saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 27/05/2010

Program PMTCT penyelamat bayi


Aini (bukan nama sebenar) bersyukur anak yang baru dilahirkannya tidak 'mewarisi' virus HIV yang dibawanya.


SETIAP ibu mengandung pasti mahukan anak yang lahir dikurniakan kesihatan yang sempurna. Begitu juga dengan Aini (bukan nama sebenar) yang setiap hari selepas solat akan berdoa agar kandungan yang bakal lahir sihat tanpa sebarang penyakit.

Masih jelas di fikiran Aini, pada tarikh dia disahkan mengandung - satu berita yang menggembirakan dirinya - pada masa yang sama dia turut dikejutkan dengan berita bahawa dalam tubuhnya terdapat virus HIV positif.

Ini bermakna kebarangkalian Aini 'mewariskan' virus tersebut kepada bayi yang dikandungnya adalah tinggi sekiranya dia gagal mendapatkan rawatan sewajarnya semasa mengandung.

Akhirnya tempoh 40 minggu dilalui Aini dengan penuh pengharapan serta pergantungan kepada Allah SWT.

Seorang bayi lelaki yang sihat telah lahir ke muka bumi. Doa dan naluri keibuan Aini telah dimakbulkan oleh Yang Maha Berkuasa. Bayi sihat itu diberi nama Amir disahkan doktor bebas daripada virus berbahaya tersebut.

"Alhamdulillah," itu kata-kata yang keluar dari mulut Aini sebaik mendengar berita baik tersebut.

"Ini umpama satu keajaiban dari Allah. Apabila doktor memaklumkan kepada saya bahawa bayi saya tidak akan mendapat virus yang ditanggung oleh saya dan suami, kami amat bersyukur.

"Dalam masa yang sama saya amat berterima kasih kepada para doktor, jururawat dan kerajaan Malaysia kerana memberikan perubatan dan rawatan sebaik mungkin kepada saya ketika mengandung," luah Aini.

Program PMTCT

Dalam era di mana penghidap AIDS dan pembawa virus HIV semakin meningkat, wujudnya program menghalang penularan daripada ibu ke anak atau Prevention-of-Mother-to-Child-Transmission (PMTCT) memang tepat pada masanya.

Ia umpama penyelamat kepada bayi yang dikandung oleh ibu yang disahkan mempunyai HIV positif.

Wakil Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) di Kuala Lumpur, Hans Olsen berkata, sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 1998, seramai 4.1 juta ibu mengandung di seluruh dunia telah mengikutinya.

Ini sekali gus memberikan harapan positif kepada bayi mereka untuk hidup sihat dan normal seperti bayi lain.

Di bawah program itu juga, setiap ibu mengandung yang mengunjungi klinik ibu mengandung kerajaan akan diminta menjalani ujian HIV.

Sesiapa yang didapati positif membawa virus tersebut akan diberikan kaunseling serta rawatan perubatan percuma sepanjang tempoh kehamilan.

Perkhidmatan tersebut juga merangkumi pemeriksaan untuk bayi yang baru lahir dan rawatan kepada ibu tersebut juga berterusan sepanjang hayat.

Menurut Olsen, berdasarkan kepada laporan Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini, PMTCT telah mencapai 49.7 peratus peningkatan dalam perlindungan kepada wanita dan bayi dalam kandungan mereka.

"Bila ibu mengandung berjaya mendisiplinkan diri dengan pengambilan ubat-ubatan, kesihatan bayi tersebut akan berterusan baik sehingga lahir dan seterusnya kepada proses menyusukan mereka. Boleh dikatakan PMTCT ini amat berkesan untuk melahirkan generasi bebas daripada AIDS," ujarnya.

Olsen menambah, dengan program tersebut juga, risiko untuk bayi dijangkiti virus menurun daripada 40 peratus kepada dua peratus sahaja.

Stigma 'membunuh' harapan bakal ibu

Walaupun kerajaan Malaysia nampaknya begitu berdedikasi untuk melindungi bayi dari HIV, Kementerian Kesihatan dan UNICEF dalam laporannya telah mencatatkan bahawa sasaran ini hanya sampai kepada ibu yang bermotivasi tinggi dan mempunyai risiko lebih rendah untuk dijangkiti virus tersebut.

Golongan sasaran yang sepatutnya seperti pekerja sosial, penagih dadah tegar, pekerja seks dan termasuklah imigran malangnya tidak begitu 'menerima' program PMTCT ini.

Dalam erti kata lain, golongan yang disebutkan di atas lebih khuatir akan stigma orang sekeliling terhadap status mereka.

"Saya agak takut," keluh pembawa HIV positif, Sharmila (bukan nama sebenar) yang tidak berdaya melakukan apa-apa untuk melindungi bayi dalam kandungannya. Dia juga khuatir dengan penerimaan negatif masyarakat sekeliling.

"Bila saya tahu saya mengandung, saya amat takut untuk ke hospital, apa yang saya boleh buat jika ada sesiapa yang mengetahui saya menghidap HIV positif? Saya boleh kehilangan segala-galanya keluarga, kawan dan kerja. Ke mana saya boleh pergi? Siapa yang akan membantu saya?," soal Sharmila bertalu-talu.

Dengan pandangan mata sayu dan sesekali air matanya menitis, Sharmila berkata bayi yang dilahirkannya diberi nama Malini telah disahkan HIV positif.

Bagi wanita seperti Sharmila, apabila disahkan mempunyai virus HIV ibarat hukuman gantung bukan saja kepada dirinya malah bayi yang tidak berdosa.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk rawatan dan kesedaran namun stigma dan pandangan negatif sesetengah masyarakat itulah yang menjadi 'pembunuh semangat' serta menafikan hak ibu dan anak penghidap AIDS atau HIV positif.

Hak melindungi

Dalam hal ini menurut Olsen, terdapat beberapa perkara yang perlu dibuat untuk mengurangkan beban pesakit HIV dan AIDS di kalangan wanita mengandung.

"Ini termasuklah kempen kesedaran dan meningkatkan pendidikan tentang hak wanita. Di samping itu satu penyelesaian ringkas perlu dilaksanakan segera untuk memastikan golongan ini tidak terhukum dek stigma negatif sesetengah masyarakat," jelas Olsen.

Inovasi terkini untuk membantu ibu mengandung yang mempunyai HIV positif menangani dilema yang mereka hadapi adalah dengan kerjasama antara UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia dizahirkan menerusi pek khas untuk ibu dan anak. Pek tersebut akan diedarkan kepada lima buah negara di timur dan selatan Afrika bermula pertengahan Julai ini.

Bakal ibu akan mendapat panduan dan gambaran jelas tentang ubat-ubatan yang perlu diambil sebelum dan selepas bersalin demi memastikan bayi mereka bebas dari virus HIV.

Di Malaysia, UNICEF kini turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menguatkuasakan satu akses universal untuk perlindungan, rawatan dan penjagaan daripada HIV kepada wanita di negara ini.

Di bawah program ini, UNICEF turut berkolaborasi dengan pertubuhan lain bukan saja untuk melindungi hak wanita yang mempunyai HIV malah kempen pencegahan sebelum perkara malang tersebut terjadi kepada mereka.

"Strategi terbaik untuk melindungi bayi dari virus tersebut ialah dengan memastikan ibu dan bapa bebas virus HIV," tegas Olsen.

Tambahnya, program kesedaran tersebut sebenarnya bukan saja memfokuskan kepada wanita malah untuk lelaki juga.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.