saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 12/06/2010

Resolusi 1929 Iran cermin perbalahan kuasa besar

SEKATAN terbaru yang dikenakan ke atas Iran oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 1929 dua hari lalu jelas mempamerkan percanggahan pendapat kuasa-kuasa besar mengenai isu program nuklear Teheran.

Memang benar sekatan itu adalah yang keempat dilaksanakan dalam tempoh empat tahun lalu. Ia antara lain untuk memperkukuhkan lagi tiga sekatan yang terdahulu.

Tidak dinafikan juga semua kuasa besar dalam Majlis Keselamatan PBB iaitu Amerika Syarikat, Britain, Perancis, China, Rusia dan Jerman (P5+1) menyokong usul tersebut kecuali Turki dan Brazil menentang dan Lebanon berkecuali.

Hakikatnya, sekatan terbaru itu tidak mendapat sokongan kesemua 15 negara yang mewakili Majlis Keselamatan PBB. Satu lagi perkara yang menarik mengenai Resolusi 1929 adalah ia merupakan kandungan kompromi di antara kemahuan sebenar AS dan Britain sebagai penaja utama sekatan tersebut dengan China dan Rusia sebagai penyokong Iran.

Washington terpaksa beralah dengan kehendak Beijing dan Moscow yang tidak mahu sekatan terhadap sektor gas dan minyak Iran turut dijadikan sebagai dagang larangan. Dalam hal ini, memang ada kebenaran seperti yang diungkapkan oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad bahawa sekatan terbaru boleh diibaratkan sebagai sapu tangan terpakai kerana kandungannya lebih merupakan jelmaan sekatan yang terdahulu.

Washington begitu beria-ia mahu mengenakan sekatan terbaru hanya untuk memberi gambaran bahawa masyarakat antarabangsa bersatu padu menentang program pembangunan nuklear Iran, tetapi hakikatnya wujud perbezaan pendapat yang ketara di antara negara P5+1.

Malah, sekatan terbaru tersebut hampir menemui kegagalan kerana pada April lalu ketika draf asal diteliti oleh kesemua 15 ahli Majlis Keselamatan PBB, Beijing dan Moscow pasti akan menggunakan kuasa pembatal mereka jika diusulkan dalam bentuk asal.

Penentangan oleh Brazil dan Turki dan sikap berkecuali Lebanon telah mengukuhkan lagi bahawa Iran yang dikatakan tidak telus melaksanakan program nuklear sebenarnya hanyalah tuduhan semata-mata tanpa bukti yang sahih.

Kedua-dua pemimpin Brazil dan Turki telah bekerja keras untuk mendapatkan persetujuan Iran supaya 1.2 tan uranium yang dimiliki diproses di Rusia seperti yang dikehendaki oleh AS dan Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini.

Malangnya, persetujuan tersebut ditolak oleh Washington dan Brussels dengan alasan bahawa Iran masih mempunyai simpanan uranium yang dianggarkan melebihi satu tan. Apa yang dikehendaki oleh Washigton adalah kesemua simpanan uranium tersebut dibawa keluar dari Iran. Teheran sebenarnya keberatan untuk menurut kehendak itu kerana ada kemungkinan uranium yang dibawa keluar tidak akan dikembalikan.

Adalah menjadi kelaziman setiap negara yang memiliki uranium atau pun fisil nuklear mentafsirkan bahawa isu memproses bahan tersebut adalah hak kedaulatan setiap negara. Malah dalam kes Iran pula begitu menarik kerana kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang mempunyai pendirian serupa iaitu uranium yang dimiliki adalah hak kedaulatan mereka.

Sekatan terbaru yang dikenakan walaupun tidak akan memberi kesan ketara kepada pembangunan nuklear Iran sebenarnya telah memusnahkan usaha keras Brazil dan Turki untuk membawa Iran ke meja rundingan.

Wakil Brazil ke PBB, Maria Luiza Ribeiro Viotti yang kecewa dengan sekatan tersebut telah meluahkan bahawa peluang diplomasi yang sebelum ini wujud walaupun sedikit telah dimusnahkan sama sekali.

Agak pelik juga apabila Presiden AS, Barack Obama menyatakan bahawa sekatan tersebut tidak akan menutup pintu rundingan dan diplomasi dan mengharapkan Teheran memilih jalan yang betul.

Kenyataan Ketua Dasar Luar EU, Catherine Ashton pula menerangkan sekatan tersebut bukanlah tindakan pemutus kerana ia merupakan proses gabungan di antara mengenakan sekatan dan rundingan.

Sememangnya terdapat perbezaan pendapat yang begitu ketara mengenai kaedah terbaik untuk menyelesaikan kemelut nuklear Iran. Pihak yang tidak menyokong sekatan mahu menggunakan diplomasi sebagai saluran utama manakala sekatan hanya digunakan sebagai sokongan atau penguat kepada proses rundingan tersebut.

Manakala di satu pihak lain yang dipelopori oleh Washington dan Brussels pula mahu menjadikan sekatan sebagai landasan untuk memaksa Teheran pergi ke meja rundingan.

Kesan awal terhadap sekatan terbaru telah pun bermula di mana Parlimen Iran memutuskan untuk mengkaji semula kerjasama yang akan diberikan kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Apa yang dapat dijangkakan adalah Teheran akan mengenakan beberapa sekatan terhadap pergerakan pemeriksa IAEA ketika melakukan pemeriksaan di loji nuklear milik Iran.

Mustahil bagi Teheran untuk mengambil keputusan seperti yang pernah dilakukan oleh Pyongyang pada 2003 dengan menarik diri dari Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) kerana ia akan memberi senjata tambahan kepada AS dan EU untuk menekan Iran.

Ramai penganalisis berpendapat bahawa AS dan EU telah memperalatkan resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk memanjangkan agenda masing-masing. Walaupun Resolusi 1929 tidak mengaitkan usul sekatan terhadap industri gas dan minyak Iran, tetapi besar kemungkinan ia akan digunakan oleh Kongres AS untuk mengenakan sekatan lanjut terhadap syarikat yang melabur di Iran daripada berurusan dengan AS.

Terdapat ura-ura yang menyatakan bahawa Kongres AS akan meluluskan perundangan sekatan terhadap beberapa syarikat asing yang pada ketika ini menjadi pembekal utama gasolin kepada Iran. Pemimpin EU yang akan mengadakan sidang kemuncak pada minggu depan juga dijangka akan mengambil pendekatan serupa dengan AS iaitu mengenakan sekatan unilateral.

Memang benar telahan Brazil dan Turki bahawa Resolusi 1929 telah memusnahkan segala usaha untuk membawa Iran ke meja rundingan. Walaupun China dan Rusia berjaya mengurangkan tekanan sekatan, tetapi agenda AS dan EU untuk mengenakan sekatan tambahan secara unilateral adalah manifestasi jelas bahawa diplomasi telah tewas.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.