saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/06/2010

Terlajak cakap, pengundi merajuk, undi hilang, jawatan melayang

KATA orang kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Begitu juga dengan cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar- dengar.

Maknanya, lebih kurang apabila kita menuturkan sesuatu itu hendaklah berhati-hati supaya apa yang diucapkan tidak disalah tafsir atau menyinggung perasaan orang lain.

Kadang-kadang apa yang diucapkan itu juga boleh mencetuskan suasana yang kurang baik di kalangan masyarakat atau rakan-rakan dalam sesebuah organisasi.

Sejak kebelakangan ini, ada beberapa isu yang mencetuskan keresahan di kalangan masyarakat apabila sesuatu keputusan, ucapan, atau kenyataan dilontarkan.

Menyelak kembali apa yang dimaksudkan itu ialah mengenai kenyataan atau pengumuman yang melibatkan pihak kerajaan serta organisasi politik.

Antara isu yang melibatkan pihak kerajaan termasuklah berkaitan judi sukan bola sepak, Piala Dunia (Kementerian Kewangan), menghapuskan atau penarikan balik subsidi (Jabatan Perdana Menteri) serta nisbah 60:40 dalam projek pembangunan Kampung Baru (Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar). Di kalangan parti politik pula, yang menarik perhatian tentulah komponen dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MIC apabila ada di kalangan pemimpinnya mendakwa UMNO terlibat dalam apa yang dikatakan pembunuhan politik dalam isu Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) serta ancaman mahu meninggalkan BN.

Kesan kenyataan itu menyebabkan di kalangan pemimpin UMNO menganggap ia satu tindakan biadab. Pada masa yang sama ada pula suara-suara yang mengalu-ngalukan kesediaan MIC meninggalkan BN bagi membuka ruang lebih luas kepada parti-parti kaum India lain menyertai BN. Harus diingat banyak parti berasaskan kaum India seperti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Barisan Progresif India (IPF) telah lama 'mengetuk pintu' BN.

Turut menarik perhatian kerana 'terlajak kata' ialah penyingkiran S. Murugesan sebagai Setiausaha Agung MIC. Akibat menegur presiden parti, S. Samy Vellu, akhirnya beliau disingkirkan. Penyingkiran itu bukanlah satu kejutan. Pertama ia berlaku dalam MIC. Ramai yang terpaksa 'mengaku kalah' selepas mereka mengkritik kepimpinan parti. Dan kedua sebagai setiausaha agung, sudah tentu kenyataan itu tidak lagi menggambarkan kesetiaan kepada presiden. Maka apabila setiausaha dan presiden sudah bercanggah pendapat, maka tidak ada pilihan lain, salah seorang harus pergi. Tetapi bagi Murugesan, tentunya ia satu kepuasan kerana prinsipnya adalah jelas, kesetiaan ada batasnya.

Kembali kepada isu lesen judi bola, sepak Piala Dunia, banyak pihak yang menangguk di air keruh. Ketika Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussin mengemukakan hasrat kerajaan itu, maka tidak banyak reaksi yang diterima. Paling cepat memberi reaksi tidak setuju ialah Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang awal-awal lagi membantah. Sebaliknya apabila ia diluluskan, barulah berduyun-duyun yang membantah. Ada pula yang menjadikannya isu politik untuk menghentam kerajaan habis-habisan sehingga memberi gelaran yang tidak baik kepada pemimpin kerajaan. Dalam khutbah Jumaat juga dibangkitkan isu ini seolah-olah umat Islam akan terjebak dalam gejala judi sebaik sahaja sepak mula Piala Dunia 2010 antara pasukan tuan rumah Afrika Selatan dan Mexico bermula 11 Jun ini.

Kegagalan memberi penjelasan yang secukupnya pada peringkat awal mengenai isu ini menyebabkan kekalutan. Apa juga alasan yang diberikan mengenai lesen judi itu tidak dapat diterima oleh orang Islam. Haram tetap haram. Itu hakikat yang tidak ada tolak ansur lagi bagi orang Islam. Lainlah bagi bukan Islam yang turut menjadi warganegara ini. Dalam erti kata lain, biarlah judi yang sah haram bagi umat Islam itu dibiarkan beroperasi secara haram. Ada lesen atau tidak, yang hitam tidak dapat diputihkan. Sama seperti aktiviti haram lain maka serahlah kepada polis untuk membanteras kegiatan haram ini jika ia berlaku mulai 11 Jun ini. Begitulah gambaran yang ada mengenai isu judi bola ini. Mungkinkah ini juga yang mendorong 'anak luar nikah' (bukan anak haram) dibuang bagaikan sampah, ditanam merata tempat kerana yang 'haram' itu tidak boleh diterima sama sekali. Ketika ada pihak yang berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan mana-mana premis sebagai tempat perjudian bola ini, tetapi pada masa yang sama mereka mengizinkan premis ini (memberi lesen) menjual empat nombor ekor, menjual arak, rumah urut dan pelacuran serta pelbagai kegiatan yang hukumnya haram bagi orang Islam. Kadang-kadang ada juga perkara yang boleh dianggap haram tetapi sengaja dilupakan. Mungkin makruh sahaja. Lebih mendukacitakan di kalangan umat Islam ada yang hanya nampak haram arak dan judi (haram sekalipun ada lesen) tetapi perkara lain dalam kehidupan yang dilarang atau haram dibiarkan berleluasa, seolah-olah digalakkan kerana kepentingan tertentu. Fitnah- memfitnah, buruk sangka, mengumpat, mengeji dan macam-macam lagi dilarang oleh Islam tetapi dibiarkan berleluasa dan mungkin digalakkan.

Kita harap menjelang 11 Jun ini, umat Islam tidak tergoda dengan apa juga bentuk perjudian ketika mereka tidak tidur lena kerana bola. Tidak kiralah apa bentuk perjudian sama ada dilesenkan atau tidak.

Satu lagi isu panas yang menarik perhatian ialah soal penarikan balik subsidi. Disebabkan kenyataan tidak disertakan dengan hujah-hujah yang boleh diterima, maka kebanyakan pihak tidak bersetuju. Akhirnya timbullah persepsi negatif dan kerajaan terpaksa membuat pelbagai penjelasan bagi meyakinkan rakyat. Begitulah jadinya apabila sesuatu yang ingin dilakukan dibuat secara drastik. Hasrat mahu mengurangkan beban subsidi yang semakin meningkat akhirnya disalah anggap.

Turut menarik perhatian tentulah nisbah 60 (bumiputera) dan 40 (bukan bumiputera) dalam pembangunan Kampung Baru. Disebabkan penjelasan yang kurang tepat pada peringkat awal maka pelbagai isu timbul yang boleh menjejaskan imej kerajaan. Sekali lagi banyak masa terbuang untuk membuat penjelasan. Pada masa yang sama muncullah kumpulan yang akan mengeruhkan lagi keadaan dengan niat yang dilihat suci tetapi sebaliknya 'kotor'.

Begitulah kesan apabila kita mengumumkan sesuatu tanpa persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Selepas tsunami 2008, pendekatan test market amat bahaya. Janganlah melontar idea yang mampu mengundang kecaman dan ancaman.

Maka berhati-hatilah. Lebih-lebih lagi bagi parti politik yang akan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kata seorang sahabat, jangan biarkan rakyat memendam perasaan dengan isu-isu yang dilontarkan sekalipun ia sekadar menguji reaksi mereka. Ingatlah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Atau terlajak kata jumpa di mahkamah, terlajak cakap undi hilang. Sebelum terlambat, jangan biarkan nasi menjadi bubur.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:20
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.