saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 01/06/2010

Melaka ditubuh 1262, bukannya 1400 atau 1278?

MELAKA 31 Mei - Sejarah penubuhan Melaka berubah lagi!

Jika April lalu, sekumpulan penyelidik merumuskan sejarah penubuhan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278 tetapi kali ini tarikhnya berubah kepada 1262 dan bukannya 1400 yang menjadi rujukan sebelum ini.

Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai penubuhan dan pengasasan kerajaan Melayu Melaka diputuskan hasil kesepakatan menerima pendapat kajian selama setahun oleh sepasukan penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri menerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ketetapan lima resolusi telah diputuskan untuk menolak pendapat penulis-penulis terdahulu yang menyatakan Melaka diasaskan pada tahun 1400 masihi atau 1278 sebaliknya mengambil keputusan tarikh sebenarnya adalah pada 1262 masihi.

Menurutnya, keputusan itu dicapai pada Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan hari ini.

''Tahun 1262 adalah tarikh sebenarnya penubuhan kerajaan Melayu Melaka dan bukannya 1278 atau 1400. Keputusan ini adalah muktamad hasil daripada kajian oleh sekumpulan penyelidik sejak Jun 2009 yang bersepakat untuk menolak pendapat penulis-penulis terdahulu.

''Tarikh asal 1400 dan 1278 yang dikemukakan tidak mempunyai sandaran fakta yang kukuh sebagai tahun sebenarnya penubuhan kerajaan Melayu Melaka kerana tahun itu diperolehi daripada andaian dan tujuan penulisan berdasarkan sumber-sumber yang ada," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP di Hotel Everly Resort di sini hari ini.

Seminar sehari itu dihadiri kira-kira 250 orang peserta dari seluruh negara.

Mohd. Ali berkata, seminar tersebut turut bersetuju berdasarkan tulisan Sejarah Melayu, Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu (MS 18 Stamford Raffles), kerajaan Melayu Melaka telah diasaskan pada 660 hijrah bersamaan 1262 masihi.

Katanya, rumusan penyelidik telah menolak tahun 1400 dan 1278 sebagai tahun pengasasan Kerajaan Melayu Melaka kerana kesepakatan sarjana Barat (Portugis) bukan berdasarkan fakta sejarah.

''Ini juga termasuk Suma Oriental yang ditulis oleh Tom Pires pada 1512-1515 hanya berdasarkan pengumpulan maklumat menggunakan kaedah dengar dan cakap," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, hasil kajian yang diketuai oleh Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah UM itu akan dijadikan sebagai koleksi dan didokumentasi di Arkib Negara.

Katanya, keputusan yang diperoleh hari ini juga akan dimasukkan ke dalam Jurnal tempatan dan Antarabangsa.

Beliau menegaskan, kajian yang dilakukan itu berdasarkan daripada sumber bertulis, artifak dan lisan serta penyelidikan yang dijalankan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia.

''Antara tempat yang dilawati oleh penyelidik terbabit adalah Kepulauan Riau, Pulau Penyengat, Pulau Singkep, Pulau Lingga, Sumatera Selatan iaitu di Jambi dan Palembang serta Sumatera Barat di Padang dan Batu Sangkar," katanya.

Selain Dr. Abdullah Zakaria, jawatakuasa penyelidik terdiri daripada Naib Canselor KUIM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hashim, Dr. Zulkarnain Abdul Rahman (Ketua Jabatan Sejarah, Universiti Sejarah) dan Prof. Dr. Mohamad Redzuan Othman (Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM).

Penyelidik lain ialah Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (Jabatan Sejarah UM), Prof. Dr. Nordin Husin (Pengerusi, Program Sejarah, Politik dan Strategik), Prof. Dr. Noriah Mohamad (Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM), Prof. Madya Dr. Abd. Rahman Ismail (Universiti Sains Malaysia) dan Prof. Madya Ubaidilah Muhammed (Jabatan Pengajian Tiong Hua UM).

habis.../

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.