saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 27/05/2010

Malaysia perlu diplomat berwibawa, disegani

BARU-BARU ini dalam satu sesi wawancara akhbar, Pengerusi Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDHL) Tan Sri Hasmy Agam, yang juga bekas diplomat kanan Malaysia berkata, "lupakan saja meminta mereka belajar bahasa asing atau menonjolkan Malaysia. Kebanyakkan pegawai diplomatik kita yang bertugas di luar negara bukan saja kekurangan kemahiran perhubungan awam tetapi juga terlalu pemalu apabila berjumpa pegawai dari negara-negara lain".

Barangkali, 'teguran' ini agak 'pedas' untuk didendangkan di telinga para pegawai diplomat Malaysia yang sedang berkhidmat sama ada di dalam mahupun di luar negara, tetapi jika diteliti dengan penuh mendalam, semua 'teguran' ini ada kebenarannya.

Tidak dapat dinafikan bahawa diplomat ialah jentera penggerak utama Kementerian Luar Negeri. Fungsi dan peranan yang dimainkan oleh mereka ini sangatlah penting terutamanya dalam konteks pengurusan dasar luar negara serta pengekalan yang berterusan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara asing.

Pun begitu, kita juga harus ingat bahawa jawatan sebagai diplomat bukanlah sesuatu yang bersifat 'elit', sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada jawatan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia yang dikenali sebagai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) di mana penjawatnya terdiri daripada mereka yang berkhidmat di dalam negara, selain dari Wisma Putra.

Sebagai penjawat awam, mereka tidak dapat 'lari' daripada dihinggapi oleh 'sindrom selesa' gara-gara persepsi bahawa sebagai penjawat awam, mereka tidak boleh 'dibuang' sewenang-wenangnya oleh kerajaan walaupun prestasi kerja mereka agak buruk atau kurang memuaskan.

Kini, sindrom selesa tersebut mungkin sudah pun menjangkiti segelintir diplomat Malaysia, dalam dan luar negara. Lebih teruk lagi, wujud persepsi bahawa jawatan sebagai diplomat adalah sesuatu yang bersifat 'elit', manakala tugasan atau 'posting' ke luar negara pula sering dikaittkan sebagai satu peluang untuk 'makan angin sekejap'.

Sesungguhnya, penyakit sindrom selesa ini tidak baik dan tidak elok sama ada bagi penjawat awam dalam negara mahupun penjawat awam diplomat kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan perkhidmatan awam Malaysia.

Oleh itu, persoalan bagaimana segelintir diplomat Malaysia boleh dijangkiti oleh sindrom selesa ini hingga menjejaskan kredibiliti mereka sebagai 'wakil Malaysia' mesti dikaji dan diberi perhatian sewajarnya.

Kegagalan mana-mana pegawai diplomat dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin tidak boleh diterima. Ia secara tidak langsung menggambarkan kegagalan negara serta boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat global.

Perkhidmatan luar negeri Malaysia sudah pun menjangkau usia lebih 53 tahun. Dalam 'usia' yang sebegini, Malaysia sepatutnya sudah boleh 'melahirkan' ramai diplomat yang berwibawa dan disegani di peringkat antarabangsa.

Ini bukanlah sesuatu yang mustahil, kerana perkhidmatan luar negeri Malaysia pernah memiliki beberapa orang diplomat yang terkemuka seperti Tun Ghazalli Shafie, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, Tan Sri Ajit Singh, Tan Sri Razali Ismail, serta beberapa nama lain yang tidak dapat disebutkan di sini.

Mungkin juga sudah tiba masanya untuk kerajaan memikirkan semula kebarangkalian untuk satu proses 'reformasi' secara besar-besaran di Wisma Putra yang membabitkan usaha-usaha seperti berikut:

  • Pemilihan calon-calon baru untuk jawatan diplomat secara 'meritokrasi' dan bukannya secara 'warisan' atau 'kronisme';
  • Penyusunan semula program latihan secara intensif dan berterusan untuk semua pegawai diplomat Malaysia pelbagai peringkat, di dalam dan di luar negara;
  • Mewajibkan semua pegawai diplomat menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa asing terutamanya salah satu bahasa utama di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selain daripada bahasa Inggeris;
  • Penyusunan semula jabatan, bahagian dan unit di Wisma Putra sejajar dengan kehendak keperluan semasa dan bersesuaian dengan peranan Malaysia di peringkat global pada masa kini;
  • Mengemas kini proses pemilihan dan pelantikan diplomat kanan, duta dan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke luar negara selaras dengan keperluan semasa dan untuk tujuan menjaga kepentingan negara, dan bukannya sebagai 'reward' untuk tujuan kenaikan pangkat; dan
  • Membuka peluang kepada penjawat awam lain dan golongan profesional yang berkelayakan untuk dilantik secara 'pinjaman' bagi sebarang perjawatan di Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di luar negara.
  • Sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk menjadi 'pemain utama' dalam politik global dan bukan lagi hanya sekadar 'pemain gantian'. Dalam usaha untuk mencapai hasrat ini, Malaysia sangat memerlukan diplomat yang berwibawa dan disegani yang bukan sahaja mampu menguruskan dasar luar negara, malah boleh berperanan sebagai simbol atau 'wakil' Malaysia di peringkat antarabangsa.

    Penulis ialah Pensyarah Sains Politik di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia

    Kongsi Konten di :

    Waktu Solat Kuala Lumpur
     
    Subuh 5:52
    Zuhur 1:17
    Asar 4:27
    Maghrib 7:22
    Isyak 8:32



     

    Dengar SuriaFM
    Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
    Riuh Rio Brazil 2014
    Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
    Tragedi Pesawat MH370
    Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
    KE7B Greenland 2014
    Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






    MENARIK
    Ruang iklan percuma hartanah, produk
    Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
    Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
    Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
    Aduan sukar dapat naskhah akhbar
    Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
    Gambar kahwin Album Raja Sehari
    Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
    Mari baca Utusan Melayu Mingguan
    Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
    SMS News Alert Utusan Malaysia
    Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.