saya nak baca ..

TIMUR


ARKIB : 24/06/2010

4 dipilih Tokoh Guru Kelantan


Mustapa Mohamed (tengah) beramah mesra dengan empat penerima tokoh guru pada Majlis Perayaan Hari Guru Ke-39 Peringkat Negeri Kelantan 2010 di SMK Agama Falahiah, Pasir Pekan,Tumpat, semalam.


KOTA BHARU 23 Jun – Bekas Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Halim Haron, 64, dipilih sebagai Tokoh Guru Kelantan 2010 bersama tiga lagi bekas warga pendidik sempena sambutan perayaan Hari Guru peringkat negeri ke-39.

Turut diberikan penghormatan dengan anugerah yang sama ialah bekas Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Idris Muhamood, 65; bekas guru besar, Tuan Ghazali Tuan Long, 58, dan bekas penolong kanan, Datin Rahimah Mahamad, 57.

Selain perkhidmatan dalam bidang pendidikan, kesemua mereka aktif dalam gerak kerja kemasyarakatan dengan menerajui pertubuhan-pertubuhan tertentu sehingga kini.

Masing-masing menerima piala, sijil dan wang tunai RM3,000 yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Falahiah, Pasir Pekan dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Makhtar Mustaffa; Pengarah Pelajaran negeri Hussain Awang serta Timbalannya Zahari Daud.

Abdul Halim yang berkelulusan dalam bidang linguistik dari Universiti Malaya pada 1972 pernah berkhidmat sebagai guru di SMK Tok Janggut selama tujuh tahun sebelum menjadi pengetua di SMK Gaal antara 1980 hingga 1997.

Beliau meneruskan perkhidmatannya di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Putih dan sebelum bersara sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran negeri pada 2002.

Ketika ditemui, Abdul Halim berkata, sepanjang penglibatannya sebagai pendidik, beliau berkeyakinan bahawa ‘hubungan manusia’ antara guru dan pelajar adalah kunci yang boleh menyelesaikan banyak masalah yang berlaku di sekolah hari ini.

Katanya, para guru dan mereka yang terlibat dalam sektor pendidikan sepatutnya sentiasa memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

“Di sinilah tempat paling sesuai untuk kita terap sikap dan nilai baik yang kita mahukan pada anak-anak kita dan melaksanakan segala perancangan dan pendekatan dengan rasa tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Selain anugerah utama tersebut, beberapa anugerah kecemerlangan lain turut disampaikan kepada guru dan sekolah yang mencatat kecemerlangan sepanjang tahun.

Antaranya Anugerah Guru Inovatif Prasekolah yang disampaikan kepada Norhasrina Hussin dari SK Melor, Kota Bharu manakala bagi kategori sekolah menengah pula kepada Azri Zakaria dari SMK Tok Janggut, Pasir Puteh.

Anugerah Guru Cemerlang Kurikulum diberi kepada Haslida Ali dari SK Cherang Ruku, Pasir Puteh, Azri Zakaria (SMK Tok Janggut, Pasir Puteh) Shamsuddin Ahmad Zawawi (SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu), Rahimah Mohd Zain (SMK (A) Tok Bachok, Bachok).

Turut diberi anugerah sama ialah Rohana Mohd Nor (SMK Kamil, Pasir Puteh), Zaleha Ghazali (SMK Kubang Kerian 1, Kota Bharu) dan Wan Azmi Wan Mohamad (SMK Tumpat, Tumpat).

Anugerah, Guru Cemerlang Kokurikulum pula diterima oleh Mazniwati Ayob (SK Lubok Bongor, Jeli), Mohamad Sharudden Muhamad Kalam (SMK Pengkalan Chepa 2, Kota Bharu) dan Ruslin Hamzah (SMK Putera, Kota Bharu).

Bagi kategori Guru Cemerlang Pendidikan Khas, ia diterima oleh Azrol Azim Abdul Rahim (Sekolah Menengah Kota, Kota Bharu) dan Anugerah Cemerlang Guru Kurang Upaya kepada Zawati Yusoff dari SMK Panji, Kota Bharu.

Ketika ditemui, Zawati yang mengalami kecacatan pada anggota kaki berkata, beliau tidak menyangka dipilih menerima anugerah itu kerana merasakan ada guru lain yang lebih layak.

Guru Pendidikan Islam yang berusia 38 tahun itu terharu dengan penghargaan yang diberikan dan diterima dengan rasa bangga.

“Ini kali pertama saya mendapat penghormatan sebegini dan diharap ia akan menjadi pendorong kepada guru OKU yang lain,” ujarnya.

Zawati berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Diploma Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum mula bertugas di SMK Tanjung Mas pada 2001.

Beliau yang kini mengajar lebih 60 pelajar murid-murid bermasalah pembelajaran dari pelbagai tahap di SMK Panji memberitahu tidak pernah merasa terbeban untuk mengajar.

“Sejak dari kecil lagi saya menganggap diri saya adalah normal sama seperti orang lain, tidak pernah saya rasa rendah diri,” katanya.

Suaminya, Mohd. Zainuddin Derahman, 34, yang juga cacat menjadi perangsang utama untuknya terus berkhidmat kepada anak bangsa.

Sementara itu, Mustapa ketika berucap pada majlis tersebut berkata, semua pihak tidak harus berpuas hati dengan kejayaan negara menyediakan prasarana dan peluang pendidikan yang menyeluruh sehingga kepada orang asli di pedalaman.

Katanya, tahap kualiti pendidikan yang mesti diambil perhatian dan tugas ini menuntut komitmen berterusan daripada para guru.

Beliau yang pernah menjawat portfolio Menteri Pengajian Tinggi berkata, pasaran pekerjaan memerlukan modal insan yang yang menepati kehendak zaman dan bertaraf antarabangsa.

Mustapa berkata, pencapaian yang ditunjukkan SK Zainab (2), Kota Bharu yang merupakan satu-satunya sekolah di Pantai Timur yang termasuk dalam senarai 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah contoh lonjakan yang harus diteladani.

“Sebab itulah kita mahu guru-guru bertindak secara luar biasa,’’ katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.