saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/05/2010

Selesa di koc merah jambu


Lega... Dengan adanya koc wanita penumpang-penumpang wanita kini tidak lagi perlu bersesak-sesak dengan penumpang lelaki.


MENGHARUNGI perjalanan pergi dan balik selama dua jam 30 minit dari stesen KL Sentral - Pelabuhan Klang - KL Sentral dengan komuter merupakan satu pengalaman berbeza. Bagi mereka yang tiada pengalaman menggunakan pengangkutan awam itu tentu tidak boleh membayangkan bagaimana azabnya para penumpang bersesak-sesak seperti sardin dalam setiap gerabak.

Bagi penumpang wanita ia sudah tentu ia lebih mengazabkan. Bukan sahaja perlu bersesak dan kadang-kadang berebut-rebut dengan lelaki untuk masuk ke gerabak, tetapi terpaksa berhimpit-himpit.

Ada ketikanya disebabkan penumpang terlalu ramai penumpang wanita dihimpit lelaki. Ia sampai ke tahap dada bersentuh dada dan belakang bergeselan.

Situasi itu cukup meruncing pada waktu puncak iaitu dari pukul 6.30 pagi hingga 9 pagi dan pukul 4 petang hingga 8 malam.

Dalam keadaan sesak dan berhimpit-himpit itu ada pula insan-insan gatal mengambil kesempatan meraba penumpang wanita yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Ini menyebabkan perjalanan untuk pergi dan balik kerja cukup menyiksakan. Ia boleh menyebabkan trauma.

Selain gangguan seksual dalam keadaan sesak dan berhimpit itu penumpang wanita juga terdedah kepada risiko jenayah ragut dan seluk saku.

Kalau diberi pilihan, mereka tentunya tidak sanggup berhadapan dengan keadaan itu setiap hari.

Bukan tidak pernah mengalami insiden-insiden kurang menyenangkan seperti diraba, mangsa seluk saku dan diragut, tetapi apa pilihan yang ada? Ini saja pengangkutan yang mudah, cepat dan murah.

Sebab itu apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan gerabak khas atau koc untuk wanita mulai 28 April lalu ia merupakan satu kelegaan kepada golongan Hawa.

Pengenalan koc berwarna merah jambu itu sebenarnya bukan penyelesaian kepada isu sesak dan berhimpit-himpit.

Tetapi sekurang-kurangnya penumpang wanita tidak perlu bersesak dan berhimpit dengan lelaki terutama warga asing .

Penumpang wanita yang ditemui suka dan selesa dengan pengenalan koc khas itu.

Ia ibarat 'pucuk dicita ulam mendatang'.

Walaupun langkah KTMB itu agak ketinggalan kerana banyak negara lain seperti India, China dan Kanada sudah laksanakannya namun bak kata orang, lebih baik lambat daripada tiada.

Usaha itu harus di puji kerana ia menunjukkan KTMB yang merupakan antara penyedia pengangkutan awam utama di negara ini prihatin dengan masalah pengguna mereka.

Perlu diingat bahawa wanita mewakili kira-kira 60 peratus penumpang yang menggunakan khidmat komuter KTMB setiap hari.

Maka amat wajar jika masalah mereka yang membabitkan insiden raba, seluk saku dan ragut diatasi KTMB dengan menyediakan koc khas itu.

Tinjauan Mega mendapati, penumpang wanita kini lebih selesa. Selain itu keselamatan dan kehormatan mereka lebih terjamin walaupun masih terpaksa berhimpit-himpit. Tetapi berhimpit dan bersesak-sesak sesama jantina.

Koc khas untuk wanita itu juga tidak sukar untuk dikenalpasti.

Selain berwarna merah jambu ia ditampal dengan pelekat warna sama yang tertera Koc Wanita, Wanita Sahaja Sepanjang Masa di tingkap, pintu dan dalam tren.

Jadi tidak ada alasan untuk penumpang terutama lelaki tersalah koc.

KTMB turut mengambil inisiatif membuat pengumuman setiap kali tibanya komuter untuk ke satu-satu destinasi.

Di KL Sentral sendiri terdapat tiang-tiang menunggu khusus untuk penumpang wanita yang juga warna merah jambu.

Pada setiap stesen sepanjang perjalanan ke Pelabuhan Klang juga terdapat kain rentang tempat menunggu untuk penumpang wanita.

Bagaimanapun masih ada penumpang lelaki yang terbabas atau salah masuk ke koc wanita itu.

Ia mungkin disebabkan mereka tidak peka dengan pengumuman dan laporan media berhubung dengan koc khusus untuk wanita itu.

KTMB turut menempatkan petugas untuk menyelia dan memberi panduan kepada penumpang.

Yang pasti koc merah jambu itu boleh dianggap pengiktirafan terhadap golongan wanita.

Sebagai tenaga kerja utama dan antara penyumbang kepada ekonomi negara keselamatan dan keselesaan ketika mereka berulang-alik ke tempat kerja perlu diutamakan.

Penumpang wanita yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan dan gangguan seksual sememang berhak mendapat keistimewaan ini.

Walaupun terdapat koc yang khusus untuk wanita, mereka juga boleh menggunakan koc lain untuk semua jantina.

Untuk pengetahuan, koc wanita bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang merupakan projek fasa pertama.

Dengan maklum balas baik, pihak KTMB telah memperluaskan perkhidmatan tersebut untuk laluan Rawang-Seremban bermula 15 Mei.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.