saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/06/2010

Era baru sistem pengangkutan awam


Penubuhan SPAD diharap dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam di negara ini. - Gambar hiasan


MASALAH kesesakan jalan raya terutama di bandar-bandar besar sentiasa menghantui penduduknya, sama ada di negara ini atau di seluruh dunia.

Walaupun terdapat pelbagai kemudahan pengangkutan awam disediakan kerajaan tetapi jumlah mereka yang memandu di jalan-jalan raya tidak pernah berkurangan.

Keadaan ini berlaku di negara ini terutama di bandar raya Kuala Lumpur kerana disebabkan pelbagai faktor seperti tiadanya sistem perhubungan yang efisien antara pelbagai jenis pengangkutan awam, perjalanan lambat disebabkan kesesakan, sikap penduduk yang sangat 'sayang'kan kenderaan mereka dan sebagainya.

Sebelum ini, segala permasalahan berkaitan pengangkutan awam ini dikendalikan oleh pelbagai agensi berbeza yang sekali gus menyukarkan kerajaan untuk melaksanakan satu sistem yang standard dan efisien.

Menyedari keperluan tersebut, sebuah suruhanjaya khas ditubuhkan yang akan memberi fokus kepada pembangunan semua sistem pengangkutan darat di negara ini.

Suruhanjaya itu dikenali sebagai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang ditubuhkan setelah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan dalam sesi Parlimen pada tahun ini.

Peranan utama penubuhan SPAD yang ditubuhkan pada 3 Jun lalu adalah bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam tanah air yang merupakan salah satu dari Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang telah digariskan oleh kerajaan sebelum ini.

SPAD bertanggungjawab mengawal selia dan merancang perkhidmatan pengangkutan awam termasuk rel, bas dan teksi serta pengangkutan barangan melalui rel dan jalan raya.

Pembentukan dasar-dasar yang akan dilaksanakan oleh SPAD akan mencakupi rangka kerja menyeluruh iaitu melibatkan aspek keselamatan pengguna, kecekapan perkhidmatan, rangkaian bersepadu, pengawasan yang berkesan, perancangan bersepadu dan pelaksanaan yang mapan.

Suruhanjaya yang terletak di bawah pemantauan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri itu akan membawa hampir semua aspek berkaitan pengangkutan darat di Malaysia di bawah pentadbiran satu badan induk yang bermula dengan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia pada peringkat permulaan pelaksanaannya.

Ini termasuk usaha menggabungkan agensi berkaitan pengangkutan iaitu Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan Jabatan Keretapi di bawah SPAD.

Langkah itu bertujuan bagi memastikan tidak berlaku pertindihan tugas antara agensi-agensi tersebut dengan SPAD.

Sementara itu, peranan SPAD juga akan diperluaskan ke Sarawak dan Sabah di peringkat yang berikutnya memandangkan sistem pengangkutan di kedua-dua negeri itu berbeza dengan di Semenanjung.

Suruhanjaya itu akan memberi lonjakan baru kepada sistem pengangkutan awam darat terutama di bandar dengan bertanggungjawab mengemukakan cadangan relevan kepada kerajaan mengenai segala perkara berhubung dengan dasar dan perancangan yang berkaitan.

Lebih penting, segala dasar dan rancangan yang disarankan oleh suruhanjaya itu harus menepati tujuan untuk mencapai suatu pengangkutan awam darat yang selamat, boleh diharap dan cekap.

Ia juga akan menjadikan sistem pengangkutan awam darat di negara ini lebih responsif, terancang, mudah diakses, bersepadu dan lestari selain memastikan perkhidmatan yang disediakan mampu dibayar oleh masyarakat umum.

Usaha menubuhkan SPAD bukanlah satu tugas mudah memandangkan beberapa akta sedia ada perlu dipinda sementara dua lagi akta iaitu Akta Pengangkutan Darat 2010 dan Akta SPAD 2010 perlu digubal.

Selain itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, SPAD juga menggalas tanggungjawab yang berat terutama bagi merealisasikan inisiatif-inisiatif di bawah NKRA yang berkaitan dengan pengangkutan awam ke arah meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada rakyat.

"SPAD ini merupakan satu mekanisme yang dilaksanakan bagi memastikan Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan dapat dicapai dengan jayanya. Ini merupakan satu perjalanan di dalam gagasan itu sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia.

Syed Hamid berkata, tugas dan tanggungjawab SPAD berdepan dengan cabaran besar pada ketika ini memandangkan wujudnya pelbagai isu mengenai perkhidmatan pengangkutan awam di kalangan rakyat sendiri.

Ini berdasarkan fakta berhubung tahap penggunaan sistem pengangkutan awam yang didapati menurun daripada 34 peratus pada 1984 kepada 10 hingga 12 peratus pada masa kini ekoran kebergantungan orang ramai kepada kenderaan persendirian.

Beliau berkata, sistem pengangkutan jalan raya yang ada kini juga semakin tidak dapat menampung tahap penggunaan kenderaan di jalan raya yang semakin banyak pada hari ini.

Oleh sebab itu, Syed Hamid berkata, penubuhan SPAD adalah bagi memastikan matlamat untuk mencapai semula kira-kira 30 peratus tahap penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat.

"Ia satu matlamat yang kita tidak dapat elakkan. Kita sudah pasti perlu melakukan dengan bersungguh-sungguh dan bekerja keras supaya rakyat yakin dengan perkhidmatan pengangkutan awam. Ini merupakan amanah yang diberikan kepada SPAD.

"Peranan utama kita di sini adalah memastikan setiap perkhidmatan pengangkutan awam darat di negara ini menepati kehendak dan keperluan setiap rakyat Malaysia," katanya.

Mengenai peranan SPAD, Syed Hamid berkata, badan itu akan melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada operator pengangkutan awam yang akan mengambil kira perkhidmatan yang tepat pada masa, keadaan sistem pengangkutan dan kecekapan.

Kata beliau, SPAD juga akan mengkaji sistem pengangkutan darat yang dibangunkan di beberapa negara seperti Singapura, Hong Kong, Shanghai dan London dan menjadikan ia sebagai contoh kepada pembangunan pengangkutan awam di negara ini.

Sememangnya, masalah kesesakan yang menghantui para penduduk di bandar-bandar besar adalah suatu yang perlu diatasi segera kerana ia membabitkan kualiti kehidupan rakyat.

Penubuhan SPAD diharapkan mampu menjadi penawar kepada kegelisahan dan tekanan penduduk bandar selama ini yang terpaksa mengharungi kesesakan berjam-jam lamanya setiap hari hanya kerana ingin bertugas di pejabat pada waktu pagi atau pulang ke rumah pada petangnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:04
Asar 4:26
Maghrib 7:01
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.