saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 31/05/2010

Gula... Bukan sorok tetapi sekadar ‘simpan’

GULA. Di mana kau gula? Di kilang, di gudang pemborong, di stor peruncit/pekedai atau sedang ‘bersembunyi’ di kebanyakan rumah pengguna? Isu kekurangan gula muncul lagi. Di beberapa negeri, keadaan agak kelam kabut juga. Ada yang terpaksa menunjukkan sijil nikah dan ada pula perlu membeli barang bernilai RM100 sebelum layak membeli gula.

Di kebanyakan pasar raya, pembeli dihadkan membeli dua peket atau dua kilogram sahaja sehari. Tetapi untuk mendapat bekalan lebih, ada juga yang menghantar satu keluarga membeli gula. Kalau suami isteri campur dua anak, maka dapatlah dibeli lapan kilo gula sehari. Begitulah jadinya apabila gula menjadi masalah kepada orang kita. Isu yang tenggelam timbul ini membuatkan ramai yang resah kalau-kalau harga gula naik. Lebih-lebih lagi baru-baru ini muncul cadangan untuk menarik balik subsidi gula. Subsidi gula dijangka menyebabkan kerajaan menanggung kira-kira RM1 bilion tahun ini.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang sering mempertahankan pengguna juga bersetuju menghapuskan subsidi gula. Bukan kerana CAP tidak prihatin dengan masalah harga yang akan dihadapi pengguna tetapi CAP lebih sayangkan kehidupan pengguna. Sudah terbukti dalam dunia kesihatan, pengambilan gula boleh membawa kepada banyak masalah kesihatan. Penyakit kronik seperti diabetis memerlukan pengubatan jangka panjang dan akan menelan belanja untuk penjagaan kesihatan. Oleh sebab itu menurut CAP, menjadikan gula lebih mahal akan turut membantu mengurangkan subsidi kerajaan ke atas penjagaan kesihatan. Begitulah pendirian CAP sekalipun tindakannya itu tidak popular. Ini mungkin berbeza dengan pendekatan orang politik yang akan sentiasa mengambil kesempatan membelasah kerajaan lebih-lebih lagi apabila disebut subsidi mahu ditarik balik. Sebenarnya ada subsidi yang boleh ditarik segera dan ada yang secara perlahan-lahan. Subsidi ada kesan baik dan buruk.

Kembali kepada gula, kenapa bahan itu tidak pernah cukup dan menimbulkan masalah di pasaran? Mainan siapakah ini? Adakah pihak pengilang gagal mengeluarkan bekalan secukupnya? Adakah bahan mentah untuk menghasilkan gula semakin berkurangan? Jika bukan pengilang yang bersalah apakah pemborong yang punya angkara menyimpan gula untuk menimbulkan suasana yang membolehkan kerajaan menaikkan harga gula? Atau peruncit pula yang memainkan peranan untuk mencari untung lebih dengan ‘menyimpan’ (amat sensitif menggunakan istilah sorok) di stor milik mereka? Mungkinkah juga akibat pembelian panik menyebabkan pengguna pula ‘menyimpan’ (sekali lagi bukan menyorok) gula di rumah dalam kuantiti yang besar dan melebihi keperluan bulanan? Mungkin sehingga menjelang hari raya nanti? Atau angkara penyeludup yang menyeludup gula ke negara jiran seperti Thailand? Jika setiap daripada pengguna membeli dan menyimpan gula dalam kuantiti yang banyak sehingga melebihi keperluan maka bekalan gula akan menjadi semakin terhad di pasaran dan akhirnya berlakulah kekurangan bekalan.

Menurut satu laporan dari Pahang, pemantauan yang dilakukan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan terhadap peruncit dan pembekal di seluruh negeri itu, didapati bekalan gula sebenarnya cukup untuk menampung keperluan 1.6 juta penduduk di Pahang. Setiap bulan, sebanyak 1,700 hingga 1,900 metrik tan gula dibekalkan ke seluruh negeri dan ia merupakan kuantiti yang mencukupi Bagaimanapun bekalan gula di pasaran runcit menjadi cepat susut apabila pengguna membuat pembelian panik dan menyimpan gula di rumah dalam kuantiti yang banyak.

Pembelian panik disebabkan pengguna cemas kerana sukar mendapat bekalan dan secara tidak langsung memaksa mereka ‘mengutip’ gula dari satu kedai ke satu kedai. Mereka bimbang harga gula akan naik. Ini kerana pengalaman masa lalu menunjukkan apabila bekalan gula kurang maka akan berlaku kenaikan.

Jika bekalan cukup tetapi tidak ada di pasaran, adakah gula ‘dirampas’ di pertengahan jalan sehingga tidak sampai ke tangan peniaga atau peruncit?

Nampaknya kempen kurangkan gula tidak menjadi. Sama seperti kempen Tak Nak bagi mengurangkan tabiat merokok di kalangan perokok. Apabila harga rokok naik maka banyak pula penyeludupan rokok. Tetapi tidak ada pula gula diseludup masuk ke dalam negara kita. Hiasilah kotak rokok dengan label yang mengerikan tetapi perokok tetap tidak peduli itu semua. Apakah di peket gula nanti kita perlukan kempen yang akan menakutkan pembeli gula? Bagaimana agaknya apabila setiap peket gula nanti tertera gambar-gambar yang mengerikan mengenai penyakit akibat terlebih gula? Senaraikan juga risiko mengambil terlalu banyak gula. Tentunya setakat sehari dua terasa gerunnya tetapi apabila gula sudah masuk ke dalam balang kaca, hilanglah gambaran menakutkan itu. Dan apabila ‘gula’ (sama ada dalam bentuk gula atau sudah dicampur dalam susu) menjadi teh tarik, maka hilanglah rasa takut itu.

Akhirnya, bekalan gula tidak akan pernah cukup. Subsidi pula akan meningkat kerana di negara kita subsidi itu jugalah yang ‘menyara’ berjuta pendatang asing yang sedang mencari rezeki di sini.

Sebenarnya keperluan gula akan terus meningkat. Makanan dan minuman tidak dapat dipisahkan daripada gula. Menjelang cuti persekolahan minggu depan, banyak majlis kenduri kahwin akan diadakan dan permintaan gula dijangka meningkat. Begitu juga menjelang bulan Ramadan, permintaan akan bertambah lagi. Mungkin keadaan ini juga mempengaruhi orang ramai ‘menyimpan’ gula mulai sekarang. Sesuatu harus dilakukan bagi menyekat kebimbangan orang ramai ini. Pengguna harian mungkin menjadi mangsa kepada keperluan tinggi pengusaha makanan dan minuman.

Gula sudah sebati dalam kehidupan. Mungkin tidak sempurna hidup tanpa gula. Ramai yang belum bersedia minum minuman tanpa gula. Malahan dalam satu iklan menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010, seorang pelanggan di kedai mamak memesan ‘teh tarik kasi manis’. Sementara dalam filem Ahmad Albab, Sheikh Mashood lakonan AR Tompel yang mulanya memandang rendah terhadap gula akhirnya mengakui ‘kekuatan’ gula. Mungkin peminat filem P.Ramlee masih ingat cerita ini apabila Mashood dihadiahkan gula dan garam daripada Syawal lakonan P.Ramlee serta hadiah minuman kopi dan gulai tanpa gula dan garam hadiah Mastura (isteri Syawal lakonan Saloma). Selepas membuang gula dan garam yang dihadiahkan Syawal sempena majlis hari jadi, Mashood merasai kopi yang diberi oleh Mastura. Malangnya kopi itu tanpa gula. Kata Mashood:

“Kopinya sedap, pekat, hitam melekat tapi gula tak ada, tak ada makna.” Begitulah pentingnya gula.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.