik masing-masing akan terus menjadi contoh yang patut diteladani oleh setiap pemimpin bangsa Melayu pada masa akan datang. Orang Melayu yang menyertai rusuhan datang daripada UMNO, PKMM, Hizbul Muzlimin dan anggota parti politik lain di Singapura ketika itu sehingga menjadi suatu peristiwa ulangan perpaduan bangsa Melayu ketika menentang Malayan Union pada tahun 1946.

Peluang

Sekiranya orang Melayu mempergunakan peluang keemasan yang telah mempertemukan mereka dalam isu Natrah itu, tentulah British dapat diusir dengan lebih awal. Jika usaha mereka tidak terhenti hanya setakat memperjuangkan Natrah tetapi menukarnya menjadi gerakan massa ke arah menghalau Inggeris tentulah kita dapat merdeka lebih awal. Sayangnya peluang itu tidak dipergunakan dengan sebaiknya oleh semua pemimpin. Fatini memetik kata-kata Sukarno, "Sejarah datang dan pergi, namun hanya bangsa yang berjiwa besar sahaja yang tahu menangkap saat-saat sejarah!"

Fatini lahir kira-kira sedekad selepas rusuhan Natrah di Singapura. Tiga puluh tahun kemudian beliau menerbitkan secara bersiri tulisannya tentang Natrah di Dewan Masyarakat. Dua puluh tahun selepas itu barulah buku ini sampai ke tangan kita. Banyak sekali bahan tambahan yang dimuatkan oleh penulis dalam buku ini justeru biografi ini menjadi bacaan wajib kepada kita semua. Sungguhpun mahkamah memihak kepada keluarga asal Natrah, Mansor Adabi kehilangan isterinya dan Che Aminah kehilangan puteri angkat yang disayanginya. Buku yang ditulis oleh Fatini ini telah menyingkap seribu rahsia di belakang tabir peristiwa yang ditangisi oleh ribuan orang di jalan-jalan raya Singapura. Daripada tulisan Fatini dapatlah kita ketahui bahawa seluruh jiwa raga Natrah menderita apabila dilarikan ke Belanda. Cintanya pada suami di Singapura dan keluarganya di Kemaman tidak pernah luntur. Hidupnya dalam kemiskinan di Belanda telah memberikan tekanan jiwa dan psikologi yang amat berat untuk ditanggungnya sendiri.

Kisah dalam biografi Natrah ini membabitkan pengorbanan wang ringgit dan harta benda yang dihimpun menjadi derma bagi membiaya kes Natrah di mahkamah. Tersisip di dalamnya pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit oleh pejuang-pejuang Natrah seperti Karim Ghani, Dr. Burhanuddin Helmi, Mohd Taha Kalu, Tunku Abdul Rahman, Hussien Onn, Ahmad Ibrahim dan ramai lagi. Di kemuncak segala ini adalah mengorbankan kepentingan peribadi dan politik.

Buku ini hadir tepat pada waktunya ketika kedudukan Islam di negara ini agak tergugat dengan pelbagai cabaran. Karya Fatini ini mengajak pemimpin Melayu memartabatkan semula Islam di tempatnya, terutama dalam politik dan perundangan negara kini. Di belakang tabir kisah Natrah ada perjuangan yang lebih hebat, daripada sekadar kisah sedih hidup Natrah dan kisah cinta Natrah dan Mansor Adabi. Dan semua ini tidak ada di dalam majalah Dewan Masyarakat dua puluh trahun lalu.

Karya Fatini ini mengajak kita berfikir: dulu musuh politik dan agama kita adalah jelas iaitu penjajah, sekarang kita jadi bingung kerana keadaan kuasa yang semakin terancam walaupun kuasa masih ada di tangan kita. Kuasa majoriti yang kita pegang semakin goyah kerana perpecahan sesama kita. Penghinaan terhadap Islam sekarang berlaku dari dalam dan luar diri kita. Fatini nampaknya secara sinis mengusulkan pemimpin kita agar duduk semeja, berdamai dan berunding demi hasrat yang lebih besar - meleburkan kepentingan parti demi survival Islam dan kepentingan orang Melayu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.