saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/05/2010

Mampukah 'gas nyalakan api' membakar semangat ahli-ahli MIC?

RABU lalu, penulis menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memohon liputan sidang akhbar Timbalan Ketua Pemuda MIC, V.Mugilan. Sidang akhbar itu diadakan sehari selepas S. Samy Vellu mengumumkan pelan persaraannya sebagai Presiden MIC. Samy Vellu yang menerajui MIC selama 31 tahun mahu bersara dalam tempoh lapan atau sembilan bulan sebelum penggalnya berakhir pada Mei 2012. Ketika menerima SMS sidang akhbar itu, apa yang terlintas pada fikiran penulis ialah sama ada Mugilan akan menyatakan sokongan kepada Presiden atau mendesak Samy Vellu cepat-cepat meletak jawatan. Akhirnya hasil sidang akhbar itu Mugilan mendesak Samy Vellu berundur sebelum akhir tahun ini. Sahabat berkenaan sekali lagi menghantar SMS mengatakan Mugilan akan menjadi 'hero' tetapi penulis membalas bahawa tidak ada 'hero' dalam MIC yang mampu kekal lama.

Lambat laun, mereka akan kecundang sama ada dikenakan tindakan disiplin - digantung, dipecat atau 'dijatuhkan' secara terhormat. Jangkaan itu tepat kerana pada hari yang sama, Samy Vellu tampil dengan kenyataan bahawa beliau tidak akan mengubah fikiran mengenai pelan persaraannya. Sebaliknya beliau memberitahu bahawa Mugilan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin MIC kerana melanggar kepentingan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor pada 25 April lalu. Samy Vellu tidak mengambil masa yang lama apabila lewat petang penulis mendapat satu lagi SMS mengatakan Mugilan sudah dipecat. Walaupun berita itu belum sahih tetapi khabar itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Mengikuti sejarah dalam MIC, perkara seperti itu adalah lumrah. Akhirnya menjelang tengah malam, 'hero' baru MIC itu 'tewas' juga di tangan Samy Vellu.

Menyelak kembali politik MIC, ramai yang cuba menjadi 'hero' akhirnya kecundang. Sekadar menyebut beberapa nama seperti M.G Pandithan, K.Pathmanaban dan S.Subramaniam. Tiga serangkai ini cuba 'menentang' Samy Vellu tetapi ia berakhir dengan ada di antaranya 'dihukum' sama ada dipecat atau tidak diberi jawatan dalam kerajaan dan parti. Kini tanpa kedudukan dalam parti, mampukah Mugilan dan rakan-rakan yang senasib dengannya 'menyalakan gas' untuk 'membakar semangat' ahli-ahli mendesak Samy berundur lebih awal?

Gerakan Anti-Samy Vellu atau GAS digerakkan oleh Mugilan kononnya mahu menyelamatkan MIC. Satu perhimpunan akan diadakan di Kuala Lumpur hujung minggu ini mendesak Samy Vellu berundur dengan segera. Khabarnya 7,000 orang dijangka berkumpul.

Mugilan mungkin mempunyai kekuatan di belakangnya tetapi berapa ramai ahli MIC yang berani tampil?

Harus diingat hampir 100 peratus anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipilih adalah senarai yang ditentukan oleh Samy Vellu.

Jika Mugilan mampu menggerakkan ahli-ahli MIC sendiri untuk berbuat demikian dan membawa kepada tersungkurnya Samy Vellu, maka ia memang wajar digelar 'hero'.

Sebenarnya peluang pertama untuk memaksa Samy Velu berundur muncul ketika pemimpin masyarakat atau Makkal Thalaivar iaitu Subramaniam mencabar jawatan Presiden itu pada pemilihan yang diadakan pada 1989. Pertandingan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati Subra berikutan tindakan menutup cawangan-cawangan MIC. Beliau juga mendakwa kira-kira 60,000 ahli dipecat. Semalam Subra menambah angka itu kepada 100,000 orang, peningkatan kepada 40,000 lagi dalam tempoh 20 tahun selepas 1989.

Peluang kedua yang dianggap paling sesuai untuk 'memaksa' Samy Vellu berundur ialah pada pemilihan Mac lalu berikutan terdapat banyak desakan dari dalam dan luar parti supaya beliau berundur selepas prestasi buruk MIC yang turut menyaksikan beliau serta timbalannya dan naib presiden kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Ketika itu, mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad menyarankan supaya Samy Vellu berundur. Malangnya tidak ada yang berani menawarkan diri dan Samy Vellu kekal untuk penggal ke-11 sebagai Presiden. Peluang Subra ketika itu ada tetapi disebabkan kenyataan Samy Vellu bahawa beliau akan bersara selepas pemilihan jawatan Timbalan Presiden menyebabkan Subra tidak mahu menawarkan diri sebaliknya sekadar merebut kembali jawatan No.2. Baginya adalah lebih baik membantu Presiden untuk memulihkan kembali keyakinan masyarakat India dan rakyat terhadap MIC sebelum peralihan berlaku.

Malangnya selepas pemilihan timbalan presiden, tidak ada perubahan sehinggalah kenyataan terbuka Samy Vellu baru-baru ini.

Mungkin jika MIC masih mempunyai orang seperti Pandithan, Pathmanaban, Subramaniam, V.Govindaraj, M. Muthupalaniapan, Mugilan, V.Subramaniam atau Barat Maniam dan ramai lagi yang sudah kecundang kerana 'mencabar' Samy Vellu, maka akan lebih mudah Samy Vellu diturunkan. Tetapi adakah keadaan sekarang sudah terlewat?

Sejak dicabar pada pemilihan 1989, Samy Vellu hanya dicabar sekali lagi pada 1992 manakala selebihnya beliau menang tanpa bertanding. Begitulah kekuatan Samy Vellu.

Kini, persoalan sekarang bilakah tarikh sebenar Samy Vellu akan berundur. Ketika UMNO dan MCA (malahan MCA sudah dua kali bertukar Presiden) melakukan perubahan selepas tsunami politik 2008, MIC masih di takuk lama. UMNO juga 'bergolak' mengenai pelan peralihan ini tetapi akhirnya dapat diselesaikan dengan baik berikutan sikap tolak ansur yang ditunjukkan oleh pemimpin. Benarkah Samy Vellu kebal dengan jawatannya atau tidak ada sesiapa yang mampu menegurnya?

Mungkin kebanyakan ahli MIC hanya mengharapkan tarikh yang tepat dan cepat untuk melihat pengunduran Samy Vellu. Tempoh tersebut pula harus mampu memberi ruang kepada timbalannya untuk bekerja mendapatkan semula sokongan rakyat seperti yang sedang dilakukan oleh UMNO selepas peralihan kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib Tun Razak. Perlu diingat tempoh untuk jawatan Timbalan Presiden akan berkahir menjelang 2012 yang juga menjelang PRU Ke-13. Adakah Samy Vellu akan menggunakan alasan PRU untuk sekali lagi menangguhkan persaraannya sekaligus menamatkan penggal jawatannya? Timbul juga persoalan siapakah yang akan mengambil alih Presiden apabila beliau tidak menamakan timbalannya, G.Palanivel? Mungkinkah Palanivel terpaksa melalui satu lagi ujian sebelum melangkah ke jawatan Presiden?

Samy Vellu perlu mendengar bisikan hati ahli-ahli parti dan masyarakat India seluruhnya. Beliau perlu bersedia menerima hakikat.

Ramai rakan seangkatannya dalam politik dan Kabinet kini berada di luar arus perdana. Beliau sudah banyak mencipta rekod. Jasanya kepada masyarakat India memang tidak boleh dinafikan walaupun kadangkala ada juga kebencian.

Eloklah ketika jasanya masih dikenang dan ketika pengorbanannya masih dihargai dan dirasai, beliau seharusnya mengambil keputusan yang tepat. Beliau perlu mengelak daripada menerima 'hukuman' seperti yang berlaku pada PRU lalu di Sungai Siput. Cukuplah masyarakat India dengan parti-parti politik yang ada hasil perpecahan dalam MIC. Jika dulu masayrakat India hanya ada MIC, kini jumlah parti politik kaum itu terus bertambah. Kebanyakannya dipimpin oleh bekas pejuang dalam MIC. Paling menonjol tentulah Barisan Progresif India (IPF) yang diasaskan oleh Pandithan. Parti serpihan juga wujud di bawah pimpinan bekas Naib Presiden, Govindaraj dan bekas Naib Ketua Pemuda, S.Nallakarupan.

Apakah akan ada lagi parti politik serpihan MIC selepas ini? Jika berlaku, entah apa akan terjadi pada PRU Ke-13 nanti. Mungkinkah ketika itu MIC boleh dikecualikan?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.