saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 13/06/2010

Hakikat sebuah perpaduan

SEJARAH bukan ditulis oleh para sejarawan atau sarjana sahaja tetapi juga oleh tokoh-tokoh politik yang mengisahkan pelbagai peristiwa gembira atau sedih yang mereka alami. Seperti Memoir Politik Asri Meniti Arus (UKM 1993).

Lalu dicatat antara lainnya betapa seorang semasa muda pernah menjadi penoreh getah dan kemudian menjadi Menteri Besar diundang berkongsi kuasa oleh seorang yang berkaki ayam ke sekolah ketika mula belajar di sekolah rendah dan akhirnya menjadi Perdana Menteri.

Segalanya berlaku dalam arena politik yang tidak terperi luasnya dalam Malaysia merdeka dan selepas tragedi 13 Mei. Kerana, pelbagai kaum, agama dan budaya terlibat.

Dengan persetujuan yang dicapai antara Perikatan dengan Pas pada 28 Disember 1972, maka Datuk Asri Haji Muda menjadi Menteri Tanah dan Galian dan tugas-tugas khas dalam Kabinet Tun Razak.

Lain hal berlaku kemudiannya dalam muktamar Pas ke-28 di Balai Seminar Dewan Bahasa dan Pustaka pada 23 Oktober 1982 yang membawa kepada saat akhir Asri dalam Pas. Ucapan dasar beliau sebagai Yang Dipetua Pas tidak diterima oleh muktamar.

Lalu disebut mengenai suasana muktamar dipenuhi dengan gambar-gambar tokoh Revolusi Iran serta pekikan dan laungan. Kisah beliau bersambung: “Malah pekikan Marakbar Asri berselang-seli dengan kalimah suci Allahhuakbar. Ketika itu banyak orang yang tahu makna “marakbar Asri” yang bererti “mampuslah Asri” dan saya mencatatkan peristiwa ini hanyalah sekadar untuk kenangan sejarah bagi generasi akan datang”.

Menyumbang

Kata pengantar bagi memoir Asri ditulis oleh Wan Hashim Wan Teh, dahulu pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM. Antara lain dicatat: “Semasa berada di Padang Rengas buat kali ketiganya pada 1950, iaitu setelah mendirikan rumahtangga dengan Sakinah Haji Junid, Mohd Asri berkesempatan menyumbangkan bakatnya dalam bidang persuratan terutama menulis cerita pendek.

“Semasa tinggal di Padang Rengas, Mohd. Asri hidup cara orang kampung membuat pelbagai pekerjaan seperti menoreh getah, membuat kain batik, bersawah serta menjual ikan”.

Dalam penglibatan awal politiknya Asri berdamping dengan Dr. Burhanuddin, ketua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Ahmad Boestaman, Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) dan beliau kemudian menyertai Pas hingga menjadi penolong kepada Setiausaha Agung Pas.

“Namun, kerjanya adalah pelbagai termasuk menyapu sampah, membersihkan pejabat, menulis surat serta minit mesyuarat dan sebagainya”.

Selanjutnya beliau kembali ke Kelantan untuk bergiat di kawasan Pantai Timur hingga Pas mencapai kemajuan pesat.

Asri menyebut mengenai kerjasama Pas dengan UMNO (Perikatan) mulai 1 Januari 1973 “ untuk menukar ragam politik yang penuh dengan onak dan duri, namun demikian masih ada lowongan yang boleh ditembusi”.

Usaha ke arah perpaduan bermula daripada pertemuan dengan Tun Razak di bangunan Parlimen selepas Peristiwa 13 Mei. Darurat telah diisytiharkan, Perlembagaan Negara digantung dan Dewan Parlimen serta Dewan Negeri dibekukan. Negara diperintah oleh MAGERAN (Majlis Gerakan Negara).

Asri menambah, “Dalam suasana yang sedemikianlah saya tiba-tiba dijemput oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak untuk bertemu di Kuala Lumpur, saya datang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang tentera, kira-kira tiga hari selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969”.

Menurut beliau kerajaan campuran Pas-Perikatan (UMNO) memberi sumbangan “amat tinggi nilainya dari segi hakikat perpaduan dan keharmonian umat. Simpang-siur pertarungan politik di kalangan bangsa Melayu telah reda”.

Keadaan berubah dalam Pilihan Raya Umum 1974 yang “menyaksikan suatu pertarungan yang hebat dan luar biasa apabila banyak anggota Pas yang tidak senang dengan kerjasama dalam Barisan Nasional”.

Bagi Asri selanjutnya “cuaca tidak selamanya kekal, ada kalanya panas terik dan ada kalanya hujan lebat hingga banjir”.

Beliau juga menulis mengenai isu kafir-mengkafir dan Revolusi Iran. “Di beberapa tempat di Terengganu dan Kelantan khususnya, telah muncul beraneka kejadian yang dimulai dengan kafir-mengkafir sesama sendiri yang mengakibatkan perpecahan masyarakat, bahkan perpaduan keluarga.

“Anak berpecah dengan bapa, suami isteri berkelahi dan jadilah masyarakat yang dibahagi-bahagikan oleh perbezaan politik yang menyebabkan berlakunya sembahyang dua imam dan lahirnya dua masjid semukim dan kubur yang berasingan”.

Asri akhirnya meletakkan jawatan Yang Dipetua Agung Pas dengan kandungan surat, antara lain berbunyi: “Maka saya telah mengambil keputusan menyerahkan kembali mandat dan kepercayaan muktamar Pas ke-27 yang lalu yang telah memilih saya menjadi Yang Dipertua Agung Pas bagi tempoh 1981-1983”.

Beliau meninggal dunia pada 28 Ogos 1992. Semoga Tuhan mencucuri rahmat baginya. Al-Fatihah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.